BERBICARA tentang cukai, ia merupakan salah satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah negara untuk mendapatkan hasil atau pendapatan. Melalui hasil cukai tersebut, kerajaan akan menggunakannya untuk perbelanjaan mengurus dan membangunkan negara.
Di Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk memungut dan mentadbir cukai langsung.
Malah, LHDN berjaya merekodkan kutipan cukai tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu iaitu sebanyak RM175 bilion.
Ia menjadi petanda bahawa kadar pematuhan cukai dalam kalangan rakyat bertambah baik. Bagi membicarakan hal berkaitan cukai, wartawan Kosmo! AHAD, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi di pejabatnya baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Berdasarkan trend semasa, adakah LHDN mampu mencapai jumlah kutipan hasil yang telah disasarkan iaitu RM176 bilion pada tahun ini?
MOHD. NIZOM: Berdasarkan trend semasa, kami mampu mencapai sasaran tersebut. Malah, dalam ucapan Timbalan Menteri Kewangan II (Steven Sim) baru-baru ini menyatakan bahawa pencapaian LHDN dari segi sasaran semasa sangat menggalakkan.
Dari segi kutipan hasil semasa, kami berada pada tahap lebih 20 peratus daripada tempoh sama tahun lalu. Tahun lalu, kutipan hasil kami adalah RM175 bilion.
Bagi mencapai RM176 bilion pada tahun ini, ia memang sangat positif dan cerah untuk dicapai.
Pada masa sama, kami berharap tidak berlaku perkembangan negatif di peringkat global yang boleh mengganggu ekonomi negara.
Kerajaan juga baru mengumumkan perkembangan ekonomi suku pertama tahun ini dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 5.6 peratus.
Dari sudut perkembangan ekonomi ini, saya melihat tidak ada halangan untuk kami mencapai sasaran tersebut.
Kebiasaannya, sasaran ini bergantung kepada ‘first half performance’ di mana pihak LHDN dan Kementerian Kewangan akan meneliti pencapaian semasa untuk membuat semakan belanjawan.
Ini adalah proses biasa di mana kami akan kaji sama ada sasaran itu akan kekal, diturunkan atau dinaikkan pada setiap pertengahan tahun.
Berdasarkan perkembangan ini, saya yakin sasaran asal kita pada tahun ini tiada halangan untuk dicapai.
Proses akhir e-filing baru sahaja berakhir pada pertengahan Mei lalu. Jadi, berapa peratus pembayar cukai yang telah mengemas kini dan mengisytiharkan cukai pendapatan bagi taksiran 2022?
Bagi proses ini, ia baru berakhir pada 15 Mei lalu untuk kategori individu yang mempunyai pendapatan, selain perniagaan.
Bagi individu yang mempunyai perniagaan, mereka mempunyai tempoh masa sehingga 15 Julai nanti.
Daripada yang mengemas kini, sebanyak 99 peratus menggunakan e-filling dan selebihnya masih menggunakan kaedah manual.
Untuk melihat peratusan mereka yang telah mengemas kini atau tidak, kami perlu melakukan analisa lagi.
Ini kerana ada sesetengah individu tidak mengemas kini kerana pendapatannya sudah berubah dan tidak dikenakan cukai berbanding tahun sebelumnya.
Kami hanya akan dapat mengetahui angka terakhir mereka yang telah mengemas kini setelah menerima semua borang dan data untuk dianalisis.
Apakah tindakan yang bakal diambil oleh LHDN kepada golongan yang gagal membayar cukai. Sehingga kini, berapa ramaikah individu yang telah diambil tindakan?
Sehingga 30 April 2023, sebanyak 63,400 daripada 124,000 pembayar cukai yang masih mempunyai tunggakan telah diambil tindakan pelbagai peringkat.
Kami berada di landasan yang betul di mana daripada jumlah tersebut lebih separuh telah diambil tindakan. Bakinya akan menyusul sepanjang tahun ini.
Kami telah mengambil pelbagai tindakan dan paling ringan adalah memberitahu pembayar cukai bahawa ada tunggakan dan meminta mereka membuat bayaran atau datang berbincang dengan kami untuk menyelesaikannya.
Kedua, kami ada akan hantar surat dan e-mel menyatakan bahawa baki cukai terhutang.
Jika surat telah dikeluarkan dan tidak ada sebarang tindakan, kami akan mulakan proses mahkamah.
Ketika ini, apakah cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh LHDN dalam mengutip cukai terhadap syarikat mahupun individu di negara ini?
Kami di LHDN ada pelbagai cabaran. Bagi cabaran kutipan adalah mengutip cukai bagi kes-kes tertunggak.
Cabaran terbesar kami adalah untuk meminta pembayar cukai tertunggak ini datang berjumpa dengan LHDN bagi mengadakan perbincangan.
Sebagai contoh, seramai 124,000 orang mempunyai tunggakan cukai. Bagi mencari mereka ini, kami tidak ada kapasiti.
Kebiasaannya, apabila mereka datang dan berbincang, kami akan capai persetujuan bersama untuk bergerak ke hadapan bagi menyelesaikan tunggakan tersebut.
Apakah inisiatif atau langkah yang diambil oleh LHDN bagi meningkatkan kecekapan kutipan cukai dari masa ke masa?
Berdasarkan mekanisme kutipan semasa, sejak tahun 1990-an kami telah melaksanakan Potongan Cukai Bulanan (PCB) bagi mereka yang mendapat gaji bulanan.
Bagi individu yang menjalankan perniagaan sendiri, jika tidak membayar cukai, mereka akan berhadapan dengan masalah.
Untuk individu yang menjalankan perniagaan persendirian ini, kami ada menjalankan mekanisme bayaran ansuran secara pendahuluan yang dinamakan sebagai CP500 dan untuk syarikat pulak CP204.
Ini adalah bayaran cukai secara pendahuluan, di mana pendapatan tahun ini dibayar pada tahun yang sama berdasarkan anggaran.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mahu LHDN memastikan golongan ‘maha kaya’ membayar cukai. Ramaikah golongan tersebut yang enggan membayar cukai dan apakah cara yang dilakukan mereka bagi mengelak cukai?
Kami ada cara untuk memantau golongan-golongan berpendapatan tinggi ini.
Sebagai contoh, kami ada senarai Top 100 individu berdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh mereka. Namun, ini tidak bermakna 100 orang ini sahaja yang kami perhatikan, kami perhatikan semua.
Bagaimanapun, individu yang kami panggil ‘berprofil tinggi’ ini akan diberikan tumpuan kerana kesannya kepada hasil cukai lebih besar.
Kami akan pastikan setiap tahun individu-individu ini tidak terlepas untuk melaporkan pendapatannya.
Kami kategorikan individu yang ‘berprofil tinggi’ ini adalah mereka berpendapatan RM1 juta ke atas atau memiliki aset RM5 juta ke atas.
Meskipun golongan ini mendapat tumpuan, ia bukan bermakna siapa yang kaya LHDN akan kejar.
Sebaliknya, kami perlu mengurus dan memantau mereka ini supaya tidak timbul masalah kepada kedua-dua pihak.
Kami juga akan memantau berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak lain.
Katakan seseorang individu itu berprofil tinggi dan kami mendapat maklumat mengatakan dia telah menambah aset baharu.
Jadi, kami akan terus membuat padanan untuk melihat aset yang dibeli itu sesuai atau tidak dengan pendapatan dilaporkan kepada LHDN.
Jika keraguan timbul, kami akan terus mengeluarkan surat pertanyaan dari mana punca individu itu membiayai aset berkenaan.
Ini bermaksud, pemantauan yang kami lakukan adalah untuk memastikan individu ini membayar apa yang sepatutnya berdasarkan maklumat diterima dan dicari.
Dalam pada itu, kami mempunyai unit audit dan siasatan yang akan mengesan sama ada mereka ini cuba lari daripada membayar cukai atau tidak.
Cara paling asas untuk mereka mengelak membayar cukai adalah dengan tidak melaporkan pendapatan diterima.
Bagi individu yang mempunyai perniagaan, mereka akan melakukan tuntutan melalui perbelanjaan sedangkan ia tidak melakukannya.
Jadi, kami akan melakukan audit bagi memastikan apa yang dituntut itu adalah betul.
Dari segi cukai, tidak semua perbelanjaan boleh ditolak daripada pendapatan. Ini kerana, ada perbelanjaan yang tidak dibenarkan atas sebab-sebab tertentu.

Difahamkan, ada VIP di negara ini mengeluarkan wang atau dana ke luar negara bagi mengelak membayar cukai. Bagaimana pendapat Datuk mengenai isu ini?
Setiap perniagaan atau individu yang menghantar wang ke luar negara mereka perlu melalui laporan tertentu.
Pihak Bank Negara ada laporan tentang masuk dan keluar wang secara sah menggunakan fasiliti kewangan.
Laporan ini wajib bagi pihak bank sediakan kepada Bank Negara dan LHDN merupakan salah satu agensi kerajaan yang boleh akses kepada maklumat itu.
Kami akan mula daripada maklumat terlebih dahulu untuk menyiasat. Jika mereka ada melakukan kesalahan ia tetap salah, tidak kira siapa individu tersebut.
Kami akan melakukan kerja kami secara profesional. Maklumat ini diperolehi daripada pihak bank, pihak ketiga, internet dan media sosial. Kami akan teliti dan setelah mendapat kesahihan, tindakan akan diambil.
Apakah mekanisme diguna pakai oleh LHDN bagi memastikan golongan influencer membayar cukai?
Secara umum, apa-apa pendapatan tertakluk kepada cukai pendapatan.
Khusus kepada influencer, langkah yang kami lakukan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman adalah dengan mengadakan libat urus bersama mereka.
Malah, kami telah melakukan sesi libat urus bersama wakil-wakil influencer untuk memaklumkan bahawa sebarang kerja yang mendapat bayaran daripada mana-mana pihak harus dilaporkan sebagai pendapatan.
Kami boleh mengesan mereka ini berdasarkan maklumat yang dipanggil sebagai ‘public domain’.
Sebagai contoh, jika seseorang influencer itu mempunyai pengikut sehingga dua juta, dari situ kami boleh tahu dia melakukan ‘endorsement’ dan mendapat bayaran.
Jadi maklumat itu sebenarnya memang ada dan boleh didapati tanpa perlu LHDN minta kepada mereka.
Mereka juga boleh datang untuk berbincang dan kami akan ajar cara menyimpan rekod, mengira cukai dan potongan-potongan yang boleh dituntut.
Diharap kumpulan influencer ini tidak lari daripada LHDN dan segera datang bertemu kami.














