fbpx
Masyarakat Siam di Malaysia masih mengamalkan adat warisan nenek moyang mereka.

Uniknya etnik Siam Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LABUCI emas dengan corak bunga yang disulam ke dalam busana tradisional wanita etnik Siam berwarna krim itu menyerlahkan keanggunan pengantin perempuan.

Busana yang dikenali sebagai sinh itu tampak mewah apabila dilengkapi perhiasan seperti subang, rantai silang, rantai leher, gelang serta tali pinggang keemasan.

Di sebelahnya, pengantin lelaki memakai busana yang dipanggil sebagai trai koon yang terdiri daripada beberapa komponen seperti samue tradisional, sampot dan sabai.

Kedua-dua pengantin duduk tersipu sementara bomoh perkahwinan membaca mantera sambil membaling beras kepada pengantin sebagai doa buat pasangan tersebut.

Dahi mempelai akan dicalit dengan tiga titik larutan bedak oleh ibu bapa pengantin sebagai tanda restu daripada mereka.

Setelah acara pernikahan berlangsung, ibu bapa kedua-dua pihak, ahli keluarga, kawan-kawan dan tetamu undangan dipersilakan untuk mencurahkan air ke tangan pengantin.

Saat mencurahkan air ke tangan pengantin, tetamu mengucapkan doa untuk kesejahteraan bahtera pernikahan pengantin.

Upacara perkahwinan tersebut merupakan satu demonstrasi perkahwinan masyarakat Siam di Malaysia yang ditampilkan pada program ‘Ini Warisan Kita’ anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu turut menampilkan etnik-etnik lain.

Penganjuran program tersebut dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Selain demonstrasi perkahwinan, etnik Siam turut memperkenalkan makanan tradisional mereka iaitu miang kham (daun kaduk yang diisi dengan beberapa bahan sampingan dan sos) serta tarian tradisional mereka menora.

Teruja dapat memainkan watak pengantin perempuan, Suphaphornd a/p Lye Seng, 22, bersyukur diberi platform untuk berkongsi tentang budayanya dengan masyarakat umum.

“Kebanyakan kami datang dari Utara dan Pantai Timur. Jadi, masyarakat di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur jarang dengar tentang kami.

“Bagi orang Cina, mereka akan ingat saya orang Melayu, manakala, bagi orang Melayu dan India pula, mereka menganggap saya sebagai orang Cina.

“Kadangkala apabila mereka dapat tahu saya berketurunan Siam, mereka tanya bila saya akan balik semula ke Thailand?” ujarnya yang berasal dari Kedah.

Tambah pelajar Sarjana Muda Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, seramai 16 mahasiswa dan mahasiswi berketurunan Siam menjadi sukarelawan program tersebut.

Mereka mahu membantu Persatuan Siam Malaysia (PSM) mengetengahkan lagi pengetahuan tentang etnik mereka.

MIANG KHAM merupakan sajian tradisional etnik Siam.

“Etnik Siam diiktiraf sebagai Bumiputera dan kami menerima kelebihan sama seperti Bumiputera yang lain.

“Ini membezakan kami dengan warga Thailand yang datang ke Malaysia selepas merdeka. Mereka adalah orang Thai,” ujarnya.

Menurut Naib Pengerusi PSM, Sam Maark Suvanphet, orang Siam di Malaysia adalah kaum pribumi yang telah lama bertapak di kawasan semenanjung Tanah Melayu.

“Pendudukan etnik Siam di kawasan Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dipercayai wujud sejak kewujudan kerajaan Hindu-Buddha Langkasuka sekitar kurun ke-2 Masihi.

“Pada 1238, empayar Siam dibentuk oleh Dinasti Phra Raung dan memiliki pengaruh terhadap wilayah-wilayah Tanah Melayu,” katanya.

Mengikut sejarah, perjanjian Bangkok 1909 antara kerajaan Siam (yang kini Thailand) dan pihak Inggeris menggunakan Sungai Golok dan Banjaran Sankala Khiri sebagai garis sempadan antara Siam dan Tanah Melayu.

Menerusi perjanjian tersebut, Sai Buri (Kedah), Palit (Perlis), Kelantan dan Terengganu menjadi tanah jajahan Inggeris, manakala Pattani, Menara (Narathiwat), Singgora (Songkhla) dan Jala (Yala) diiktiraf sebagai wilayah Siam.

Dengan termeterainya perjanjian berkenaan, orang Siam yang menetap di empat buah negeri tersebut menjadi penduduk tanah jajahan British, yang kini merupakan negeri-negeri di Malaysia.

Biarpun berada dalam acuan pentadbiran kerajaan Malaysia sejak sekian lama, etnik Siam masih memanggil diri mereka sebagai Siam dan bercakap dalam loghat bahasa Siam.

Loghat bahasa Siam Kedah dan Perlis mirip dengan dialek Thai Selatan, Songkhla dan Nakhon Si Thammarat.

Bahasa Siam Kelantan pula adalah mirip dengan dialek Thai Selatan di sekitar Daerah Tak Bai iaitu bahasa Cekhae.

Kongsi Sam Maark, kelas-kelas mempelajari bahasa Thai masih dibuka kepada masyarakat Siam sebagai usaha untuk mengekalkan identiti mereka.

“Bahasa percakapan masyarakat Siam di Malaysia tidak sama seperti bahasa Thailand. Perbezaan dialeknya lebih kurang macam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang hampir sama tetapi tidak serupa.

“Namun begitu, kelas bahasa Thai adalah tempat untuk masyarakat Siam belajar menulis dan bertutur bahasa Thai yang standard,” terangnya.

Menurutnya lagi, adat dan budaya orang Siam Malaysia mirip kepada orang Melayu Utara dan Pantai Timur Semenanjung serta orang-orang Selatan Thailand.

“Orang Siam Malaysia adalah penganut agama Buddha, oleh itu terdapat Wat Siam di setiap perkampungan orang Siam di Malaysia. Wat-wat Siam ini kebanyakannya berumur antara 300 hingga 500 tahun.

“Ini membezakan kami dengan masyarakat Pattani. Mereka merupakan orang Melayu dari negara Thailand dan mereka ini adalah orang Melayu Thai, bukannya orang Siam.

“Kami berharap masyarakat cakna tentang perbezaan ini agar tidak timbul kekeliruan berkenaan komuniti kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN