SEGAR dan ‘remaja’. Demikian dua istilah tepat sebagai gambaran kehangatan persembahan Pamungkas Live in Kuala Lumpur di Zepp, Kuala Lumpur yang dibanjiri kehadiran peminat hampir keseluruhannya anak-anak muda, bahkan ada remaja belasan tahun.
Konsert yang dibawakan Shiraz Projects tersebut menyaksikan penyanyi asal Indonesia itu melantunkan 23 buah lagu termasuk lagu daripada album terbaharunya, Birdy dalam durasi hampir dua jam.
Panggung dibuka tepat pukul 8.30 malam disambut dengan jeritan peminat yang sudah lama kehausan hiburan secara langsung daripada idola yang malam itu tampil dengan aura rock & roll berjaket kulit hitam dan seluar jeans hitam panjang.
Aura penyanyi dan komposer berusia 30 tahun itu tidak dapat dinafikan usai pentas dibuka dengan lagu Flying Solo daripada album keduanya, diikuti Sorry, Begin Again, Jealousy, Higher Than Ever, One Only dan Kemarin. Suara peminat bergema menyambung lirik dan menyanyi bahkan ada yang melompat menari bersama-sama menikmati mahakarya Pamungkas.

Kontroversi
Memilih untuk berinteraksi dengan peminat yang hadir sebelum menyanyikan lagu yang seterusnya, Pamungkas atau nama sebenarnya Rizki Rahmahadian Pamungkas sempat mengungkap kontroversi terpalit dalam hidup menyedarkan dirinya tentang banyak perkara.
“Tentang kes itu kelmarin (sebelum ini), buat saya kenal siapa kawan saya yang sebenar.
“Fame is lonely. Saya tidak tahu tentang itu kerana saya tidak pernah diajar mengenainya sama ada di sekolah atau di mana pun,” ujarnya sayu.
Namun bicara tersebut tidak menghentikan peminat untuk bersorak tanda memahami dan menyokong apa sahaja karya idolanya itu sehingga membuat Pamungkas mengukir senyuman penuh semangat sebelum melantunkan lagu seterusnya.
Ketika sesi bersama media, Pamungkas mendedahkan bahawa, kontroversi membuatnya dirinya lebih berhati-hati pada masa depan.
Tidak mempertahankan atau mahu perbuatannya diterima, dia mengambil iktibar bahawa setiap yang berlaku adalah rencah dalam perjalanan sebagai anak seni.
Pamungkas enggan menjadikan kontroversi sebagai penghalang untuk terus berkarya dan menghasilkan yang terbaik buat peminat.

“Saya sentiasa beritahu diri sendiri perlu menjadi seperti anak kecil ketika berkarya, malah sebagai artis dan juga manusia, saya hanya berjalan terus kerana saya tidak mahu terikat kerana di situlah idea akan mencurah-curah.
“Untuk berjaya, perlu ada keberanian walaupun selalu membuat kesalahan kerana kita belajar daripadanya,
“Apa yang saya terlepas pandang ketika itu adalah ramai orang yang peduli dan memerhatikan, itu membuatkan saya sedar bahawa tanggungjawab besar sedang dipikul.
“Saya belajar bahawa segala yang berlaku adalah harga yang harus dibayar sebagai anak seni. Perlu akui bahawa saya sangat struggle untuk menghadapi populariti kerana itu membuatkan saya terdedah dengan apa saja tidak kira baik atau buruk,” jelas lelaki yang pernah dikutuk gara-gara menggosokkan telefon milik peminat pada bahagian alat sulitnya.
Paling utama kata Pamungkas, dia banyak belajar untuk membawa diri dan berhadapan sebaik-baiknya dengan populariti.
“Saya perlu terima ketika ini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan populariti dan bersikap terbuka dengan tanggungjawab di sebalik status sebagai selebriti,” katanya.

Bertukar-tukar instrumen
Bukan sahaja berbekalkan wajah yang tampan dan suara yang seksi, peminat yang hadir juga dihiburkan dengan kegeniusan Pamungkas dalam bermain alat muzik seiring lagu dendangan sehingga membikin histeria dalam kalangan penonton.
Bermula dengan gitar biasa sehingga ke gitar elektrik seterusnya bermain keyboard membuktikan Pamungkas adalah seorang pemuzik sejati yang hadir dengan pakej lengkap dan mungkin mampu mengegarkan Nusantara.
Ketika peminat sedang larut dalam kesyahduan paduan suara dan instrumen yang digunakan, Pamungkas sekali lagi membuat peminatnya melompat berdansa dengan lagu tular melonjakkan namanya, To The Bone.
Nyanyian sepenuh hati penyanyi kelahiran Jakarta itu menjadi ‘sing along’ dalam penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.
Mana tidaknya, lagu To The Bone milik Pamungkas diangkat sebagai lagu paling banyak didengari dalam Spotify dan memecah rekod pada tahun 2021.
Lagu tersebut juga menduduki tangga paling lama Lagu Indonesia Top 50.
Karyanya didengarkan di 176 negara di dunia sekali gus menjadikan Pamungkas pemuzik dengan lagu paling banyak didengarkan pada 2020.

Cabaran, pujian
Meneruskan nyanyian dan energi sama, Pamungkas turut membawakan dua lagu nyanyian asal Dewa 19, Pupus dan Risalah Hati yang sekali lagi membuatkan atmosfera Zepp, Kuala Lumpur gegak gempita dengan suara peminat.
Biarpun berdepan sedikit masalah sekitar 10 minit semasa konsert sedang berlangsung, itu tidak sedikit pun mengganggu momen kenangan manis yang dicipta Pamungkas bersama peminat.
Persembahan diteruskan lagi dengan penuh tenaga seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak deminya.
“Saya sangat terharu dengan sokongan peminat. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, sepanjang hidup, saya jarang sekali dipuji,” katanya semasa berkesempatan bertemu dengan media sebelum konsert.
Tambah Pamungkas, latar belakang keluarga turut menyumbang keperibadiannya untuk berusaha kuat demi mencapai sesuatu.
“Saya datang daripada latar belakang keluarga yang suka mencabar. Keluarga lebih banyak memberi cabaran berbanding memuji hasil kerja saya, jadi saya tidak biasa menerima pujian.
“Jadi ketika sudah raih populariti, berbeza sekali keadaannya,” jelasnya yang masih tidak puas menghiburkan peminat di Malaysia.















