PENSOHOR media sosial, Ryan Bakery mengembangkan sayap seni apabila kini bergelar penyanyi selepas tampil dengan single raya berjudul Raya Last Minit bersama penyanyi Andi Bernadee.
Lelucon yang ditampilkan lelaki berkulit hitam manis itu berjaya mencuit hati masyarakat Malaysia. Dengan konten kreatif yang dekat dengan khalayak, ada sahaja cetusan idea pemilik nama, Ryan Bakery itu untuk mengheret pengikutnya kembali tersenyum sambil mengimbau kenangan lalu, terutama zaman 1990-an.
Semakin hari, nama Ryan semakin mekar dan dikenali. Dia bukan sekadar selebriti media sosial, bahkan telah pun bergelar pelakon.
Selepas menerjah bidang lakonan, terkini Ryan atau nama lengkapnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, tidak malu-malu mencuba nasib bergelar penyanyi apabila tampil dengan sebuah lagu, Raya Last Minit bersama penyanyi, Andi Bernadee sempena Aidilfitri.
Mengakui dirinya kaki karaoke, Ryan cuma berhajat mewarnai industri serta tonjol sisi berbeza buat pengikutnya.
“Cuma apa yang saya buat ini satu kelainan. Selalunya pengikut dan orang tengok saya buat lawak. Tapi kali ini dengar saya nyanyi serta tonton MV (muzik video) lagu raya.
“Saya ini bukanlah penyanyi tapi untuk mewarnai industri muzik tanah air, itu saja. Tapi kalau orang fikir saya nak caras (perbuatan merampas) sana sini, maaf itu bukan saya,” katanya merendah diri.

Tunjuk bakat
Bagi Ryan, tujuannya mencuba pelbagai bidang bukan atas dasar tamak, namun hanya mahu mencari rezeki dengan merebut peluang yang ada di depan mata.
Namun, jika kehadirannya kurang disenangi dalam industri, dia tetap akur dan tidak boleh berbuat apa-apa.
“Itu masalah hati. Sekarang zaman teknologi moden, banyak tempat boleh tunjuk bakat kita.
“Jadi, apa salah kalau kita gunakan. Bukannya kita guna untuk menjahanamkan,” jelasnya.
Ryan turut menyedari, laluan kelak pasti tidak selalunya mudah meskipun memiliki pengaruh besar ketika ini.
Akui Ryan, sehingga sekarang, dia masih berdepan komen berbentuk kecaman daripada khalayak.
“Saya sudah lali. Saya cuma fikir mahu suap rezeki buat isteri dan keluarga. Jadi malas ambil tahu hal-hal itu,” tegasnya.
Ketika tekad memasuki dunia hiburan dengan menceburi pelbagai bidang, timbul pula cakap-cakap kononnya Ryan dipergunakan sesetengah pihak untuk meraih keuntungan.
Bekas pekerja kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu bagaimanapun menafikan perkara tersebut. Tidak pernah terdetik dalam fikiran bahawa dirinya dipergunakan pihak-pihak tertentu untuk sebarang tujuan tidak baik.

Dipergunakan?
Tegas Ryan, keputusan menyertai bidang lakonan dan nyanyian sekadar memberi variasi terhadap industri seni.
“Saya masih seorang pencipta kandungan. Keputusan menceburi bidang lakonan dan kemudiannya, menyanyi hanyalah untuk mewarnai industri dan bukannya nak bersaing dengan sesiapa.
“Nak kata dipergunakan, itu tidak benar. Ini kerana setiap apa yang dilakukan berdasarkan perbincangan dengan pengurusan.
“Tiada paksaan daripada mana-mana pihak dan segala keputusan hasil perbincangan bersama,” ujarnya membela diri.
Menjadikan Jalil Hamid dan Salih Yaacob sebagai idola, Ryan mahu menjadi penyanyi seperti dua individu itu yang menyelitkan unsur humor dalam persembahan.

enam bulan mendirikan rumah tangga, Ryan tidak menolak jika diberikan rezeki zuriat lebih awal, namun tidak terlalu terburu-buru memikirkan soal cahaya mata.
Aidilfitri
Tutup kisah tentang kerjayanya yang semakin berkembang, Ryan yang ditemui di sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini dilihat sentiasa ditemani isteri tersayang, Elyia Ibrahim.
Sejak mendirikan rumah tangga Oktober tahun lalu, Ryan berkata, tanggungjawabnya semakin besar, bukan sahaja terhadap keluarga sendiri, bahkan untuk permaisuri hatinya.
Untuk tahun ini, Ryan buat pertama kalinya bakal menyambut lebaran sebagai seorang suami dan tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri bersama isteri tercinta.
Mengunakan konsep giliran, tahun ini Ryan bakal menyambut hari raya di kampung sebelah mentuanya yang terletak di Melaka.
“Tahun ini saya akan beraya dahulu di kampung isteri di Melaka. Biarlah tahun pertama ini beraya dengan keluarga belah isteri. Kemudian baru di kampung saya di Perak,” ujar Ryan.
Sambil berseloroh, Ryan berkata, jika menyambut hari raya di kampung sebelah isteri, duit poket (duit raya) agak selamat, kerana keluarga mentuanya kecil sahaja, berbanding keluarganya di Perak.
“Kalau beraya di Perak, memang ‘habis’. Sebab keluarga sebelah keluarga saya besar, anak buah ramai berbanding beraya di kampung isteri,” katanya.
Disoal tentang peruntukan raya yang dibelanjakan tahun ini, Ryan awalnya seakan-akan cuba berahsia. Katanya, belum ada ketetapan bajet tertentu, namun yang pasti dia menyediakan kelengkapan dapur di kampung termasuk di rumah ibu mentuanya di Melaka.
“Kalau duit raya, minimum RM2,” katanya

Berkongsi masakan istimewa ketika hari raya, Ryan berkata antara makanan yang menjadi kegemarannya adalah ketupat cicah sekaya.
Meskipun kedengaran agak pelik, namun Ryan menganggap hidangan tersebut merupakan makanan paling lazat yang harus dicuba setiap orang.
“Selain rendang ayam air tangan ibu saya, makan ketupat atau lemang yang dicicah dengan sekaya juga sangat sedap. Mungkin ramai yang tidak pernah cuba dan tahu.
“Bila saya bercerita dengan kawan-kawan, ramai yang anggap selera saya pelik. Tapi hakikatnya rasa ketupat dan lemang yang dicicah dengan sekaya memang sedap,” kongsinya.
Cerita Ryan, dia mula terpikat dengan makanan tersebut sejak zaman kanak-kanak selepas secara suka-suka mencicah ketupat bersama sekaya untuk dimakan dan ternyata rasanya enak dan kekal menjadi kegemaran sehingga dewasa.

















