fbpx
KAEDAH pembelian menerusi perkhidmatan Beli Dahulu, Bayar Kemudian mendorong orang ramai untuk berhutang.

Merana selepas gagal bayar hutang skim beli dulu, bayar kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kaedah pembelian barangan melalui perkhidmatan Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL) yang pada mulanya nampak menyeronokkan rupa-rupanya menjadi ‘jerat’ terutama kepada orang muda yang terpaksa menanggung hutang mencecah ribuan ringgit.

Tidak hanya perlu memikirkan cara untuk menyelesaikan hutang yang semakin bertambah, rata-rata peminjam turut tertekan apabila mereka menjadi buruan selepas dikejar penyedia platform yang mahu mengutip hutang tertunggak.

Difahamkan, situasi berlaku apabila syarikat yang menyediakan perkhidmatan BNPL ini mula memperkenalkan syarat terma­suk ‘bunga’ yang perlu dibayar oleh setiap peminjam.

Bayaran tambahan itu adalah berdasarkan tempoh ansuran iaitu 1 peratus untuk sebulan, 3 peratus (dua bulan), 4.5 peratus (tiga bulan) dan 8.5 peratus bagi enam bulan.

Malah, mereka yang gagal membuat pembayaran pada tarikh yang ditetapkan akan dikenakan bayaran penalti mengikut tempoh ansuran yang dipilih.

Seorang peminjam, Azlina Siddiq, 26, berkata, dia pada mula­nya terpaksa berhutang seba­nyak RM2,000 selepas ber­belanja untuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan pada awal Januari lalu.

Katanya, semua hutang itu yang sepatutnya dilangsaikan pada bulan Julai ini telah tertunggak sejak Mac ekoran pendapatannya terjejas.

Azlina yang bekerja sendiri dengan mengusahakan perniagaan makanan berkata, walaupun jumlah itu agak kecil bagi orang lain, dia tetap runsing memikirkan cara untuk menyelesaikan hutang tersebut dengan segera.

“Saya mula guna BNPL sejak tahun lalu untuk membeli barang keperluan kerana sangat membantu. Namun, keadaan menjadi tidak terkawal terutama ketika menguruskan majlis perkahwinan.

“Pada waktu itu (Januari), secara tidak sedar, saya telah membuat hutang sebanyak RM2,000 bagi tempoh enam bulan dengan kadar bunga sebanyak 8.5 peratus (RM170) untuk pembelian kelengkapan majlis seperti doorgift (cenderamata), kasut serta beberapa barang hantaran lain.

“Saya telah menyelesaikan bayaran awal sehingga hutang terkumpul menjadi RM1,447. Namun, saya rasa menyesal dan tidak tenang kerana kerap dihubungi oleh penyedia platform,” katanya.

Azlina mengakui, dia turut dikenakan penalti sebanyak RM900 kerana terlepas bayaran sebanyak tiga bulan menjadikan hutang keseluruhan berjumlah RM2,347 selain akaun pembe­lian miliknya di platform terbabit dibekukan sementara.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Zalilah Mustapa, 31, turut berkongsi nasib yang sama apabila gagal melunaskan hutang berjumlah RM2,200 sejak tahun lalu.

Zalilah berkata, ia susulan sikap borosnya berbelanja membeli mesin dan bahan-bahan membuat kopi kerana terikut-ikut dengan trend dalam kala­ngan rakan sekerja.

”Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk guna BNPL ini dan mula terjebak apabila dipengaruhi rakan-rakan untuk membeli barang-barang membuat kopi (espresso) yang harganya mencecah RM1,500.

“Untuk pembelian tersebut, saya mengambil skim selama enam bulan, tetapi dua bulan selepas itu, saya mengalami kemalangan dan telah menghabiskan duit simpanan untuk membaiki kereta.

“Sejak itu, saya tidak mampu untuk menjelaskan hutang, termasuk kadar bayaran pe­nalti yang dikenakan sebanyak RM1,200. Itu tidak termasuk hutang asal RM1,000,” ujarnya.

Kata Zalilah, keadaan itu membuatkan dirinya buntu, sekali gus menyifatkan hutang yang dibuat sebagai satu beban.

Katanya, dia juga terpaksa menukar nombor telefon yang baharu beberapa kali agar tidak diganggu pihak penyedia platform yang sedang memburunya untuk mendapatkan baki hutang berkenaan.

Sementara itu, seorang pekerja swasta dikenali sebagai Hanan, 28, turut mengakui sudah serik untuk berhutang berpunca daripada penggunaan kaedah BNPL bagi membeli barangan rumah.

“Saya guna BNPL ini untuk beli barang rumah kerana mahu mengelak daripada membuat pembelian yang banyak dengan kadar bayaran yang tinggi.

“Tetapi lama-lama, saya lebih banyak rugi kerana sekarang sudah ada ‘bunga’ jika dibandingkan sebelum ini,” jelasnya.

Hanan berkata, penggunaan BNPL yang sudah menjadi rutin bagi dirinya mengakibatkan dia mempunyai jumlah tunggakan sebanyak RM500.

“Sepanjang saya guna BNPL, tiga kali saya kena bayaran pe­nalti dan saya ada lagi tiga bulan untuk melangsaikan kesemua hutang tersebut.

“Jujur kata, saya kini berasa serik bila ada hutang setiap masa dan akan ‘bertaubat’ selepas ini daripada menggunakan BNPL,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN