fbpx

‘Allah beri anak bongsu, Dia ambil semula, saya reda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSYAHIRA (kiri) bersama Pui Xia.

JEMPOL – “Saya reda dengan ketentuan Allah yang meminjam dan ‘mengambil’ kembali anak perempuan bongsu saya.

“Biarpun kelahirannya amat dinantikan selepas doa dan hajat saya dimakbulkan Allah agar memberikan seorang anak bongsu perempuan, tetapi saya ikhlas dan reda kerana hidup dan mati adalah ketentuan Ilahi.”

Itulah luahan Rahmat Mahat, 66, selepas anaknya itu, Norsyahira, 23, maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Bahau-Ke­ratong, di sini petang kelmarin.

Turut meninggal dunia, rakan anaknya, Chen Pui Xia, 22, manakala seorang lagi rakan mereka, Nur Syafikah Shuib, 21, cedera. Mereka menuntut di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Menurut Rahmat, sebagai anak bongsu, Norsyahira sangat manja serta peramah lebih-lebih lagi perbezaan usia antara dia dan anak ke empat kira-kira tujuh tahun.

“Sebelum kelahirannya, saya sering berdoa kepada Allah agar diberikan rezeki anak pe­rempuan kedua. Saya bersyukur selepas isteri, Haslina Abdul Muis yang kini berusia 62 tahun melahirkan anak perempuan.

“Dia memang terlalu manja dan masih terbayang kemanjaannya sehingga kini. Ia sukar untuk dibuang daripada fikiran. Biarpun sedih, sebagai hamba-Nya, perlu reda dan menerima segala ketentuan yang Allah berikan.

“Allah dah beri pinjam untuk seketika pun dah saya syukur sangat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jempol di sini semalam.

Kelmarin, dua pelajar Politeknik Muadzam Shah maut dalam nahas dua kenderaan iaitu kereta Perodua Axia dan lori di Kilometer 33, Jalan Bahau-Ke­ratong, berhampiran stesen mi­nyak Palong 16 di sini.

JENAZAH Norsyahira dibawa keluar dari Unit Forensik, Hospital Jempol untuk dikebumikan di Kampung Bukit Changgang, Banting semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu lori berusia 47 tahun memandu berseorangan dari arah Keratong menghala ke Bahau.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, semasa melalui jalan menuruni bukit, Perodua Axia yang datang dari arah bertenta­ngan memasuki laluan lori ber­kenaan tanpa memberi apa-apa isyarat, lalu berlaku perlanggaran.

Dalam pada itu, Rahmat yang tinggal di Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor berkata, biarpun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Syahira tidak mela­yakkannya untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), dia meminta anak­nya tidak cepat berputus asa.

“Dia meneruskan pengajian di Kolej Komuniti Jasin, Melaka dalam bidang Multimedia Pengiklanan dan selepas itu me­nyambung pelajaran di peringkat diploma di Politeknik Muadzam Shah dalam bidang sama dan setiap semester keputusan Purata Nilai Gred (GPA) 3.8 ke atas.

“Malah, Syahira dan dua rakannya itu merupakan pelajar terbaik di politeknik. Ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari rumah saya ke politeknik selepas menyelesaikan urusan mengambil barangan yang dicetak di Selangor bagi tugasan tahun akhir,” ujarnya.

Ujar Rahmat, anaknya keluar dari rumah pukul 10.30 pagi dan kali terakhir dia menghubungi Syahira ialah pada pukul 1.30 te­ngah hari.

Katanya, anaknya memaklumkan baru sampai di Kuala Pilah kerana jalan agak sesak di Ulu Bendul.

Menurutnya yang merupakan pesara polis berpangkat Sarjan, dia dimaklumkan oleh seorang rakannya yang juga anggota polis mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan terus bergegas ke hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI