KUALA TERENGGANU – Kerugian lebih RM30,000 yang dialami sewaktu awal pembabitan dalam perniagaan penternakan madu kelulut tidak mematahkan semangat seorang usahawan untuk terus komited dalam perusahaan itu sejak lapan tahun lalu.
Menurut Mohd. Sufian Mat Noor, 47, perniagaan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2016 secara kecil-kecilan di kawasan perumahannya atas dasar suka-suka sebagai hobi masa lapang selain minat dalam bidang penternakan tersebut.
“Atas sekadar buat kerja secara suka-suka itu, sarang madu kelulut di kawasan rumah telah menghasilkan lebih daripada 500 gram madu membuat semangat saya makin berkobar-kobar untuk membeli 20 lagi sarang kelulut.
“Seterusnya madu yang dihasilkan meningkat kepada 10 kilogram (kg) dan bermula di situ saya telah menyewa tapak bagi menempatkan 100 sarang kelulut pada penghujung tahun 2016,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Galeri Madu Kelulut Bukit di sini baru-baru ini.
Mohd. Sufian berkata, akibat teruja menambah sarang kelulut, percaturan itu hampir mengundang padah apabila lebih 50 peratus daripada sarang kelulut tersebut musnah diserang serangga perosak, black fly soldier atau lalat hitam.
Begitupun jelas beliau, ujian berkenaan tidak mematikan minatnya untuk kembali bangkit dalam perusahaan kelulut.
“Kemudian, saya belajar teknik yang betul tentang menternak kelulut sebelum mampu membuka Galeri Madu Kelulut Bukit di Bukit Bayas sejak beberapa tahun lalu atas bantuan daripada agensi kerajaan yang memberi geran untuk mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang ini.

“Galeri ini memberi tumpuan terhadap madu yang dihasilkan daripada tiga spesies kelulut yang terdiri daripada Heterotrigona itama (Itama), Lepidotrigona terminata dan Geniotrigona thoracica (Torasika).
Lebih menarik, beliau memberitahu, madu kelulut yang dijual di galerinya telah diasingkan kandungan lima peratus air bagi menjadikan ia benar-benar asli.
“Setiap sarang kelulut mampu menghasilkan antara 300 gram hingga satu kilogram (kg) madu bergantung kepada faktor cuaca dan persekitaran,” katanya.
Mohd. Sufian menerangkan, Galeri Madu Kelulut Bukit kini mempunyai 180 sarang kelulut dan 200 lagi sarang kelulut terdapat di kebun miliknya di Kampung Serada di sini yang mana kesemua sarang tersebut mampu menghasilkan lebih daripada 300kg madu sebulan.
“Produk madu kelulut keluaran syarikat kini mampu menembusi pasaran Indonesia, Yemen, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
Mohd. Sufian berkata, rata-rata pelanggannya dari Timur Tengah memuji madu kelulut asli keluaran syarikatnya yang bukan sahaja berkhasiat tinggi malah lazat.
Dalam pada itu, beliau juga menjual sarang kelulut spesies Torasika pada harga RM2,800 sebuah kepada usahawan baharu yang ingin menceburi penternakan kelulut.
“Saya juga mahu mempromosi Galeri Madu Kelulut Bukit sebagai destinasi pelancongan agro terkenal di Terengganu.
“Kami giat mempromosikan galeri ini untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa dengan pelbagai aktiviti pada cuti hujung minggu,” katanya. -KOSMO!ONLINE














