GEORGE TOWN – Gaji besar antara punca ramai ibu bapa memaksa anak-anak mereka mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Rata-rata ibu bapa yang ditemui berpendapat, pemilihan subjek sains di peringkat sekolah menengah menjadi ‘titik mula’ untuk anak-anak mereka menerokai cabaran dunia baharu.
Seorang jurubina agensi swasta yang dikenali sebagai Hasrul, 45, berkata, dia terpaksa membuat keputusan sendiri meskipun pada awalnya ditentang anak sulung berusia 16 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah berprestasi tinggi di negeri ini.
Akuinya, pemilihan subjek STEM berbanding sastera dilihat mampu memacu masa depan anak dengan lebih cemerlang.
“Ada sebab saya pilih subjek ini. Pertama, cukuplah dia lihat ibu bapanya sendiri berdepan cabaran kewangan ketika ini saat membesarkan mereka.
“Berhutang dan bergolok gadai untuk kelangsungan hidup. Kami tidak mahu anak-anak merasai keperitan hidup seperti kami.
“Bidang sains memang luas dan jika dipelajari dengan serius, mereka tidak akan ‘papa’ di kemudian hari, banyak peluang pekerjaan menanti,” katanya.
Menurutnya, meskipun ada yang mendakwa banyak saingan terpaksa dihadap, namun hakikatnya ia bergantung kepada kemampuan diri pelajar.
Seorang lagi waris kepada pelajar tingkatan lima yang mahu dikenali sebagai Addin, 40, berkata, bidang STEM mempunyai nilai standard selain akan dipandang tinggi.
“Jenuh saya pujuk anak untuk pilih subjek ini, makan masa juga untuk dia terima. Banyak skop pekerjaan berkaitan STEM selain nilai gajinya yang besar.
“Kami mahu lihat kejayaan anak-anak, capai cita-cita di peringkat lebih tinggi.
“Gaji pokok sebanyak RM2,500 untuk 10 tahun akan datang seperti nilai RM500, percayalah,” ujarnya.
















