fbpx
Gambar hiasan.

Gula timbang tak laku, penjaja tetap cari peket 1 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pemborong dan peruncit di negeri ini terpaksa menahan telinga berdepan kerenah pelanggan terutama penjaja makanan serta minuman yang hanya mahu membeli gula peket satu kilogram (kg) berban­ding gula timbang.

Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! mendakwa, hampir setiap hari didatangi pelanggan sama yang mendesak peruncit mengeluarkan stok bekalan gula peket yang didakwa disimpan di dalam stor premis.

Bukan setakat itu, sebahagian mereka dikatakan sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap peruncit selepas permintaan membeli gula peket tidak dapat ditunaikan mengikut jumlah yang diminta.

Seorang pemborong barangan runcit di daerah Timur Laut yang mahu dikenali sebagai Merry berkata, stok gula peket 1 kg mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peniaga berikutan harga pasarannya yang mampu dibeli iaitu RM2.85 sepeket.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan bekalan gula peket yang diperoleh daripada pengilang habis dengan cepat.

“Hari ini (semalam), ramai yang datang cari gula peket 1 kg tetapi kami memang tiada stok setakat ini. Cuma yang ada kini adalah gula timbang dalam guni 50 kg.

“Mereka (penjaja makanan dan minuman) kebanyakan enggan membeli gula timbang ­kerana harganya lebih mahal iaitu RM4 hingga RM4.20 ­sekilogram.

“Jenuh kami hadap ­perangai seorang-seorang setiap kali memaklumkan pada mereka bahawa gula peket sudah habis,” kata­nya di sini semalam.

Sementara itu, seorang peruncit yang mahu dikenali Mohamed mendakwa, kekurangan bekalan gula ketika ini berkemungkinan berlaku ekoran tindakan ‘orang tengah’ yang menyorok bekalan atas sebab tertentu.

“Bukan seminggu masalah ini berlaku tetapi sudah lebih dua bulan, sebelum Ramadan lagi sudah berlaku masalah kekurangan bekalan gula di daerah ini.

“Orang tengah dipercayai cuba mengehadkan pengeluaran gula peket 1 kg kepada pelanggan.

“Bayangkan, bekalan gula yang dihantar hari ini dengan sebuah lori dikatakan sudah habis dijual pada keesokan harinya iaitu kurang tempoh 24 jam,” ujarnya.

Kelmarin, akhbar Kosmo! melaporkan, masalah kekurangan bekalan gula peket 1 kg didakwa berlaku di lima negeri lain melibatkan beberapa tempat di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka selepas Kelantan dan Terengganu.

Pengguna mendakwa, isu bekalan gula berlaku sejak lebih seminggu lalu ­sehingga mereka terutama peniaga sukar untuk mendapatkan stok di kedai runcit mahupun pasar mini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN