DI Taman Desa Darul Naim, Kota Bharu inilah seorang peniaga air balang, Rokiah mati ditikam bekas suaminya.

Lelaki tikam bekas isteri 13 kali, cemburu mangsa ada kekasih baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki bagaikan dirasuk apabila menikam bekas isterinya sebanyak 13 kali hanya kerana cemburu selepas mengetahui wanita itu mempunyai teman lelaki dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim, Kubang Kerian di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Rokiah Ayub, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suspek pula parah di bahagian perut kerana bertindak menikam dirinya sendiri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan ibu saudaranya me­ngalami kecederaan parah selepas ditikam oleh bekas suami.

Katanya, mangsa yang be­kerja sebagai peniaga air balang di Pasir Tumboh di sini, tinggal berdua bersama seorang anak saudara perempuannya di rumah sewa berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek pernah berkahwin pada enam tahun lalu dan pasangan itu tidak mempu­nyai anak.

“Motif kejadian dipercayai akibat cemburu iaitu suspek tidak berpuas hati setelah mendapat tahu mangsa mempunyai teman lelaki.

“Suspek yang berusia 50-an juga cuba memujuk mangsa untuk kembali semula kepadanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

ALLAHYARHAM ROKIAH

Tambah beliau, ketika kejadian, mangsa berada di dalam bilik tidurnya bersama suspek sebelum wanita itu tiba-tiba keluar dalam keadaan berlumuran darah dan rebah di ruang tamu rumah.

“Kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat dan mempunyai tiga buah bilik tidur. Sebilah pisau dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian itu turut dijumpai di dalam bilik tidur mangsa.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di ruang tamu,” tambahnya.

Muhamad Zaki menambah, hasil pemeriksaan awal, terdapat beberapa luka kesan tikaman di beberapa anggota tubuh mangsa.

Katanya, tangkapan ke atas suspek telah dibuat dan lelaki itu turut dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini akibat luka di perut.

“Kita percaya suspek cuba menikam dirinya sebaik menikam mangsa dan lelaki itu telah ditahan wad bagi rawatan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman gantung sampai mati.

“Mereka yang mempu­nyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Superinten­dan Yusnita Yaacub ditalian 012-7806090 atau 09-7752200,” katanya.

DI rumah di Taman Desa Darul Naim, Kota Bharu inilah mangsa ditemui dengan kesan tikaman di anggota badan.

Dalam pada itu, rata-rata penghuni Taman Desa Darul Naim di sini, mendakwa terdengar bunyi muzik yang terlalu kuat dari rumah mangsa pada malam keja­dian sebelum wanita itu ditemui mati akibat ditikam bekas suami sendiri.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali Husin, 34, berkata, dia terdengar bunyi muzik yang sangat kuat dari rumah wanita itu kira-kira pukul 11 malam.

Katanya, sebelum ini, rumah yang disewa mangsa itu memang sering membunyikan muzik, namun keadaan pada malam kejadian terlalu bising sehingga mengganggu jiran lain.

“Saya tahu, penghuni rumah itu gemar berkaraoke. Ada juga rakan-rakannya yang datang untuk menyanyi di situ.

“Tetapi bunyi muzik pada malam tadi (kelmarin amat kuat dan tidak pernah berlaku kea­daan seperti itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.

Menurut Husin, mangsa dikatakan menyewa di rumah tersebut sejak dua bulan lalu selepas berpisah dengan bekas suami­nya yang berusia 50-an.

Katanya, ada beberapa individu lain termasuk saudara terdekat mangsa berada di rumah berkenaan semasa bunyi bising itu kedengaran.

Seorang lagi jiran dikenali Hani, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi oleh rakannya yang terdengar bunyi ambulans dan kenderaan polis di hadapan rumah.

Menurutnya, dia bergegas ke pintu rumah dan mendapati ambulans dan trak polis sudah berada di hadapan rumahnya.

“Beberapa jiran turut terkejut apabila mengetahui ada seorang wanita mati ditikam di rumah berkenaan, manakala seorang lelaki pula parah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN