fbpx
GAMBAR HIASAN

Ramai ibu suka beri anak minuman tenaga, kafein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGELINTIR ibu bapa dilihat terlepas pandang selain kurang peka terhadap pengambilan makanan serta minuman zuriat mereka khususnya apabila anak-anak semakin menginjak dewasa.

Sebagai penjaga yang bertanggungjawab, mereka seharusnya memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak ­supaya mengamalkan gaya hidup sihat walau di mana jua mereka berada.

Ia sememangnya bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan sekiranya ibu bapa sendiri tidak mengamalkan gaya hidup sihat malah lebih teruk, tidak endah akan hal berkenaan.

Sebelum ini, sekeping gambar yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang menikmati minuman tenaga jelas menimbulkan kerisauan orang ramai sejak dimuat naik oleh penja­ganya di media sosial.

Niat hanya ingin berkongsi telatah serta ragam anak pulang dari sekolah, namun sebaliknya, kecaman pula diterima disebabkan gambar anaknya bersama air minuman tenaga tersebut.

Hal sedemikian jelas berada di luar kawalan penjaga ekoran kanak-kanak berkenaan dipercayai membeli air tersebut di warung berdekatan sekolahnya. Adakah fenomena berkenaan tidak akan berlaku sekiranya mereka berada di bawah pengawasan ibu bapa?

Melihat dari sudut positif gambar berkenaan tular di ­platform media sosial, ia sedikit sebanyak memberi teguran halus serta pengajaran besar kepada ibu bapa supaya lebih sensitif ­dengan pengambilan makanan anak-anak dalam kehidupan seharian.

Berdasarkan pemantauan penulis ketika berada di keba­nyakan restoran, rata-rata ibu bapa tidak melarang anak-anak memesan makanan serta minuman yang tidak berkhasiat ­bahkan lagi teruk ada segelintir ibu bapa membiarkan anak kecil mereka menikmati air bertenaga.

Pada hemat penulis, banyak bahana bakal menyusul sekira­nya kesedaran terhadap kesihatan anak-anak tidak dititikberatkan sejak awal usia kerana kesihatan yang sempurna tidak boleh dijual beli.

Menurut Pegawai Perubatan, Muhammad Alif Md. Zaki, minuman tenaga sangat ­berbahaya untuk kanak-kanak susulan mempunyai kandu­ngan gula yang tinggi.

“Minuman tenaga mempu­nyai gula sangat tinggi yang boleh menyebabkan kanak-kanak berisiko dengan penyakit kencing manis dan diabetes.

“Jika pengambilan minuman tersebut tidak dikawal, ia bakal memberi komplikasi kencing manis termasuk risiko kerosakan buah pinggang,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Sehubungan itu, beliau juga menjelaskan minuman tenaga turut mempunyai kandungan kafein terlalu tinggi yang boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak.

“Pengambilan kafein bagi kanak-kanak boleh menyebabkan ketagihan yang membawa kepada kelesuan, kurang tidur, kurang daya fokus.

“Kafein juga boleh menyumbang kepada penyakit darah tinggi.

“Dua bahan iaitu gula dan kafein sangat berbahaya untuk badan kanak-kanak. Jika ingin dibahas lebih lanjut maka ba­nyak lagi risiko terhadap pengambilan minuman ini dan ia sangat bahaya jika diambil oleh kanak-kanak,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN