GEORGE TOWN – Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang meminta semua pihak berhenti daripada mempertikaikan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat.
Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kader Md. Ali berkata, ini kerana Pulau Pinang telah dimeterai menjadi sebuah negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri yang tersendiri dan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak mempertikaikan lagi kedudukan Pulau Pinang.
Menurutnya, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian daripada negeri dalam persekutuan.
“Di dalam Perlembagaan Persekutuan juga menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
“Malah, di dalam Undang-Undang Tubuh Pulau Pinang pula, bab ( 1 ) Perlembagaan Pulau Pinang menyebut bahawa, hendaklah ada seorang Yang Dipertua Negeri bagi sesuatu negeri dan hendaklah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong untuk bertindak menurut budi bicara tetapi setelah berunding dengan Ketua Menteri.
“Pulau Pinang dimeterai menjadi sebuah negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri, dan tidak wajar bagi mana-mana pihak mempertikaikan lagi kedudukan negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan bersedia untuk ke mahkamah berhubung dakwaan Pulau Pinang adalah milik Kedah. – KOSMO! ONLINE














