HAMPIR dua tahun memegang status sebagai ibu tunggal. Bagi pelakon Shakilla Khoriri, dia mengakui tidak sangka akan ‘memikul’ gelaran itu selepas hanya tiga tahun bergelar seorang isteri.
Kata pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd. Khoriri itu, semasa membuat keputusan membina mahligai indah bersama bekas suaminya pada tanggal 18 Februari 2018, dia yakin perkahwinannya bersama penyampai radio, Fizi Ali adalah pilihan yang terbaik.
Jauh di sudut hati, Shakilla yakin perkahwinannya bersama lelaki itu akan membentuk sebuah jambatan bahagia yang utuh, hingga ke akhir hayatnya. Ketika itu, dia tidak terfikir ‘sesuatu’ akan terjadi dalam rumah tangganya. Namun takdir berkata lain.

Disebabkan terlampau yakin, mahligai yang dibina bersama suami diuji. Umpama badai yang datang menerpa, keutuhan ‘tiang’ rumah tangga Shakilla dan Fizi goyah sebelum akhirnya runtuh pada Disember 2021.
“Saya rasa perkahwinan itu adalah yang terbaik. Saya tak rasa sesuatu (perceraian) akan terjadi. Tapi sebab terlampau yakin, Allah SWT uji dengan perkara yang saya tidak mahu (bercerai),” katanya kepada Pose.
Dengan nada bersungguh, pelakon berusia 34 tahun itu membuka mulut mengenai punca keruntuhan rumah tangganya yang berlaku dek fitnah.
Fitnah
Kata Shakilla, dia reda apabila rumah tangga yang dibina bersama bekas suami runtuh menyembah bumi kerana takdir sudah pun menetapkan jodohnya hanya bertahan selama tiga tahun.
Cuma yang membuatkan dirinya terkilan apabila perkahwinan mereka musnah kerana fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya.
“Kerana fitnah rumah tangga saya musnah,” ujarnya ringkas namun tegas.
Bahkan, sehingga kini walaupun sudah hampir dua tahun bercerai, masih ada cerita-cerita fitnah tentang dirinya yang bertebaran ‘hinggap’ di telinganya.
“Baru-baru ini ada lagi cerita terbaharu yang saya dengar. Cerita tidak benar tentang saya nampaknya masih lagi ‘panas’ sehingga orang masih bercakap tentang saya,” katanya.
Memendam marah dan geram, Shakilla bagaimanapun sudah penat untuk melayan cerita-cerita tidak benar itu dan hanya membiarkannya pergi umpama angin lalu.

Jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia cuba memujuk diri dan membiarkan orang bercakap apa saja tentang dirinya.
“Ada banyak cerita tidak betul. Contohnya dakwaan kononnya saya kantoi dengan suami sebab ‘main’ dengan lelaki lain berstatus suami orang.
“Daripada nak memfitnah, lebih baik ambil pisau tikam saya sahaja dari belakang,” katanya.
Mengambil pendekatan mendiamkan diri, Shakilla berkata, sebenarnya dia boleh membawa perkara itu (fitnah) ke mahkamah, kerana tahu individu bertanggungjawab yang menyebar cerita.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah membintangi drama Anakku Diva itu enggan berbuat demikian.
“Saya boleh bersihkan nama sebab tahu punca cerita itu datang daripada mulut siapa.
“Tapi biarlah. Sebab saya tidak akan maafkan orang yang sebarkan fitnah itu. Jika dia terbaca artikel ini, doakan supaya saya tidak mati dahulu.
“Sebab saya tidak akan maafkan sehingga dia datang jumpa saya,” katanya.
Ameena Sofia
Enggan menampakkan dirinya umpama wanita lemah, Shakilla perlu bangkit dan kuat demi anak tunggalnya, Ameena Sofia, empat tahun.
Menyentuh tentang perihal kanak-kanak comel itu, Shakilla mahu bersikap telus tanpa perlu berbohong dengan Ameena tentang statusnya sebagai ibu tunggal.
Setiap kali melihat wajah Ameena, timbul rasa kasihan apabila anaknya perlu membesar dalam keluarga berantakan selepas dia dan bekas suami memilih jalan perceraian.

“Saya telus dengan Ameena dan terterus terang tentang hubungan saya dengan bapanya (bekas suami).
“Saya tidak boleh tipu dia. Sewaktu bercerai, usia Ameena sekitar dua tahun. Setiap kali melihat wajah anak, saya rasa sedih dan bersalah kerana dia perlu membesar dalam keadaan ibu bapanya telah bercerai.
“Saya boleh nampak kesedihan dalam mata Ameena sebenarnya,” jelas pelakon bertubuh genit itu.
Sebagai seorang ibu, dia sanggup menelan pahit apabila dengan rela hati meletakkan kesalahan dan punca keruntuhan rumah tangganya di atas bahu sendiri.
“Kalau tanya kenapa perkara ini terjadi, jawapannya sebab saya yang salah. Saya gagal menjaga perkahwinan, saya gagal dalam banyak benda.
“Saya tidak mahu ceritakan puncanya, cuma saya yakin Allah SWT sudah pun tentukan satu perjalanan yang lebih baik untuk saya,” katanya.
Berjimat cermat
Menyentuh tentang Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan, ini merupakan tahun kedua Shakilla menyambut lebaran sebagai seorang janda.
Mengamalkan konsep berjimat cermat, pelakon itu tidak terlalu beria mempersiapkan kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri kerana mahu meraikannya secara sederhana sahaja.

“Untuk raya tahun ini, tak banyak pun buat persiapan. Baju baharu pun saya tak beli sebab masih ada enam pasang baju yang tak pernah dipakai.
“Baju Ameena pula, dia sudah ada pakaian sendiri yang saya usahakan untuk jualan baju kanak-kanak.
“Saya kena berjimat cermat sebab ada banyak lagi proses yang perlu dilalui demi kelangsungan hidup bersama anak selepas ini (masa depan),” katanya yang bakal pulang beraya di kampung ibunya di Pahang.
















