fbpx
AHIRINE AHIRUDIN

Sukan permotoran beri kepuasan – Ahirine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYERLAH sebagai pelakon dengan kelebihan membawakan aksi lasak, Ahirine Ahirudin antara bunga dalam arena hiburan yang mampu melangkah jauh.

Bekas wartawan penyiaran yang kian mengorak langkah dalam dunia perfileman itu ternyata tidak bermodalkan wajah jelita semata-mata.

Pakej dimiliki seakan-akan tidak mencukupi apabila wanita berusia 27 tahun itu tidak menggali ilmu dengan berguru, baik dari segi lakonan mahu pun sukan diminati.

Katanya, masih menganggap diri setahun jagung dalam dunia lakonan mendorongnya menggali seberapa banyak pengalaman di lokasi dan litar lumba.

Sukan lasak adalah antara terapi yang membuatkan Ahirine merasai kepuasan maksimum.

 

“Sejujurnya, kedua-dua arena ini saya lakukan seiring kerana lakonan serta sukan permotoran yang saya jalani memberi kepuasan berbeza.

“Apabila di lapangan lakonan, saya berpeluang bereksperimentasi dengan karakter termasuk melihat aktor atau aktres lain.

“Di litar lumba pula saya memaksimumkan tenaga dalam mengejar kepuasan sekali gus mencabar diri berada pada posisi terbaik.

“Tiada sebab untuk mengenepikan kedua-dua cabang ini, malah hakikatnya lapangan ini sebagai gelanggang meraih pengalaman ilmu.

Antarabangsa

Bernaung di bawah WebTVAsia sebagai bakat eksklusif sejak September tahun lalu, pelbagai perihal direncanakan untuk mengembangkan karier di peringkat antarabangsa.

Bintang filem What! The Heist yang juga naskhah kerjasama antara produksi Malaysia dan Singapura itu memasang impian membolosi pasaran luar.

BIDANG penulisan dan kewartawanan sudah sebati dalam dirinya yang dilahirkan dalam keluarga yang terbabit dalam arena itu. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Enggan memperjuangkan bakat dengan tangan kosong, Ahirine bakal diberikan kelas intensif terutama membabitkan lakonan.

“Tidak kira berapa banyak karya yang saya buat, kepentingan seorang guru lakonan itu tidak wajar diketepikan.

“Buat masa ini jadual saya memang padat terutama terbabit dengan perlumbaan Toyota Gazoo Racing.

“Apa pun, selepas ini kelas intensif yang disediakan syarikat pengurusan saya tetap saya ikuti seperti dijadualkan,” katanya.

Galakan keluarga

Baharu pulang dari Kota Kinabalu, Sabah, awal minggu ini mengikuti jelajah basikal, nampaknya jadual harian anak kedua daripada tiga bersaudara itu cukup padat.

Suntikan semangat keluarga terutama bapanya yang juga figura dunia kewartawan, Datuk Ahirudin Attan mencetuskan adrenalin untuknya terus berani melangkah keluar dari kepompong selesa.

FILEM Remp-It 2 memperlihatkan Ahirine membawakan babak aksi yang mencabar.

“Inilah saya hari ini. Kena berani untuk meneroka dan mencuba sesuatu yang baharu, Kita takkan sedar kemampuan diri sendiri andai tidak mencabar diri.

“Galakkan tentu sahaja daripada ibu bapa yang memberikan keyakinan. Semangat mereka juga yang mendorong saya mencuba pelbagai cabang,” luahnya lagi.

Mengimbas minat terhadap dunia lakonan, katanya minat mendalam terhadap sukan lasak sejak kecil mendorongnya mengembangkan bakat di arena seni.

Lasak tapi ‘wanita’

Akui pelakon drama The Bridge yang pernah menjadi penulis di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, cita-cita ke arah itu direalisasikan dalam filem Remp-It 2.

“Awalnya saya menjadi penunggang motosikal bagi watak Nabila Huda dalam filem itu dan pada pertengahan penggambaran, produksi tawarkan saya berlakon.

“Dari situ saya diberi kepercayaan menjayakan watak lasak, hinggalah mendapat beberapa tawaran lain dengan produksi seterusnya,” kongsinya.

Enggan ambil peduli andai dicop kasar apabila membabitkan diri dalam sukan lasak dan babak ngeri, kata Ahirine perkara itu tidak dilihat sebagai satu isu besar.

Sebaliknya, orang luar boleh nampak setiap wanita yang terbabit dalam bidang yang didominasi golongan lelaki ini tetap kental dengan sisi feminin.

Katanya, ramai kaum hawa di luar sana yang berkecimpung dalam karier lasak termasuk kejuruteraan dan sebagainya tetapi tetap tidak hilang nilai kewanitaan.

“Setiap wanita mempunyai keistimewaan tersendiri biar apa bidang atau aktiviti diceburi. Walau saya lincah di litar atau kasar di set untuk jayakan babak, saya tetap feminin,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN