PETALING JAYA – Bersesak sehingga 10 orang dalam satu rumah sewa bukanlah perkara asing dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta ketika ini.
Semuanya disebabkan harga sewa tinggi selain kekangan penempatan kolej kediaman yang disediakan oleh universiti.
Malah situasi itu terpaksa ‘ditelan’ penuntut berikutan tidak mampu mendapatkan rumah yang lebih selesa dengan harga yang lebih murah.
Seorang pelajar universiti awam di Selangor dikenali Ahmad, 23, berkata, dia dan rakannya menyewa sebuah bilik kecil yang hanya memuatkan dua katil bujang dan sebuah almari dengan harga RM300 sebulan.
Katanya, rumah yang disewanya itu sebelum ini adalah sebuah butik dan papan nipis dijadikan dinding bagi memisahkan setiap bilik. Sebanyak 12 buah bilik dengan dua penghuni bagi setiap satu ruangan itu.
“Bilik kami memang kecil dan tidak selesa sebenarnya. Namun itu pilihan yang ada dan kami tidak mahu menyusahkan ibu bapa jika menyewa bilik besar.
“Kami bukan sengaja mahu bilik seperti ini, kami terpaksa sebab ini sahaja bilik yang paling murah, yang lain terlampau mahal untuk disewa dengan status kami sebagai pelajar,” katanya.
Seorang penuntut yang mahu dikenali sebagai, Haniff, 23, berkata, dia terpaksa berkongsi untuk menyewa sebuah apartmen berkeluasan sederhana bersama-sama 10 rakannya kerana mahu menjimatkan wang.
“Sebagai pelajar yang tiada pendapatan tetap, berhimpit itulah pilihan yang ada. Rumah ini pun sudah beribu,” katanya
Dakwanya, bebanan mereka semakin bertambah apabila pemilik rumah menaikkan bayaran sewa rumah kepada RM3,000 bulan lalu.
“Sebelum ini saya perlu membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan setelah dibahagi kepada 10 orang. Sekarang pemilik rumah naikkan harga sewa rumah ke RM3,000. Jadi saya terpaksa bayar RM300 tidak termasuk bil api dan air,” katanya.
Seorang pelajar komunikasi dikenali Aisyah, 24, ruangan sempit di rumah sewanya membuatkan semua penghuni terpaksa berkongsi bilik air yang satu.
Katanya, harga murah RM84 sebulan, namun kesusahan yang terpaksa ditanggung pula banyak sehingga membuatnya tertekan.
“Penghuni di rumah ini 10 orang tetapi hanya ada satu bilik air sahaja, jadi setiap orang mesti kena tunggu giliran untuk mandi dan bersihkan diri, memang kena bersabar sahaja.
“Tambahan pula, disebabkan ruangan kecil dan ketiadaan mesin basuh, kami perlu bergilir-gilir membasuh baju dengan tangan. Ruang ampaian pun kecil jadi semua orang kena bergiliran menyidai pakaian,” katanya.
Tambahnya, dia terpaksa reda dengan bilik tersebut kerana kesulitan mendapatkan rumah sewa di sekitar Gong Badak.














