LUAHAN rasa rindu pada kekasih hati dan keluarga di China yang diabadikan pelombong bijih timah pada dinding Gua 2, Gua Kelam di Padang Besar, Perlis sejak kira-kira 85 tahun lalu masih boleh dilihat sehingga hari ini.
Tulisan Cina berwarna hitam itu terdapat pada beberapa sudut dinding di sepanjang laluan gua tersebut.
“Luahan itu ditulis sendiri pelombong bijih timah pada ketika itu yang merindui isteri, anak dan ahli keluarga di China.
“Rasa sunyi dan rindu yang terpendam di dalam hati itu mereka luah pada dinding gua ini,” kata Pengarah Perhutanan Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni sambil menghalakan lampu suluhnya pada tulisan tersebut.
Gua Kelam merupakan gua batu kapur yang terbentuk secara semula jadi antara 416 hingga 508 juta tahun dahulu yang mana aktiviti perlombongan secara besar-besaran di gua itu dilakukan antara tahun 1935 hingga 1970-an.

Pada waktu itu, ramai pelombong dari China datang ke Perlis untuk memungut hasil bijih timah berikutan revolusi industri yang berlaku di Eropah.
Selain karya pelombong yang beremosi itu, kata Ag. Shaffie, terdapat banyak lagi kesan tinggalan aktiviti perlombongan bijih timah yang boleh dilihat pengunjung.
“Kita boleh lihat ada kayu jenis cengal diikat menggunakan dawai dan disambung dari dinding gua ke dinding lain yang mana ia menjadi landasan troli untuk mengangkut bijih timah. Tinggalan kayu itu boleh dilihat dari bahagian atas gua sehingga bawah yang menunjukkan aktiviti mengorek bagi mencari bijih timah dilakukan dari atas melalui laluan ini,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pengunjung juga boleh melihat satu kawasan khas untuk mendulang dan mencuci bijih timah dilakukan.
Menurutnya, terdapat juga pintu atau blok sempadan yang dibina bagi memisahkan kawasan perlombongan mengikut ‘tauke’ masing-masing.
“Ada juga binaan batu yang tersusun, selain susunan batu berbentuk piramid yang kemungkinan menjadi kubur pelombong atau tempat simpanan barang.
“Cuba bayangkan pada waktu itu pernah ada sehingga 2,000 pelombong dalam satu masa, jadi pasti ada dalam kalangan mereka yang meninggal dunia di dalam gua ini,” jelasnya.
Menurut Ag. Shaffie, nama Gua Kelam diberikan pelombong bijih kerana suasana gelap gua itu sehingga mereka perlu menggunakan lampu karbaid ketika menjalankan aktiviti mengeluarkan bijih timah.

Menurut catatan sejarah, gua itu ditemui seorang pengusaha lombong bijih timah berbangsa Inggeris, Sir John Campbell pada tahun 1935.
“Beliau kemudiannya mendapati bahawa Gua Kelam mengandungi banyak bijih timah sebelum kerja-kerja perlombongan dilakukan di situ,” kata Ag. Shaffie.
Ujarnya, lombong bijih timah di Gua Kelam didapati berada di dasar bukit dan sepanjang yang diketahui, ia satu-satunya lombong bijih timah di dasar bukit yang terdapat di dunia.
“Bijih timah yang dilombong dari Gua Kelam adalah bermutu tinggi. Misalnya pada tahun 1950-an hingga 1970-an, tidak kurang 600 pikul bijih dilombong setiap bulan.
“Pada waktu itu, bilangan pekerja lombong meningkat sehingga 2,000 orang,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, lama-kelamaan jumlah pekerja semakin berkurangan kerana hasil pengeluaran bijih timah semakin merosot dan akhirnya lombong berkenaan ditutup.
“Kini Gua Kelam menjadi tempat bersejarah dan menarik untuk dikunjungi di negeri ini,” katanya.
Di Gua Kelam, terdapat tiga gua iaitu Gua 1, 2 dan 3 yang mana Gua 1 adalah paling popular kerana mempunyai jambatan gantung sepanjang 370 meter (m) sebagai laluan bagi pengunjung menikmati keindahan gua tersebut.
Di Gua 2 pula, pengunjung perlu menggunakan khidmat jurupandu kerana gua itu mempunyai banyak kesan tinggalan aktiviti perlombongan yang boleh diceritakan kepada pengunjung.
Gua 3 bagaimanapun belum dibuka untuk kunjungan awam kerana laluan yang ekstrem dan agak sukar dilalui.
Ag. Shaffie berkata, di Gua Kelam 2 itu, pengunjung akan dibawa oleh jurupandu menelusuri laluan sepanjang kira-kira 1 kilometer di dalam gua. Perjalanan masuk ke gua itu bermula dengan ruang yang agak sempit dan aliran air sejuk boleh dirasai pada lantai serta dinding gua.

Pengunjung juga perlu berhati-hati kerana struktur gua yang sempit mendedahkan risiko terhantuk pada bahagian bumbung gua yang rendah.
Tidak mengambil masa yang lama, dalam keadaan agak kelam dengan sinaran beberapa lampu disediakan di situ, pengunjung akan menemui satu tasik dengan air yang tenang di dalam gua tersebut.
Pengunjung kemudian akan memasuki satu bahagian gua yang luas dengan ketinggian sehingga 50m.
Selain tinggalan perlombongan, keindahan tirai gua serta stalaktit terbentuk sejak ratusan tahun dahulu pasti memukau pandangan.
Sementara itu, chef selebriti, Chef Liza atau nama sebenarnya, Azizah Che Long yang turut berkunjung ke Gua Kelam berkata, dia berasa teruja berpeluang menikmati keindahan Gua Kelam dan mendengar sejarah aktiviti perlombongan di situ.

“Seronok sebab kita masih boleh lihat lagi kesan daripada aktiviti perlombongan yang pernah dilakukan di gua ini,” katanya.
Menurutnya, dia merancang untuk menjadikan Gua Kelam sebagai salah satu lokasi penggambaran program memasaknya selepas ini.
“Saya mahu membantu mempromosikan lagi keunikan Gua Kelam kepada orang di luar sana,” ujarnya.














