fbpx
MARHAM sanggup meninggalkan kerjaya sebagai wartawan dan kehidupan di kota untuk menjaga ibunya.

MarBitter lambang kasih anak dan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARIPADA Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.

Sudah menjadi impian setiap insan bergelar anak untuk membalas jasa ibu bapa selagi masa mengizinkan.

Bagaimanapun, kelekaan mengejar tanggungjawab di alam dewasa, tanpa sedar kedua-dua orang tua kita semakin lama semakin dimamah usia.

Atas dasar itu, Marham Mohd. Yusof mengambil keputusan untuk meninggalkan impian di perantauan demi menemani ibu bapanya di kampung sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

Gerak hati anak bongsu daripada enam adik-beradik itu ternyata tidak salah kerana bapanya, Mohd. Yusof meninggal dunia sekitar tahun 2020 akibat sakit tua.

“Hati saya kuat memanggil untuk pulang ke desa di Kampung Bukit Rakit, Terengganu setelah 12 tahun berada di Kuala Lumpur.

“Sudah tertulis takdir, bapa saya meninggal beberapa bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.

“Saya bersyukur dapat menjaganya pada hari-hari terakhir di hospital. Allah SWT beri saya peluang itu,” ujarnya yang kini mahu menghabiskan masa bersama ibunya di kampung.

Marham baru-baru ini semakin menempa populariti di media sosial menerusi akaun bernama MarBitter dengan video-videonya yang menonjolkan gaya hidup kampung serta melakukan aktiviti bersama ibunya termasuk memasak dan sebagainya.

Mengimbau kembali perjalanannya di perantauan untuk mengejar cita-cita sebagai wartawan, Marham mengakui, dia juga pernah berjiwa muda.

Ujarnya, impiannya itu sudah berada dalam genggaman apabila dia sempat bertugas sebagai penulis kreatif di Astro Awani, selain menjadi wartawan hiburan di sebuah syarikat penerbitan majalah.

Bagaimanapun, hatinya tidak tenang mengenang keadaan orang tua yang semakin uzur dan tidak sihat.

Justeru, Marham mengambil masa satu tahun untuk mengumpul dana secukupnya sebelum nekad meninggalkan kehidupan di kota.

“Dahulu, saya macam anak kampung lain yang mahu jadi orang bandar. Namun, saya sedar ibu bapa saya sudah semakin tua dan masa kami sudah tidak banyak.

“Selama setahun saya merancang untuk menjadi pencipta kandungan kendiri. Saya hidup berjimat cermat agar dapat kumpul duit sebagai modal untuk kerjaya baharu saya itu.

“Mak (emak) tidak pernah pertikaikan keputusan saya. Bahkan, mak seronok ada ‘kawan gaduh’ dengan dia kat kampung ini,” kongsi lelaki berusia 30-an itu yang percaya pada mujarabnya doa seorang ibu.

Ibunya, Asiah Ngah pernah bekerja sebagai tenaga pengajar di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan seorang petani.

Kini, wanita berusia 77 tahun itu sering mengalami lenguh-lenguh badan dan cepat penat biarpun tidak mengalami sebarang penyakit serius.

Menurut Marham, ibunya yang bernama Cik Kiah di dalam video seorang yang pemalu.

Ujarnya, meskipun begitu, ibunya tidak kisah berada dalam video sebagai tanda sokongan.

MARHAM banyak menghabiskan masa bersama ibunya menghasilkan video masakan di dapur kayu.

“Seperti orang-orang tua lain, mak mula-mula risau ‘apa orang kata’. Tetapi lama-kelamaan, dia seronok kerana dapat bantu cita-cita baharu anaknya.

“Tapi sepanjang rakaman, mak masuk sekejap sahaja sebab dia tidak berapa larat untuk lama-lama. Lumrah seorang ibu, mak banyak berceloteh tentang cara memasak.

“Tetapi saya suka sebab ini masa kualiti kami,” katanya yang menggunakan nama Marbitter sebagai penjenamaan dirinya.

Buat masa ini, tema dalam isi kandungan video yang dikongsikan lebih tertumpu kepada kehidupan dan suasana kampung di Terengganu.

Kongsi Marham, perjalanannya menjadi pencipta kandungan tidak mudah memandangkan dia membuat video dengan hanya menggunakan satu kamera.

Katanya, pernah satu tahap dia mengalami depresi memikirkan seandainya dirinya itu sekadar memiliki angan-angan ‘mat jenin’.

“Paling perih bila duit simpanan sudah hampir habis. Namun, saya masih lagi belum dapat pulangan daripada apa yang dibelanjakan.

“Tapi mak banyak beri sokongan. Saya selit doa panjang dalam kitab supaya mak boleh baca setiap hari,” jelasnya yang belajar memasak daripada ibunya sejak kecil lagi.

Tanpa diduga, videonya pernah mencuri tumpuan pada sekitar 2021 dan kembali ‘hangat’ pada bulan puasa baru-baru ini.

Kini, Marham mahu bersikap terbuka sekiranya diberi peluang untuk membuat video yang memaparkan kehidupan di negeri lain atau di bandar.

Marham juga berhajat untuk membina inap desa di kawasan perumahannya bagi menjayakan pelancongan agro.

Katanya, penginap yang tinggal di inap desa miliknya itu berpeluang untuk memasak di dapur kayu lama.

“Dapur lama yang orang lihat di video itu sebenarnya studio saya buat sementara.

“Benar, kami guna dapur gas untuk kegunaan harian. Namun dalam video, saya mahu tunjukkan cara mak memasak untuk kami dahulu.

“Bila inap desa siap nanti, penginap boleh merasai pengalaman masak di dapur kayu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN