fbpx
Gambar hiasan.

Lelaki maut akibat rabies di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seorang lelaki berusia 42 tahun dari Sarawak, meninggal dunia pada 20 Oktober lalu akibat dijangkiti rabies menjadikan jumlah kes lima bagi tahun ini dan ke-27 sejak wabak itu diisytiharkan pada 31 Julai 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober lalu kerana mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan.

“Mangsa juga mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum sebelum dimasukkan ke hospital.

“Kes ini meninggal dunia pada 20 Oktober lalu, pukul 6.53 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada mangsa berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut ada memelihara tujuh kucing dengan lima daripadanya telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sehari selepas kes mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga mangsa memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes,” katanya.

Beliau berkata, virus rabies yang menjangkiti mangsa disahkan melalui ujian makmal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 20 Oktober.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa negeri tersebut masih belum bebas rabies.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang awam segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan.

“Cuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

“Selain itu, pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies,” katanya.

Beliau berkata, KKM dan JKN Sarawak komited mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN