LAMA sekadar bergerak sebagai pelakon, sesekali melawak dan menceburi dunia perniagaan, kini sampai masanya khalayak melihat sisi lain lelaki bernama Datuk Fizz Fairuz di kerusi pengarahan.
Sebagai pertaruhan sulung dalam pengarahan, anak jati Pahang itu membuktikan kesungguhannya menerusi filem Mat Tudung Begins yang bakal memulakan tayangan umum pada 3 Ogos ini.
Namun, hanya disebabkan poster dan belum ditayangkan, naskhah komedi tersebut sudah mula dikutuk netizen.
Semuanya gara-gara, terdapat pelakon lelaki dalam filem berkenaan, termasuk Fizz sendiri didakwa sengaja berpakaian menyerupai wanita, selain menggunakan pempengaruh negara jiran, Mimi Peri yang berperwatakan lembut sebagai pelaris naskhah.
Selaku pengarah dalam filem terbitan Rainmakercreation Sdn. Bhd., Fizz atau nama lengkapnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 43, teguh dengan pendirian mahu netizen menonton dulu sebelum melontarkan komen negatif.

“Saya gunakan Mimi Peri dalam cerita ini kerana sekarang trend pempengaruh angkat sesuatu perkara.
“Saya mahu angkat cerita ini untuk selesaikan sesuatu masalah. Bukan seperti difikirkan semua, gunakan pondan untuk buat orang gembira.
“Ada beberapa ustaz di Malaysia pertikaikan hukum-hakam. Kalau boleh saya mahu bawa mereka tengok dahulu cerita ini kerana saya bukan mengangkat pondan semata-mata,” katanya.

Dunia baharu
Berkongsi tentang penglibatan awal sebagai pengarah, suami kepada pelakon Datin Almy Nadia itu terdetik ingin menukar angin disebabkan dorongan rakan.
“Saya mula memasuki bidang pengarahan apabila berjumpa seorang kawan yang merupakan seorang pengarah.
“Dia memberitahu saya memang sekarang masa terbaik untuk buat segalanya sendiri dan sampai bila nak makan gaji.
“Saya sudah lama dalam industri lebih 20 tahun dan patut beri laluan kepada orang baharu untuk menonjolkan bakat lakonan mereka,” tutur aktor berusia 44 tahun itu.
Pengalaman lebih dua dekad dalam industri juga menguatkan lagi keinginan Fizz bergelar seorang pengarah.
Selain pengalaman, bintang Nur Kasih itu ingin memasukkan nilai tambah dalam industri bagi kekal relevan dan bersaing dengan wajah baharu yang memasuki industri.
“Sudah 22 tahun dalam industri, saya hanya makan gaji dan apabila tidak dapat tawaran, saya merungut. Apabila menjadi produser, saya tengok dengan mata sendiri bahawa susah sebenar buat filem.
“Sekarang juga ramai pendatang baharu. Ini juga langkah untuk kekal relevan selain kembangkan karier selaku penerbit.
“Filem pertama Mat Tudung Begins adalah satu pembelajaran yang menghamparkan saya segala ilmu,” ujarnya.

Ditanya mengenai proses pembelajaran sebagai penerbit, pengasas syarikat Rainmaker Creation Sdn. Bhd. itu memaklumkan semua yang ada di dadanya adalah hasil pencarian sepanjang berdekad lama bergelar anak seni.
Dalam masa sama, dia yang bersikap ringan mulut juga tidak segan bertanya kepada orang untuk mencari ilmu baharu.
“Saya banyak belajar semasa berlakon. Tengok pengarah lakukan dan perhati apa yang diperlukan.
“Banyak belajar dari situ. Jadi, apabila masuk ke dunia penerbitan, saya bukanlah tiada ilmu langsung.
“Tidak kisah dengan siapa, kalau muda sekali pun, saya akan menunduk ke bawah untuk belajar segalanya berkaitan industri seni,” ujar pelakon Munafik itu.

Biarpun sudah memasuki dunia penerbitan dan pengarahan, Fizz enggan meninggalkan karier lakonan.
Jika ada peluang dan kepercayaan, bapa kepada empat orang cahaya mata itu bersedia untuk beraksi di depan kamera seperti pelakon senior lain.
“Saya suka tengok Zamarul Hisyam yang dahulunya tenggelam tetapi sekarang kembali naik. Orang lama tidaklah teruk. Kalau diberi kepercayaan buat drama, saya sanggup buat.
“Dari situ saya tahu masih diperlukan meskipun ada orang baharu boleh gantikan tempat kami. Orang lama tetap ada aura,” tutupnya seraya tertawa.















