fbpx
ALIF SATAR

Doa dari Tanah Suci Alif Satar makbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAI bulan jatuh ke riba, itu yang dirasai Alif Satar apabila impian beraksi di gelanggang gah Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama rakan seperjuangan, The Locos bakal terlestari menjelang 26 Ogos depan.

Lebih manis konsert dinamakan Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO tersebut bakal menyatukan muzik mereka dengan alunan irama daripada 60 pemuzik orkestra profesional dan berpengalaman luas.

Sudah pasti momen yang akan berlangsung tidak sampai sebulan saja lagi menyuntik pelbagai rasa buat penyanyi serta anggota kumpulannya, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram).

BAND Alif Satar & The Locos terpaksa menunggu maklum balas selama tujuh hari selepas memberi syarat mereka mahu diiringi pemuzik MPO.

Terkesima

Bagi Alif, peluang keemasan mengadakan konsert sempena sambutan ulang tahun jubli perak DFP disifatkan sebagai berkat doa di Tanah Suci ketika mengerjakan ibadah haji, baru-baru ini.

“Saya terima panggilan telefon daripada pengurus sewaktu mengerjakan haji yang maklumkan berita gembira mengenai tawaran DFP itu, tetapi kami minta diiringi orkestra.

“Memang saya terkesima dan saya cakap ‘wow’, sebab panggilan macam ini biasanya hanya penyanyi-penyanyi seperti Siti Nurhaliza saja yang akan dapat.

“Jadi seminggu jugalah kami tunggu jawapan. Ingatkan dalam tempoh itu tiada lagi peluang buat persembahan di situ selepas kami letak syarat,” katanya yang tidak mampu menyembunyikan rasa teruja.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar itu, lebih 17 tahun sebagai penggiat seni dia tidak mengharapkan sebarang anugerah, sebaliknya memasang angan-angan mahu menawan DFP.

Apatah lagi sebelum ini dia hanya mampu menjejaskan kaki ke dewan gah impian ramai penyanti itu sebagai hos konsert Faizal Tahir yang menguatkan lagi impian tersebut.

ALIF mendedahkan dimaklumkan mengenai pelawaan mengadakan konsert di DFP ketika mengerjakan ibadah haji sekitar Jun lalu.

“Kalau Amerika Syarikat ada Walk Of Fame, DFP pula ibarat medan pengiktirafan buat penghibur tempatan.

“Waktu itu, hanya satu yang saya fikirkan iaitu mahu dapat peluang seperti beberapa rakan seperjuangan lain,” kongsinya.

Berkongsi lebih lanjut perincian pada malam tersebut, Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos With MPO bakal menerima sentuhan Ahmad Muriz Che Rose, selaku pengarah muzik.

Berpeluang bekerjasama dengan figura berpengalaman itu sememangnya satu kesempatan yang ditunggu-tunggu Alif selepas berkolaboratif dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37, Februari lalu.

Pada acara itu, Ahmad Muriz bertanggungjawab membuat susunan semula muzik lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos yang akhirnya diangkat sebagai pemenang tempat ketiga.

Sambil tertawa kecil mengenang kisah tersebut, seloroh hos dan pelakon popular itu, dia tidak menyangka kerjasama berkenaan menjadi sesi uji bakat sebelum mereka ditapis masuk ke DFP.

“Rupa-rupanya AJL tempoh hari adalah sesi ‘audition’ kami. Apa pun kami anggap itu satu kelebihan,” luah penyanyi Cukup Indah itu lagi.

Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos With MPO akan dikendalikan pengarah muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

Segmen tribute

Ditanya mengenai konsep persembahan selain senarai lagu pilihan, Faliq Auri pula memaklumkan semua perincian tersebut bakal menjadi kejutan buat khalayak.

Sebagai pemuzik yang pernah beraksi di beberapa gelanggang orkestra termasuk di Oman, pemain saksafon itu bagaimanapun hanya ingin berkongsi ‘bunyi’ gah dengan penonton.

“Konsert ini bukan satu eksperimentasi walaupun kami band pertama yang diiringi barisan pemuzik orkestra lengkap, sebaliknya menjadi apresiasi buat semua pemuzik band.

“Pada masa sama menjadi cabaran buat kami untuk berada pada tahap seiring dengan pemuzik orkestra yang tentu saja berpengalaman lebih luas.

“Mungkin daripada katalog lagu yang akan diperdengarkan, akan ada pembahagian segmen seperti tribute, cover version dan hits popular yang dianggarkan berlangsung selama dua jam.

Ahmad Muriz yang ditemui ketika pengumuman konsert tersebut pula menyatakan pemilihan kumpulan untuk berkolaborasi bersama MPO dibuat berdasarkan kesesuaian lagu.

Berikutan itu, Alif Satar & The Locos mempunyai kriteria berkenaan malah diyakini persembahan mega itu nanti mampu mencetuskan momen magis.

“Ada antara anggota band ini saya sudah kenal lama dan tahu kekuatan mereka. Macam Faliq mungkin masa pembukaan nanti boleh tampil dengan bagpipe. Semua itu kita akan perincikan.

“Paling penting konsert ini nanti memberikan pengalaman indah buat khalayak bersama bunyian muzik mewah hasil paduan antara Alif Satar & The Locos serta MPO,” ulasnya.

Terdahulu, Alif Satar & The Locos yang ditubuhkan pada 2018 sudah membuat pelbagai persembahan di dalam dan luar negara, termasuk Singapura dan United Kingdom.

ALIF & The Locos berharap konsert di DFP kelak bukan satu eksperimentasi walaupun menjadi band pertama yang diiringi barisan pemuzik orkestra lengkap, sebaliknya menjadi apresiasi buat semua pemuzik berkumpulan lain.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN