fbpx
Pelayan yang berpakaian ala pramugari sedia mengambil pesanan dan memberikan bantuan kepada pelanggan agar berasa selesa.

Santap menu vegetarian di restoran bas bergerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI pandangan luar, bas itu kelihatan seperti bas ekspres atau persiaran biasa yang digunakan sebagai pengangkutan awam merentasi negeri. Namun, selepas melangkah masuk, dalamannya memberikan nuansa yang berbeza seperti sebuah restoran mewah berkonsep vintaj dan retro.

Meja-meja makan dengan kerusi empuk berwarna merah jambu menghiasi sepenuhnya ruang bas. Pelayan yang berpakaian uniform ala pramugari memastikan keselesaan buat para pengunjung yang menaiki bas tersebut.

Ini merupakan kali pertama buat seorang akauntan, Evelyn Lee, 25, mencuba pengalaman menjamu selera di restoran itu yang juga merupakan bas yang bergerak.

“Saya tertarik dengan konsep restoran di dalam bas ini selepas menonton video mengenainya di media sosial.

“Ia merupakan sesuatu yang menarik dan belum pernah dilakukan di Malaysia di mana ada restoran dalam bas yang bergerak,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Tambahnya, tidak hanya itu, pengalaman tersebut turut dijamu dengan makanan yang enak dan pemandangan indah sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Pengalaman unik yang dirasakan Evelyn itu merupakan idea dan konsep gastronomi baharu yang diketengahkan menerusi nama Vegan Gourmet Coach.

Diasaskan oleh Jess Mok, 47, dan Chris Ng, 50, Vegan Gourmet Coach merupakan restoran dalam bas yang membawa pelanggan meronda sekitar Kuala Lumpur sambil menjamu makanan mewah berasaskan tumbuhan atau vegetarian.

Menurut Jess, idea untuk mewujudkan Vegan Gourmet Coach tercetus semasa pandemik iaitu sekitar tahun 2020 ketika industri pelancongan negara menjadi antara sektor yang terjejas.

“Saya dan Chris berkawan rapat dan dia mempunyai sebuah agensi pelancongan iaitu Orchid Dynasty Travel and Tour yang mana terjejas ekoran pandemik.

“Awalnya Chris mempunyai idea untuk merenovasi bas persiaran yang dimilikinya sebagai potensi pelancongan pascapandemik yang lebih memfokuskan kepada percutian di dalam negara.

“Bagaimanapun saya mempunyai pandangan yang berbeza iaitu konsep restoran dalam bas yang bergerak mengelilingi ibu kota atau bandar besar seperti ini,” katanya.

Tambahnya lagi, idea dan inspirasi itu dilihat mempunyai potensi besar untuk menarik minat orang ramai yang mahu mencuba pengalaman gastronomi yang unik serta berbeza.

Cadangan itu turut menarik minat Chris yang kemudian sama-sama menjadikan idea Vegan Gourmet Coach menjadi realiti.

Para pelanggan santai menikmati sajian di dalam bas sambil mata pula ‘menjamu’ pemandangan indah sekitar Kuala Lumpur termasuk bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. –SHIDDIEQIIN ZON

Dengan aset yang tersedia, idea itu dikembangkan oleh Jess dan Chris yang melakukan penyelidikan dan pembangunan menerusi internet serta media sosial.

Bagi rekaan dalaman pula, Vegan Gourmet Coach mengetengahkan elemen rekaan restoran vintaj seperti dalam kereta api.

Selain itu, Jess juga mahu menjadikan tarikan baharu tersebut membawa mesej tentang pemakanan sihat yang mana dia menjadikan 100 peratus makanan berasaskan tumbuhan sebagai menu signatur untuk restoran tersebut.

Kongsinya lagi, menu tersebut juga diketengahkan kerana ia juga boleh dihidangkan kepada semua kaum.

“Kami mahu memberikan peluang kepada semua kaum untuk merasai pengalaman unik ini dan makanan berasaskan tumbuhan boleh dinikmati oleh semua.

“Tidak hanya itu, ini satu mesej yang kuat bahawa makanan tersebut merupakan opsyen sihat yang juga boleh menjadi seenak makanan biasa (daging),” ujarnya.

Setakat ini, pihaknya menawarkan dua pengalaman menjamu selera iaitu pakej minum petang dan makan malam sambil mengelilingi kota Kuala Lumpur.

Antara menu yang ditawarkan bagi minum petang terdiri daripada skon, pai krim berasaskan tumbuhan, creme brulee, kek cawan pisang coklat, burger berasaskan tumbuhan dan kek lobak merah.

Sementara bagi makan malam pula terdiri daripada set tiga hidangan iaitu salad ZEN, ikan kod asas tumbuhan dengan salad kentang dan mi sejuk fusion.

Bagi minuman, pelanggan akan diberikan pilihan antara set kopi titis tangan Arabica atau calming tea.

Pencuci mulut pula akan dijamu dengan love me do hand-made cheesecake dan vanilla gelato buat minum petang, manakala blues ocean mocktails dan earl grey dark chocolate untuk makan malam.

Harga pakej yang ditawarkan juga bermula daripada RM288 hingga RM383 untuk dua orang.

Boleh memuatkan maksimum 18 pelanggan dalam satu perjalanan, menu-menu yang ditawarkan disediakan oleh vendor penyedia makanan dari kafe-kafe atau cef khusus dengan kepakaran dalam sajian vegetarian.

Menurut Jess, untuk perjalanan bas pula mengambil masa kira-kira 90 minit bermula dari hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang kemudian melalui beberapa tarikan antaranya Menara Berkembar

Petronas, Jalan Petaling, Brickfields, Muzium Negara, Istana Budaya, Dataran Merdeka dan batu tanda ‘0 KM Kuala Lumpur’ sebelum kembali ke lokasi berlepas.

Bagaimanapun, Jess turut memberitahu, buat masa ini pakej dan lokasi yang ditawarkan masih dalam fasa percubaan.

“Kita masih mencuba untuk menambah baik pengalaman makan dalam sebuah saja bas kerana banyak cabaran yang perlu dilalui terutama dalam memberikan keselesaan kepada pelanggan semasa perjalanan.

“Bagi menu pula kita sentiasa akan mengemas kini pilihan yang ada serta berkerjasama dengan penyedia makanan yang diyakini menggunakan bahan-bahan berkualiti,” kongsinya.

Tambahnya, konsep Vegan Gourmet Coach juga dalam perancangan untuk menambah jumlah bas dan juga lokasi antaranya Johor Bahru dan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN