LEBIH 14 tahun mengukuhkan nama dalam arena seni, Sharnaaz Ahmad sememangnya antara aktor prolifik yang mampu menggalas variasi watak dengan berkesan hingga meninggalkan impak mendalam. Menjayakan watak Reza dalam Polis Evo 3, Sharnaaz dipuji melambung.
Meraih pujian melangit hasil lakonan cemerlang dalam Polis Evo 3, siapa sangka awalnya Sharnaaz Ahmad dihimpit debaran apabila diminta untuk menjalani uji bakat naskhah berkenaan.
Bukan takut, sebaliknya sudah kerap dia berdepan rasa kecewa apabila membabitkan sesi sebegitu, namun untuk meloloskan diri dalam filem trilogi berkenaan, aktor berusia 37 tahun itu sanggup membuang segala kecamuk dalam jiwa.
Uji bakat selalu ‘jahanam’
Pada masa sama, Sharnaaz juga tidak berfikir panjang sebaik dimaklumkan tentang syarat-syarat yang dimahukan penerbit dek keinginan untuk menjadi sebahagian daripada nashkah terbabit.
“Hakikatnya kegagalan yang terjadi sebelum ini bukan dibuat-buat kerana saya sudah melakukan pelbagai persediaan, tetapi tetap pulang dengan kekecewaan.
“Saya memang tak pandai ‘casting’. Biasanya sesi itu akan jahanam dengan cemerlang. Pernah beberapa kali pergi (uji bakat), tapi semua gagal. Itu sebab saya tak suka buat.
“Cuma ketika diminta penerbit Polis Evo 3, Joel Soh untuk sertai uji bakat saya terus bersetuju. Dalam hati ketika itu kata kalau mampus pun, mampuslah. Saya tetap nak buat,” katanya kepada HibGlam.
Tulang belakang
Nyata penampilan sebagai suami yang patah hati akibat kehilangan isteri angkara kecuaian pihak lain mencetuskan rasa syahdu khalayak walaupun pada awalnya geram dengan pelan jahat karakter mainannya, Saif dalam Polis Evo 3.
Malah emosi mendepani sahabat lama, Inspektor Khai lakonan Shaheizy Sam menyerlahkan lagi sisi halus Sharnaaz yang nyata mampu menikam emosi penonton.
Tidak hairan, kekuatan watak dan perwatakan Reza dikatakan menjadi tulang belakang menguatkan plot bagi naskhah yang mengaut RM30 juta untuk tempoh lebih 10 hari tayangan bermula 25 Mei lalu.
Selain Sharnaaz dan Sam, Polis Evo 3 turut membariskan Zizan Razak, Syafiq Kyle, Nora Danish, Eyka Farhana dan Fauzi Nawawi.
Tidak tanya bayaran
Menurut pembawa watak bekas polis yang mahu membalas dendam itu, sedari awal memang dia tidak membuka mulut mengenai bayaran disebabkan keinginan mendalam untuk membintangi berkenaan.
“Sudah lama saya tidak berlakon dalam naskhah yang sempurna. Jadi saya tak tanya pun pasal bayaran.
“Kalau untuk filem lain, kenalah saya pertimbangkan juga soal bayaran kerana berlakon periuk nasi saya.
“Untuk filem ini saya memang dedikasikan masa dan diri memberikan sehabis baik. Sebab itu saya sanggup berlatih siang dan malam selain mendapatkan khidmat jurulatih peribadi.
“Apabila mendapat peluang beraksi dalam filem serta produksi yang memang kita mahukan, tentu sahaja kita berikan lebih 100 peratus komitmen biarpun berdepan cabaran,” ulas anak jati Pulau Pinang itu.
Bukan hanya berdepan masalah sakit gigi dan kecederaan pada lutut, ketika penggambaran berlangsung sekitar 2019, bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu mengakui sedang berdepan kemelut dalam rumah tangga.
Namun semua isu tersebut tidak sedikit menggoyahkan tumpuan terhadap tanggungjawab di lokasi, sebaliknya sepenuh jiwa raga diserahkan demi karakter antagonis yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Saya berhadapan kesakitan ketika menjayakan filem ini. Antaranya, masalah sakit geraham bongsu setiap hari.
Mungkin kedengaran lucu dan nampak biasa, tetapi rasa nak marah dan nak menjerit bersilih ganti.
“Saya juga bergelut kesakitan termasuk cedera lutut, selain perlu perlu menjalani pembedahan hidung disebabkan kesan habuk tebal di lokasi.
“Cuma paling ketara adalah perang emosi kerana ketika itu saya sedang melalui fasa emosi,” katanya.
Kenali hati budi
Tinggal seketika ledakan Polis Evo, Sharnaaz pada masa turut memanas dengan cinta baharu yang berputik bersama pelakon baharu, Amelia Christie, 23.
Pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, itu menyifatkan mereka dalam fasa berkawan.
Duda terhangat itu seakan-akan memberi petanda bintang 7 Hari Mencintaiku 2 sebagai wanita paling rapat apabila membawanya ke majlis malam gala Polis Evo 3, baru-baru ini.
Menggayakan sut gelap sedondon ditambah si manis merangkul lengan sasanya sudah cukup menunjukkan hubungan mereka lebih daripada itu, selain Amelia juga dilihat akrab dengan anak Sharnaaz, Jebat Jayden, 5.
“Tiada apa, kami masih dalam fasa berkawan. Saya okey sahaja bawa si dia ke majlis ini, sebab saya berkawan dengan semua orang,” ulasnya yang tampak semakin terbuka.
Akrab dengan Jebat
Sharnaaz yang berpisah dengan kakak kepada Neelofa, Noor Nabila pada 2020 pernah memaklumkan mahu mencari bakal teman hidup yang dapat menambat hati permata hatinya.
Diusik sama ada aktres muda itu disukai anaknya, Jebat, begini jawab Sharnaaz.
“Yang itu kena tanya Jebat, saya tak boleh cakap bagi pihaknya. Bagi saya apa yang saya nampak (hubungan) ini boleh diteruskan lagi. Kita tengok nanti boleh pergi sejauh mana,” tutupnya.














