PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melanjutkan Op Manis 2.0 sehingga 31 Julai ini bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula di seluruh negara stabil untuk kegunaan rakyat.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pelanjutan operasi itu juga untuk memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh hingga menyebabkan gangguan ke atas bekalan bahan itu di pasaran.
“Dimaklumkan, Op Manis 2.0 yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu kita sambung selama sebulan pada Julai ini, kalau boleh kita tidak mahu langsung ada aduan atau pun rungutan sama ada dalam kalangan pengguna atau peniaga.
“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan melalui kementerian supaya rakyat tidak perlu gusar kerana kerajaan berusaha keras pastikan isu kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan berkesan,” katanya di sidang akhbar pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris, di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Manis dan Op Manis 2.0 bermula 3 Mei hingga 30 Jun lalu, sebanyak 6,276 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan 109 aduan diterima dalam tempoh sama.
Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak 20 kes dikesan melibatkan kesalahan mengenakan syarat penjualan tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan. – KOSMO! ONLINE














