ALOR SETAR – Ikatan perkahwinan kebanyakan pasangan muda di bawah usia 35 tahun kini begitu mudah terlerai, malah ada suami isteri yang baru bernikah sebulan sudah bercerai meskipun mereka telah bercinta lebih tujuh tahun.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada November 2022, sebanyak 43,934 kes penceraian dilaporkan pada 2021 dan daripada jumlah itu, lebih 23,000 kes melibatkan pasangan muda.
Peguam syarie, Farah Diyana Azhar berkata, rata-rata pasangan muda yang bercerai bukan sahaja mempunyai masalah kewangan, malah kurang matang dan tiada ilmu pernikahan.
Menurutnya, pasangan muda juga dilihat terburu-buru berkahwin tanpa memikirkan kemampuan untuk membimbing serta menyara keluarga.
“Ada kes isteri mengadu suami tidak bekerja dan banyak buang masa bermain game.
“Ada juga kes isteri yang terlampau membanding-bandingkan suami dengan pasangan bahagia dan kaya di media sosial sehingga berlaku perbalahan,” katanya kepada Kosmo!.
Farah Diyana memberitahu, selain itu terdapat pasangan muda yang baru berkenalan di media sosial, tetapi tergesa-gesa mahu berkahwin.
“Perkenalan singkat ini menyebabkan ada pasangan yang bercerai kerana tidak betul-betul mengenali isteri atau suami mereka. Kalau dahulu kita ada adat merisik, sekarang tidak ramai melakukannya,” ujar beliau.
Farah Diyana berkata, beliau banyak mengendalikan kes perceraian melibatkan pasangan muda berusia antara 17 tahun hingga 35 tahun dan kebanyakan alasan bercerai adalah tiada persefahaman.
“Bagaimanapun, di sebalik alasan biasa itu berlaku beberapa isu antara pasangan seperti masalah kewangan, hubungan orang ketiga dan campur tangan keluarga,” jelasnya.
Menurutnya, beliau pernah mengendalikan satu kes seorang jururawat berusia 20-an berkahwin dengan kekasihnya yang juga pekerja sebuah syarikat swasta.
“Anak guam terpaksa tinggal di rumah mentua kerana suami tiba-tiba berhenti kerja selepas berkahwin.
“Apa yang berlaku adalah wanita itu dipaksa menanggung keluarga suami. Dia juga perlu membayar hutang ah long dibuat suaminya setiap bulan,” katanya.
Ujarnya, wanita terbabit itu sukar menegur suaminya kerana bimbang dimarahi keluarga kerana sedar dia menumpang di rumah berkenaan.
“Lebih teruk, apa yang anak guam pakai, dia kena beli juga buat adik iparnya sehingga terpaksa buat kerja sambilan.
“Wanita itu akhirnya membuat keputusan untuk bercerai apabila ibu mentua memintanya menggugurkan kandungan anak keduanya kerana bimbang wang tidak mencukupi untuk menyara keluarga,” ujarnya.
Katanya, beliau juga pernah mengendali satu kes perceraian melibatkan pasangan muda berusia lingkungan 20-an yang baru bernikah sebulan.
Ujarnya, pasangan itu tinggal berasingan dengan menyewa bersama rakan-rakan kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah selepas berkahwin.
“Pasangan ini biasanya akan berjumpa sekali-sekala dan akhirnya terbongkar suami mempunyai hubungan sejenis dengan rakan serumah selain turut mengambil dadah.
“Selepas bercerai, baru keluarga tahu sebenarnya mas kahwin dan hantaran berjumlah kira-kira RM10,000 semasa pernikahan mereka adalah menggunakan wang si isteri,” katanya.
Lebih menyedihkan wanita itu apabila pihak keluarga lelaki sebenarnya sudah mengetahui suaminya adalah penagih dadah, namun merahsiakannya sepanjang tempoh tujuh tahun percintaan mereka.
















