PETALING JAYA – Tiada caj tambahan atau kos tersembunyi menjadi antara faktor utama orang ramai lebih berminat bermain kutu untuk membeli barangan tertentu berbanding kaedah bayaran ansuran ataupun pinjaman.
Seorang pemain dikenali sabagai Farihan, 33, berkata, permainan kutu juga biasanya dimainkan oleh orang-orang yang dikenali, sekali gus mengelak daripada sebarang unsur penipuan.
“Yang menariknya berkenaan permainan kutu adalah bayaran bulanan yang tetap dan tiada tambahan lain. Kalau ditetapkan RM200, maka jumlah itu sahaja yang dibayar oleh peserta.
“Cuma ada denda jika lewat bayar. Bagi saya, denda atau hukuman adalah perkara biasa kerana ia disebabkan masalah kita hingga peserta lain menjadi susah itu memang patut dikenakan,” jelasnya.
Bagi Meor Abdullah Meor Sani pula, bermain kutu sebenarnya mendidik peserta untuk lebih disiplin bagi memperoleh sesuatu barangan terutama mereka yang kurang berkemampuan.
“Bermain kutu ibarat kita menyimpan duit kita sendiri tetapi kita menjadi lebih disiplin kerana melibatkan pemain-pamain lain. Jika kita tidak melakukan bayaran bulanan, pemain lain akan susah.
“Pemain sendiri juga akan menjadi malu kerana tidak ikut peraturan, bagi saya asalkan dari sudut agama kita ikut maka itu semua tidak menjadi masalah.
“Yang penting persetujuan daripada setiap ahli atau peserta pada awal permainan dan perlu adanya akad ketika menerima duit giliran perlu ada,” jelasnya.














