fbpx
KUMPULAN SAMSONS

Kenangan Terindah 2 dekad Samsons

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSI ampuh sang vokalis bernama, Adrian Martadinata pada konsert A Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia baru-baru ini segera melontar jauh skeptikal segelintir penonton terhadap kemampuan band popular Indonesia itu menggetarkan emosi peminat.

Persembahan mega bersempena dua dekad perjuangan dalam arena muzik itu menjadi gelanggang membuktikan aura empat pemuzik tersebut kekal cemerlang biar sebelum ini masih dibayangi penyanyi asal, Bams atau Bambang Reguna Bukit.

KEMUNCULAN vokalis baharu, Adrian Martadinata menyerlah kredibiliti serta aura Samsons sebagai band kesayangan ramai yang tetap relevan.

Aura Samsons

Adrian, 42, nyata meleraikan kerinduan peminat setia kumpulan asal Jakarta itu dengan menyampaikan deretan seleksi malar segar Samsons sepenuh jiwa.

Memilih Kisah Tak Sempurna daripada album kedua yang dilancarkan pada 2007 sebagai pemanas pentas, momentum persembahan diteruskan dengan Akhir Rasa Ini dan Kehadiranmu.
Tolak tepi komunikasi vokalis baharu itu pada awal pentas dibuka yang mungkin kedengaran takut-takut, namun energi sepanjang dua jam beraksi membuktikan Adrian selayaknya sehangat Samsons yanbg dahulu.

Mereka serasi bersama, malah setiap kali selesai membawakan lagu, masing-masing bijak menggunakan ruang mendekati peminat.

Sebagai vokalis, Adrian juga tidak ketinggalan memenuhi harapan ramai dengan muncul di tengah kelompok peminat sebagai tanda penghargaan.

Tidak berceloteh panjang, Adrian mewakili rakan lain iaitu pemain gitar, Irfan Aulia, Aldri Dataviadi (bass) dan Erik Partogi Siagian (gitar) menzahirkan terima kasih kepada peminat Malaysia.

DERETAN lagu malar segar dan pesona bintang Adrian sebagai vokalis hebat menjadikan konsert Samsons di Zepp KL baru-baru ini sebuah momen terindah yang sukar diulang kembali.

“Semoga terhibur malam ini. Samsons hadir kembali ke sini dengan formasi baharu. Kita dah kenal lama dari 2018.

“Kami bawah label sama, Universal Music,” luah Irfan berkongsi detik kebersamaan mereka.

Enggan membiarkan masa disia-siakan, mereka kemudian memilih single baharu sentuhan Adrian berjudul Rasa Yang Salah, selepas mendendangkan seleksi nostalgik, Rayu.

Sebelum itu Samsons juga sepakat membawakan semula Ajari Aku nyanyian asal Anuar Zain yang juga lagu ciptaan Adrian.

Sorakan bergema di segenap ruang gelanggang tersebut sebaik lagu Ajari Aku berkumandang, disusuli Perbedaan, Di Hujung Jalan dan Luluh pula mengisi durasi konsert.

Bagai mantera, mata terpaku ke pentas, namun gelojak syahdu mula bergelombang dalam jiwa sebaik repertoire persembahan beralih kepada Tuhan Tak Pernah Salah, Masih Mencintainya dan Tak Bisa Memiliki.

NUANSA romantis melatari malam penuh nostalgia yang dimeriahkan dengan skrin LED dan pencahayaan menghidupkan suasana.

Lewati terowong masa

Seleksi lagu yang mengisi konsert anjuran Ultimate Film tersebut bagaikan membawa peminat melewati terowong masa, terutamanya sebaik Bukan Diriku, Seandainya dan Di Penghujung Usia diperdengarkan.

Biarpun ada dalam senarai dendangan yang dipersembahkan sudah belasan tahun mewarnai dalam kotak malar segar, setiap judul tetap meninggalkan rasa yang sukar diungkapkan, terutama buat mereka yang membesar dengan lagu-lagu Samsons.

Tidak ketinggalan, Electrify My Soul menjadi kejutan selain beberapa seleksi rancak seperti Hey Gadis dan Naluri Lelaki yang membuatkan hadirin ikut berdansa.

Rata-rata jelas terhibur dalam persembahan penuh magis yang disifatkan momen pelepas rindu selepas sedekad Samsons tidak turun ke Kuala Lumpur.

PERSEMBAHAN bertenaga sempena ulang tahun ke 20 kumpulan popular Indonesia, Samsons baru-baru ini meninggalkan memori manis buat penonton di Zepp, KL. – AFIQ RAZALI

Unggul

Bukan hanya rangkaian seleksi dendangan, konsert terlihat sempurna dari sudut perancangan dengan permainan visual dan penataan cahaya yang membangkitkan nuansa romantis.

Tidak berundur tanpa lagu wajib, Kenangan Terindah, gelanggang Zepp Kuala Lumpur ditinggalkan dengan 1001 nostalgia manis, sekali gus memberi petanda Samsons tetap jenama unggul hingga ke hari ini.

KALI terakhir Samsons mengadakan persembahan mega di KL adalah sekitar 10 tahun lalu ketika masih disertai bekas vokalisnya, Bams.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN