fbpx
Sufian sering diganggu puaka menyerupai seorang wanita dan kanak-kanak pada waktu malam di rumah yang baru dibelinya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Dihantui jelmaan roh mangsa bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI rumah idaman merupakan salah satu perkara yang sangat menggembirakan, apatah lagi apabila kediaman diidamkan itu menepati kehendak dan cita rasa pemilik.
Bagi Sufian (bukan nama sebenar), dia berasa sangat beruntung apabila angan-angannya memiliki kediaman sendiri sudah tercapai seawal usia 30 tahun.

Apatah lagi apabila kediaman tersebut dibeli pada harga di bawah pasaran, selain lokasi yang sangat strategik dan terletak di hujung jalan.

“Sewaktu masih bujang, saya memang tinggal bersama ibu dan ayah di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

“Tetapi, selepas berkahwin pada usia 27 tahun, saya mula merasakan perlu untuk memiliki sebuah kediaman sendiri.

“Tambahan pula, adik-beradik saya masih ramai. Disebabkan saya anak sulung, saya mengambil tanggungjawab untuk tinggal di rumah sendiri,” katanya.

Cerita Sufian lagi, sebaik meneliti iklan yang terdapat dalam pelbagai platform online, dia amat tertarik dengan tawaran diberikan seorang pemilik kediaman di Kajang, Selangor.

Selepas melihat sendiri keadaan rumah ditawarkan, dia kemudiannya membuat permohonan pinjaman daripada pihak bank dengan menggabungkan pendapatannya bersama isteri.

“Memandangkan harga rumah ditawarkan itu sekitar RM200,000 oleh pemiliknya, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM300,000, maka saya terus membelinya tanpa berfikir panjang.

“Selepas pinjaman diluluskan, saya berpindah masuk ke rumah baharu tersebut dengan perasaan yang sangat gembira kerana sudah mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Jelas Sufian, keseronokannya itu tidak bertahan lama apabila pada minggu pertama dia tinggal di rumah tersebut, sudah berlaku beberapa kejadian seram yang tidak diduga.

Katanya, kejadian berkenaan bukan sahaja berlaku pada waktu malam, tetapi turut terjadi pada sebelah siang sehingga membuatkan dia serta isterinya ketakutan.

“Salah satu kejadian yang berlaku pada waktu malam adalah sewaktu kami ingin tidur, kerap kali terdengar seolah-olah ada orang sedang memasak di dapur dengan bunyi pinggan dan mangkuk turut kedengaran.

“Lebih menyeramkan apabila kami dapat menghidu bau masakan yang datang dari arah dapur di tingkat bawah.

“Pada awal kejadian, saya tidak mengendahkannya kerana menyangkakan bahawa bunyi dan bau masakan tersebut datang dari rumah jiran.

“Apabila berlaku pada setiap malam, saya mula curiga.

“Sewaktu saya turun tangga untuk menuju ke arah dapur, saya dapat melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berpakaian putih sedang memasak.

“Pada masa sama, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berbaju putih turut berada di sampingnya,” katanya.

Cerita Sufian lagi, terkejut dengan apa yang dilihatnya itu, dia terus naik dan masuk ke bilik tidur tanpa bercerita apa yang dilihatnya kepada isteri.

Pada hari-hari seterusnya, Sufian masih dapat melihat kelibat wanita dan kanak-kanak tersebut berada di dapur dan melakukan perkara sama.

Pada waktu siang pula katanya, kejadian seram berlaku apabila pili air di dalam bilik mandi tiba-tiba terbuka dan terdengar seolah-olah seseorang sedang mandi.

Sedangkan ketika itu Sufian dan isterinya berada di ruang lain.

Hairan dengan kejadian yang berlaku, dia mengambil keputusan bertemu dengan seorang ustaz yang merupakan imam di sebuah masjid berhampiran untuk menceritakan kejadian yang disaksikannya itu.

Alangkah terkejutnya apabila ustaz tersebut memberitahu bahawa Sufian bukanlah orang pertama yang menceritakan kejadian seram itu kepadanya.

“Menurut ustaz tersebut, beberapa penghuni yang pernah tinggal di rumah tersebut sebelum itu juga menceritakan perkara sama kepadanya.

“Berdasarkan cerita ustaz, rumah berkenaan berkemungkinan didirikan di atas tapak sebuah rumah lama yang telah dirobohkan.

“Wanita dan kanak-kanak tersebut dipercayai merupakan penghuni rumah berkenaan.

“Malangnya, mereka telah dibunuh dan mayat kedua-dua mereka ditanam di bawah tapak rumah lama itu.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui ketika projek perumahan baharu dilaksanakan.

“Ustaz tersebut memberitahu, kelibat wanita dan kanak-kanak tersebut tidak pernah mengganggu semua penghuni rumah berkenaan.

“Melainkan mereka hanya akan muncul pada waktu malam di ruangan dapur,” katanya.

Bagi mengelak kejadian tersebut disaksikan oleh isterinya sehingga menimbulkan ketakutan, Sufian akhirnya mengambil keputusan untuk menjual rumah berkenaan selepas setahun tinggal di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN