PETALING JAYA – Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 120 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM5 juta dalam satu serbuan di tempat letak kenderaan di belakang pusat beli-belah South City Plaza, Serdang kelmarin.
Hasil serbuan pukul 5.30 petang itu telah membawa kepada tangkapan lima suspek termasuk dalang sindiket pengedaran dadah iaitu seorang lelaki bergelar Datuk Seri di lokasi tersebut.
Satu sumber berkata, lelaki yang mendakwa dirinya Datuk Seri berusia 31 tahun itu adalah suami kepada usahawan kosmetik di Pantai Timur.
“Selain Datuk Seri, polis menahan empat suspek termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai ahli sindiket (pengedaran dadah).
“Turut dirampas dalam serbuan sama, sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang, sebuah Nissan Almera dan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Innova yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan haram tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sumber itu berkata, dadah jenis syabu dalam bungkusan teh itu dirampas di dalam kereta Ford Mustang yang dinaiki Datuk Seri terbabit sebelum polis melakukan pemeriksaan di pejabatnya di kawasan sama.
Katanya, syabu seberat kira-kira 120 kg itu dipercayai dibawa dari Pantai Timur untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Rampasan dan tangkapan itu adalah kejayaan terbesar bagi Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah yang baru menyandang jawatan itu pada 28 Oktober lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan serbuan dan tangkapan tersebut.
Difahamkan, satu sidang akhbar berhubung kejayaan tersebut akan dibuat oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin dalam masa terdekat.
Dadah jenis syabu juga dikenali sebagai methamphetamine, manakala syabu paling berkualiti berwarna putih kristal.














