SETIAP wanita mengharapkan perkahwinan yang dibina akan bahagia, tetapi tidak semua pernikahan akan berakhir dengan kebahagian.
“Saya tidak merasakan kebahagiaan itu apabila suami yang disayangi dengan sepenuh hati berlaku curang di belakang saya.”
Itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Ija.
Ija yang berusia awal 30-an mengakui bahawa dia bernasib malang apabila berkahwin dengan seorang lelaki ‘kaki perempuan’.
Mengulas lanjut, Ija berkata, dia dan suaminya itu berkenalan antara satu sama lain atas urusan kerja.
Setelah beberapa bulan berkenalan, mereka mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan serius antara satu sama lain.
“Sebelum mengenalinya, saya tidak pernah menyerahkan kehormatan kepada mana-mana lelaki.
“Setelah menjalinkan hubungan, kami telah terlanjur beberapa kali dan semua itu berlaku kerana godaannya,” jelas Ija yang bekerja dalam sektor swasta.
Setelah terlanjur beberapa kali, Ija mendesak suaminya untuk berkahwin dan akhirnya mereka bertunang dan melangsungkan perkahwinan.
Ija menjelaskan, dia gembira akhirnya dapat menghalalkan hubungan mereka apabila melangsungkan perkahwinan dengan lelaki disayanginya.
Pada tahun pertama perkahwinan mereka, suaminya itu telah berlaku curang apabila mempunyai hubungan dengan seorang janda.
Semuanya ‘terkantoi’ apabila suaminya itu terlupa untuk memadam perbualannya dengan janda tersebut.
“Luluh hati saya ketika itu apabila membaca perbualan mereka.
“Daripada perbualan itu, mereka telah bersama beberapa kali,” terang wanita berasal dari Selangor itu.
Suaminya mengakui perbuatannya dan memberitahu bahawa janda tersebut telah kenali sebelum mereka berdua berkahwin lagi.
Malah, suaminya merayu kepada Ija dan menyesali perbuatan itu, selain berjanji tidak mengulanginya lagi.
Ija yang mempunyai sifat pemaaf telah memberi peluang kedua kepada suaminya itu.
“Melihat suami saya yang menangis dan memohon maaf atas perbuatannya itu, hati saya menjadi sayu dan memberinya peluang kedua,” terangnya.
Namun begitu, peluang yang diberikan Ija itu tidak digunakan oleh suaminya.
Ija mula menyedari suaminya itu seakan sudah tidak ‘ghairah’ menyentuhnya.
Kadangkala, dia yang harus memulakan langkah untuk bersama dengan suaminya.
Sebelum ini, suaminya yang akan memulakan langkah tersebut.
“Dalam masa sama, saya ada membaca beberapa luahan wanita di media sosial yang memaklumkan, kurang masa ‘bersama’ adalah petanda suami sudah ‘makan luar’.
“Ini membuatkan saya menaruh rasa yang sama kepada suami memandangkan sebelum ini dia pernah berlaku curang di belakang saya,” terangnya.
Andaian Ija kepada suaminya itu benar belaka apabila dia melihat perbualan suaminya itu bersama beberapa wanita lain di satu aplikasi.
Sebelum ini, dia jarang melihat aplikasi itu.
“Saya melihat satu aplikasi yang sebelum ini jarang saya lihat di telefon pintar suami.
“Hati saya berdebar untuk membuka aplikasi itu.
“Setelah dibuka, saya melihat ada perbualan suami saya bersama beberapa wanita lain.
“Perbualan itu bukan biasa-biasa, malah lebih bersifat hubungan asmara yang menandakan seperti mereka sudah ‘bersama’,” terangnya.
Tambahnya, dia juga ada membuka e-mel suaminya dan melihat ada butiran beberapa tempahan hotel yang terlupa dipadam.
Ija sempat menangkap layar perbualan itu untuk dia jadikan bukti.
Dalam keadaan marah, dia terus meminta penjelasan daripada suaminya.
“Suami saya diam tidak terkata dan cuba untuk menafikan.
“Namun, daripada riak wajahnya, saya yakin dia berbohong.
“Akhirnya, dia mengakui telah menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita lain.
“Hubungan yang terjalin itu hanya untuk seks dan tidak lebih daripada itu,” katanya.
Ija tidak menyangka suaminya sanggup berbuat demikian di belakangnya.
Akhirnya, Ija mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya dengan memohon fasakh di mahkamah syariah kerana tidak sanggup diperlakukan sedemikian rupa.
Mereka akhirnya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara tanah air.















