PERNAH melalui fasa remaja yang cukup mandiri, pengalaman lalu sungguh bermakna buat pelakon Nabila Huda memahami perasaan mana-mana anak remaja ketika ini, terutama anak dara suntinya, Keisya Laila.
Biar sesaat pun, dia enggan gadis berusia 15 tahun itu berasa kurang kasih sayang ibu bapa seperti yang dilaluinya dahulu.
Bahkan kata Nabila, dia dan Keisya yang kini berusia 15 tahun sudah berjanji untuk tiada sebarang rahsia antara mereka.
Apa juga masalah atau perasaan sedih yang dihadapi sepanjang hari perlu dikongsi bersama supaya setiap situasi yang dilalui dapat difahami sebaik-baiknya.
“Pada saya komunikasi dalam sesebuah keluarga adalah paling penting. Kami sudah buat perjanjian sejak dia kecil bahawa antara kami tiada rahsia.

Kurang kasih sayang
“Kalau dia sedih, saya suruh dia beritahu kerana saya tak mahu jika dia pendam akan jadi dendam. Cuba elakkan perkara begitu.
“Apa yang dia jalani (ibu bapa berpisah), saya sudah lalui dahulu. Saya tak mahu dia rasa kesunyian tanpa kasih sayang ibu bapa. Saya percaya akan ada perasaan seperti tak boleh hidup sendirian.
“Saya cakap kepadanya, jangan fikir begitu. Dahulu, saya lalui dan menyesal sebab tak sepatutnya saya rasa sedih sehingga merosakkan mental,” ujarnya.
Tambah Nabila, dia gembira dapat melihat anaknya membesar menjadi seorang gadis yang bijak dan boleh berdikari.
Nabila berkata, Keisya tidak seperti remaja seusianya yang gemar bergaul, malah lebih suka melakukan kerja-kerja rumah tanpa disuruh.
“Dia anak yang baik dan dengar kata. Kalau bab makan dia tak cerewet. Jika tiada makanan pun dia tahu nak cari makan sendiri.
“Setiap hari dia buat kerja rumah, buang sampah, basuh pinggan dan bantu saya di dapur. Dia bukan macam budak-budak sekarang suka bersolek atau pakai baju nak nampak matang,” ujarnya.
Keisya merupakan hasil perkongsian Nabila bersama Zaidy Zailani pada 2008, namun bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama.
Empat tahun kemudian, Nabila berkahwin dengan Mohd. Izwan Johar pada 26 Disember 2015.

Pantau pergaulan
Seperti ibu bapa lain, Nabila akui sentiasa memantau pergaulan anaknya terutama rakan sekeliling.
Kata Nabila, dia juga mengingatkan anaknya agar tidak leka bermain telefon terutama ketika mereka sedang bercakap.
“Saya kenal siapa kawan-kawan dia, dia tidak banyak kawan. Sebenarnya perkara ini kena didik dari awal, kita tidak boleh marah-marah, sebaliknya jadikan anak macam kawan supaya anak boleh berkongsi apa sahaja.
“Dia juga tahu saya tak suka tengok dia main telefon lama-lama. Kalau saya bercakap dia tak akan main telefon sebab takut saya baling telefon ke luar tingkap,” ujarnya.

Batalkan IVF
Tujuh tahun dalam perkahwinan kedua, Nabila akui sedang menanti rezeki kembali dikurniakan cahaya mata.
Membatalkan rancangannya untuk melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF), Nabila percaya akan dikurniakan rezeki tersebut jika sampai waktunya.
“Saya sentiasa bersedia untuk hamil lagi. Kalau boleh saya mahu anak untuk perkahwinan kedua ini. Kami sudah tujuh tahun berkahwin dan suami pula bujang sebelum kahwin dengan saya.
“Tapi dia selalu cakap dekat saya kalau tak ada anak pun dia tetap sayang. Sebenarnya kami sudah ke klinik berbincang tentang rawatan kesuburan tapi kami putuskan untuk tidak teruskan.
“Suami kata rawatan itu menyakitkan dan saya akan lebih sedih jika proses itu tidak berhasil. Sekarang saya tidak terlalu berharap, jika ada saya terima. Mungkin Allah nak bagi masa kami bulan madu lama,” ujarnya.

Memasak di New York
Berkongsi tentang sambutan Aidilfitrii, segala-galanya diraikan secara sederhana sama seperti tahun-tahun terdahulu.
Anak kepada penyanyi rock, Amy Search itu juga tidak dapat beraya lama bersama keluarga kerana perlu berangkat ke New York pada 25 April lalu bagi menjalani penggambaran sebuah program masakan.
Tambahnya, dia akan berada di New York selama dua bulan bagi menyelesaikan 86 episod program siaran RTM tersebut.
“Tahun ini tak dapat raya lama, saya balik beraya di rumah ibu mentua di Singapura, selepas itu balik Kuala Lumpur jumpa papa, kemudian berangkat ke New York.
“Saya akan berada di New York selama dua bulan sehingga penghujung Jun. Program ini sebenarnya dah lama rancang sejak zaman Covid-19 lagi.
“Saya akan masak untuk pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sana. Setiap hari akan ada seorang tetamu. Rancangan ini akan ditayangkan Ramadan tahun hadapan,” ujarnya.













