LANGKAWI – Hasrat pengunjung untuk mandi manda dan menghabiskan cuti hujung minggu bermain jet ski di Pantai Chenang dan Pantai Tengah, Pulau Langkawi terbantut susulan amaran cuaca buruk dan laut bergelora sejak kelmarin.
Cuaca buruk berkenaan dijangka sehingga Rabu ini dan bendera amaran berwarna merah turut dinaikkan bagi memberi amaran keadaan berbahaya kepada pengunjung.
Tinjauan Kosmo! di Pantai Chenang di sini, mendapati, lebih tiga pengusaha jet ski tidak beroperasi disebabkan laut bergelora yang membahayakan pekerja dan pengunjung.
Seorang pengunjung, Khairul Nisak Talib, 34, berkata, dia membawa anak saudaranya untuk bermain air di pantai, namun terpaksa membatalkan hasrat tersebut susulan keadaan ombak yang kuat dan berbahaya untuk mandi manda.
“Saya nampak ada anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam) memanggil pengunjung yang sedang mandi kerana ombak terlalu kuat.
“Jadi tidak dapatlah kami mandi hari ini (semalam), kecewa juga tetapi tidak mengapa. Kami hanya bermain pasir dan berkelah di tepi pantai,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja perkhidmatan jet ski, Adi Sulaiman, 39, yang ditemui berkata, sehingga semalam keadaan belum sesuai dan pihaknya akan menunggu sehingga cuaca dan ombak reda sebelum benarkan pelanggan menggunakan jet ski.
“Semalam (kelmarin) keadaan ombak terlalu berbahaya ditambah dengan hujan lebat sehingga semua pengusaha jet ski menutup perkhidmatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Bersetuju dengan kenyataan itu, seorang lagi pekerja sukan air, Ujang Ahmad, 43, memberitahu, terdapat beberapa pelanggannya yang telah keluar menaiki jet ski bagi lawatan ke pulau-pulau.
“Tetapi keadaan ombak di sini semakin kuat dan besar, kemungkinan mereka akan dilencongkan ke Jeti Teluk Baru selepas selesai lawatan.
“Risiko agak tinggi bagi pelanggan untuk meredah ombak, sedangkan ada dalam kalangan kami sendiri yang mahir tetapi jet skinya terbalik kerana ombak terlalu kuat pada pagi tadi (semalam),” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai APM Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, pihaknya telah menaikkan bendera amaran berwarna merah bersama papan tanda dilarang berenang di sekitar pantai di sini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir dan laut bergelora melanda pulau ini hingga Rabu ini.