BALING – Di sebalik suasana tenang Kampung Iboi di sini, tersimpan kisah duka dan menyayat hati akibat kejadian aliran puing dan banjir lumpur yang mengorbankan tiga sekeluarga selain lebih 1,000 rumah terjejas pada 4 Julai tahun lalu.
Semalam genap setahun tragedi tersebut dan rata-rata penduduk yang ditemui mengakui, bencana alam itu masih segar dalam ingatan, namun mereka reda dengan ketentuan Ilahi.
Tinjauan mendapati impak bencana itu terus mengubah landskap jajaran Sungai Kupang di situ termasuk lokasi berkelah, Lata Celak yang dahulunya menjadi tumpuan ramai kerana kejernihan air dan kehijauan alam.
Keadaan tebing sungai itu kini dipenuhi pasir yang dibawa turun dari kawasan Gunung Inas dalam kejadian berkenaan.
Sebahagian tapak 15 rumah yang musnah dan lenyap akibat dihanyutkan aliran puing atau kepala air itu juga masih dibiarkan kosong.

Seorang penduduk, Abd. Rahman Said, 72, berkata, meskipun mereka yang kehilangan rumah akibat bencana itu diberikan kediaman baharu, namun ia tidak dapat mengembalikan semula kehidupan dahulu.
“Kami sememangnya bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan, namun bukan mudah untuk kami melupakan terus kejadian dahsyat tersebut.
“Saya adalah antara yang paling terkesan apabila kehilangan isteri, Salmah Mat Akib, 53, menantu, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang sedang hamil serta anak tiri, Muhammad Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, serentak,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, semalam.
Katanya, dia sebak setiap kali terkenang tiga insan yang disayanginya itu dan sentiasa mendoakan mereka serta menziarahi kubur mereka.
“Hidup ini sepi tanpa mereka, malah anak tiri saya, Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, yang bekerja di Pulau Pinang jarang pulang ke Iboi kerana masih trauma dengan kehilangan isteri dan anak dalam kandungan berusia empat bulan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Md. Deris Jusoh, 64, turut mengakui bukan mudah untuk melupakan kejadian tersebut yang hampir meragut nyawanya, isteri dan tiga anak.
“Saya bersyukur kerana kami semua sempat selamatkan diri, namun rumah kami lenyap sepenuhnya akibat dihentam batang-batang pokok besar yang dihanyutkan bersama kepala air.
“Kami tinggal sehelai sepinggang, satu barang milik kami pun tidak ditemui, lenyap sekelip mata,” katanya yang kini tinggal di rumah baharu di Desa Keda Sadek, Kupang, di sini.
Berita berkaitan: ‘Tragedi Iboi ragut kegembiraan kami’
Berita berkaitan: Mangsa tragedi Iboi tak sempat beraya di rumah baru
Seorang lagi mangsa, Nor Azlan Aziz, 38, memberitahu, dia bersyukur kerana dia, isteri dan lima anak dapat tinggal di rumah yang selesa.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sediakan rumah ini. Banyak juga bantuan kewangan dan barangan elektrik dan keperluan lain disumbangkan banyak pihak, ia penting untuk kami bangkit semula dalam kehidupan,” katanya.














