fbpx
wanita yang mempunyai penyakit serius memerlukan sokongan kuat daripada pasangan untuk menjalani pelbagai rawatan.

Isteri sakit tenat, suami lari kahwin lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Ramai isteri hidup sengsara apabila ditinggalkan suami yang enggan lagi sehidup semati bersama selepas mereka menderita penyakit kronik seperti kanser sehingga terlantar di atas katil.

Ada isteri dibiarkan dalam keadaan terkontang-kanting dengan anak-anak yang masih kecil di rumah sewa, malah ada juga suami yang menghantar pasangan ke rumah ibu sebelum digantung tidak bertali.

Lebih menyedihkan apabila terdapat pesakit kanser yang tidak bekerja mendakwa terputus bekalan makanan selepas suami tidak memberi nafkah.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau menerima banyak kes seperti itu yang sangat memberi kesan terhadap pesakit terutama dari segi mental dan fizikal.

Katanya, pesakit kanser misal­nya amat memerlukan sokongan daripada orang tersayang untuk menjalani proses pemulihan, namun perasaan sedih dan tertekan hanya akan membuatkan penyakit itu menjadi lebih kritikal.

“Apabila ditinggalkan suami, mereka akan bersedih dan risau memikirkan nasib diri serta anak-anak termasuk bagaimana cara mahu meneruskan hidup tanpa sumber pendapatan.

“Keadaan itu menyebabkan ada pesakit yang terpaksa menangguhkan rawatan, sekali gus menyebabkan kanser cepat me­rebak ke bahagian organ lain.

“Mereka menghabiskan sisa hidup dengan hanya menangis, tidak dapat tidur dan tiada selera makan, malah ada yang terpaksa dirujuk kepada pakar psikiatri kerana alami kemurungan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, antara kes pa­ling teruk adalah seorang wanita menderita kanser payudara tahap empat ditinggalkan begitu sahaja bersama empat anak berusia antara 2 hingga 12 tahun di sebuah rumah sewa.

Kata beliau, suaminya hilang tanpa khabar berita selepas mengetahui dia menghidap kan­ser payudara.

“Jadi kita tampil membantu dengan membayar sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anaknya serta kos ulang-alik ke hospital selain bantuan berupa makanan.

“Bagaimanapun, pesakit itu meninggal dunia pada tahun lalu selepas kira-kira dua tahun menderita kanser,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, ada pesakit kanser terpaksa menahan kelaparan dengan enam anak yang masih bersekolah ke­rana terputus bekalan makanan akibat ketiadaan wang.

“Dia hanya beritahu suami tinggalkannya dan nak kahwin lain. Suami pergi tanpa nafkah dan betapa susahnya mereka apabila hanya ada ketul ais di dalam peti sejuk, tetapi bekalan makanan langsung tiada.

“Kami sangat prihatin dengan nasib semua pesakit kanser. Kita akan bantu sedaya upaya menggunakan dana sedia ada selain membantu mereka memohon bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Katanya, kebanyakan isteri yang ditinggalkan juga digantung tidak bertali dan ada yang mendakwa suami hanya melafazkan cerai menerusi WhatsApp.

Bagaimanapun, ujarnya, ramai juga suami yang setia dan bertanggungjawab apabila menjaga pasangan menderita sakit kronik dengan baik.

“Dalam kes ini, selain wanita, ada juga kes yang mana lelaki sakit kanser ditinggalkan isteri atau pesakit yang diabaikan anak-anak,” tambahnya.

Seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu berkata, beliau juga menerima banyak kes isteri sakit ditinggalkan suami.

Katanya, pesakit bukan sahaja bergelut dengan masalah kesihatan, tetapi juga emosi selepas dibiarkan begitu sahaja.

“Ada satu kes, seorang wanita menghidap kanser payudara bersama empat anak berusia dari lapan hingga 14 tahun ditinggalkan suami di rumah ibunya.

“Dengan ketiadaan sumber pendapatan, dia mengambil keputusan untuk menghentikan rawatan kemoterapi.

“Dia juga terpaksa mengharap­kan ihsan adik-beradik dan sedikit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang semakin menyusut. Wanita itu juga merahsiakan tentang penyakit dan ‘kehilangan’ suaminya itu daripada orang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, wa­nita itu akhirnya berterus terang dengan keluarga tentang penya­kitnya itu dan masalah dengan suami atas nasihat seorang guru yang mahu dia kembali sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN