MENGGALAS imej bersih sedari awal terjun ke arena komersial dan lakonan, pelakon remaja Qistina Raisah tidak menyangka terjebak kontroversi ketika usianya baharu menginjak ke 15 tahun.
Biar enggan lagi membicarakan mengenai ‘perang dingin’ bersama seorang lagi aktres sebaya yang tidak perlu disebutkan identiti, gadis ini mengalah tatkala isi hati cuba diselongkar.
Katanya, episod yang mencalarkan nama baiknya tanpa diketahui motif diungkit si aktres terbabit, hakikatnya meninggalkan trauma sekali gus mengingatkan dirinya supaya lebih berhati-hati.
“Siapa tidak terkejut apabila nama ‘dipetik’ secara tiba-tiba tanpa sebarang punca, selain disindir secara terbuka seolah-olah mengajak orang lain menghentam secara berjemaah.
“Ikutkan, antara kami tiada masalah walaupun dahulu pernah berkongsi set penggambaran, tetapi jangankan duduk semeja, berbual di luar penggambaran pun kami tak pernah.
“Saya bukan kaki gaduh dan semua ini pengajaran. Paling penting mereka yang pernah bekerja bersama saya, termasuk kru tahu situasi sebenar,” katanya yang selesa berkawan tanpa memilih latar belakang atau status.
Bertuah dikelilingi ramai insan yang menyuntik semangat, pemilik nama sebenar Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri itu yakin kontroversi bergaduh mulut dalam media baru-baru ini tidak menggugat kepercayaan penerbit terhadapnya.

Rezeki
Buktinya, Qistina tidak putus-putus meraih tawaran. Dia baru selesai menjayakan drama bersiri terbitan TVS berjudul Biak Balau yang menamatkan penggambaran selepas lebih dua minggu berkampung di Limbang, Sarawak.
Satu demi satu tawaran termasuk bergelar duta produk yang rancak menjengah pintu rezekinya, menyuntik lagi semangat untuk menepis kata-kata jahat.
“Alhamdulillah, rezeki tetap hadir biar berdepan dugaan dihina dan dikecam tanpa usul periksa. Tidak mengapa, Allah Maha Mendengar.
“Hakikatnya saya makin kuat. Mungkin selain terbabit dalam dunia iklan dan berlakon, saya mahu mencabar diri sebagai penyanyi serta pengacara.
“Kedua-dua cabang seni ini berada dalam radar pemerhatian saya sudah lama, tetapi baharu sekarang saya berani nak bolosi berbekalkan persediaan awal,” kata anak kelahiran Sepang, Selangor itu.

Memaklumkan sudah bersedia masuk ke kelas vokal bagi memperbaiki kualiti nyanyian, Qistina juga sedang dalam proses mencari material sesuai untuk dirakamkan sebagai single.
Enggan terburu-buru, rencana yang diatur secara terperinci memerlukan kesabaran serta ketelitian supaya hasilnya memenuhi piawaian pendengar.
“Minat menyanyi memang sudah lama bercambah, cuma baru sekarang saya tekad untuk serius. Tetapi kena ambil kelas dulu sebelum boleh merakamkan lagu.
“Buat masa ini tumpuan saya pun lebih kepada bidang pengacaraan sebab saya suka bercakap depan kamera. Jika ada tawaran jadi hos kenapa tidak saya rebut?
“Bukan tamak, semua ini lebih kepada minat yang telah terpendam lama dengan baru sekarang saya berani teruskan berikutan pembahagian masa,” ulasnya lagi.
Dalam rancak mengatur jadual penggambaran serta persekolahan di rumah, pelakon yang memulakan karier sejak kecil itu juga sedang mempelajari bahasa Mandarin.
Katanya, kelebihan fasih bertutur selain bahasa Malaysia dan Inggeris dapat dimanfaatkan dalam kehidupan.
“Selain belajar bahasa, saya juga suka melukis. Saya juga sedang belajar meluncur bersama sekumpulan kawan yang punya hobi sana.
“Tidak bermakna saya bersekolah di rumah, kelompok pergaulan saya terhad. Saya juga ada rakan sebaya yang berkongsi minat dalam aktiviti sebegitu,” tambahnya.

Matang
Dilihat memiliki kematangan mengatasi usia, Qistina mengakui lapangan seni yang diceburi kecil memerlukan dirinya menyesuaikan penampilan seiring keadaan.
“Macam hari ini saya keluar bermekap kerana terbabit dalam sesi promosi dan fotografi. Jika tidak, penampilan saya macam remaja belasan tahun lain.
“Saya juga suka bereksperimentasi dengan mekap, mungkin itu yang membuatkan saya disangka matang sebelum waktunya.
“Saya juga ada beberapa kawan yang bukan dari bidang hiburan. Setakat ini saya menjalani kehidupan seperti remaja lain,” katanya.

Gimik
Bercakap tentang sensasi cintanya dengan jejaka usia 20-an yang pernah menjadi perhatian, pelakon Lafazkan Kalimah Cintamu itu mendedahkan kisah tersebut hanya gimik demi penerbitan single lagu individu terbabit.
Ulas Qistina, bagaimanapun apa yang berlaku tidak mengikut perancangan. Pihak terbabit sepatutnya tampil dengan pengakuan bahawa ‘kisah cinta’ mereka cuma promosi lagu.
“Saya pun tak sangka sampai ke sudah tiada penjelasan daripada pihak berkaitan sehingga orang salah faham dan sangka kami betul-betul bercinta.
“Perkara ini pun sudah lama berlaku jadi tak sepatutnya dijadikan isu. Sekarang, saya dan ibu akan lebih berhati-hati,” tutupnya.
















