PUCHONG – Sebuah premis menjalankan kegiatan pelacuran mampu menjana keuntungan lebih RM200,000 sebulan dengan mempromosikan aktiviti persundalan menerusi aplikasi WhatsApp.
Kegiatan haram di premis tiga tingkat di Jalan Bandar Puteri Puchong itu terbongkar selepas pihak polis menyerbu dan menahan lapan individu termasuk enam gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati penjaga akan menghantar gambar GRO kepada kenalan bagi mencari pelanggan.
Katanya, pelanggan akan datang ke premis tersebut untuk melihat sama ada GRO yang sama seperti dalam gambar dan jika setuju pembayaran akan dibuat sebelum dibawa ke tingkat dua premis berkenaan bagi tujuan persundalan.
“Siasatan juga mendapati pelanggan akan dikenakan bayaran RM150 hingga RM200 bagi setiap satu sesi.
“Dalam serbuan itu, kita menahan empat wanita warga Thailand, Indonesia (2) dan Vietnam (2) yang berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.
Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 50 tahun yang berperanan sebagai penjaga.
Menurutnya lagi, kesemua warga asing yang ditahan itu dikatakan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Tangkapan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 55B akta yang sama,” ujarnya – K! ONLINE














