Juadah bubur lambuk Masjid India di ibu negara yang usianya sudahpun mencecah 100 tahun mungkin tidak asing lagi buat masyarakat di negara ini.
Namun, di pekan Tampin yang pernah dinobatkan sebagai antara 10 bandar paling bahagia Malaysia tahun 2021 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) juga tidak kurang hebat dengan juadah bubur lambuk resipi dari India yang dimasak pada bulan Ramadan.
Menurut Pengasas Surau Pekan Tampin, Mohamad Akbar P N Mohamed Ismail, sejak surau itu ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1999, pihak pengurusan surau sudah pun melaksanakan tradisi tersebut sepanjang bulan penuh barakah itu untuk bersedekah kepada masyarakat setempat.
“Cuma beberapa tahun semasa pandemik Covid-19 kita tidak dapat melakukan tradisi ini, namun sejak tahun lalu dan tahun ini, kita edarkan hampir 100 bungkusan bubur lambuk selepas solat asar.
“Bubur lambuk kita ini juga istimewa kerana menggunakan ‘formula’ atau resipi dari India yang dibawa masuk oleh generasi terdahulu kami (India Muslim),” katanya kepada Panorama ketika ditemui di surau berkenaan yang dikenali orang ramai sebagai ‘masjid India’ di Tampin.
Walaupun ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1999, binaan surau yang turut dikenali dengan nama Madrasah Baqiyathus Salihath itu sebenarnya telah berusia lebih 100 tahun.
Surau tersebut boleh dikatakan banyak diimarahkan oleh komuniti India Muslim sejak dahulu lagi.
Ujar Mohamad Akbar, 73, yang tiba ke Malaysia sejak zaman kanak mengikuti ahli keluarganya dari India, bubur lambuk dihasilkan di surau berkenaan sangat istimewa bukan hanya disebabkan resipinya dari India, bahkan menggunakan tiga jenis minyak sapi bagi menaikkan bau bubur lambuk.
Malah menurutnya, tiada daging mahupun ayam di dalam bubur lambuk berkenaan dan hanya pelbagai jenis sayuran digunakan.
“Kalau di sini, kita buat bubur menggunakan lebih kurang lima ke tujuh kilogram beras setiap hari. Saya juga tidaklah mahu takbur memandangkan salah seorang cef bubur lambuk Masjid India KL juga pernah mencatatkan resipi bubur lambuk ini.
“Cef berkenaan bernama Barakatullah, yang kini sudah pun meninggal dunia, pernah datang menziarahi abangnya, Ustaz Abdul Majid di sini kira-kira 20 tahun lalu. Abangnya itu merupakan ustaz di surau ini,” kata Mohamad Akbar.
Menurutnya, cef berkenaan tertarik dengan cara penyediaan bubur lambuk yang dihasilkan dan telah berjaya menjadi salah seorang cef bubur lambuk Masjid India KL.
“Saya guna kacang dal, kacang hijau, tomato, lobak, cili, daun pudina, daun kari, beras, santan, minyak sapi tiga jenis, halia dan bawang, baru ia wangi.
“Bahan-bahan asas macam bunga cengkih, kayu manis, buah pelaga, bunga lawang tu memang semestinyalah,” katanya lagi.
Menurutnya, rata-ratanya memang sangat menggemari rasa bubur lambuk tersebut dan setiap hari bubur tersebut habis diedarkan.
Berkongsikan mengenai sejarah Surau Pekan Tampin itu, Mohamad Akbar yang mempunyai tiga ijazah termasuk jurusan Undang-Undang dari University of Cambridge menyatakan, surau itu sangat istimewa.

Menurutnya, tanah surau berkenaan yang berusia lebih 100 tahun telah diwakafkan oleh sepasang suami isteri yang datangnya dari Indonesia dan keturunan pewakaf itu kini menetap di Alor Gajah, Melaka.
Selepas itu, binaan surau pun telah didirikan. Tahun ke tahun surau binaan kayu serta batu itu telah melalui perubahan demi perubahan serba sedikit. Binaan bahagian depan surau yang menempatkan imam sahaja yang dikatakan kekal dari dahulu.
Lama digunakan masyarakat, akhirnya pada tahun 1999, penubuhan rasminya telah dilakukan sebagai salah satu keperluan untuk membawa ustaz-ustaz dari India ke situ.
“Malah, penubuhan rasmi surau ini juga mendapat penerimaan yang baik oleh Mufti Negeri Sembilan ketika itu Syeikh Datuk Mohd. Murtadza Syeikh Ahmad,” kata Mohamad Akbar.
Menurutnya, mufti itu sangat memudahkan segala urusannya termasuklah berhubung pemberian tauliah kepada tenaga pengajar yang dibawa masuk dari India ke Negeri Sembilan itu.
“Sejak tertubuhnya surau ini secara rasmi pada 1999, sudah 13 ustaz dari India masuk mengajar di sini dan alhamdulilah, ustaz-ustaznya juga ada yang hebat-hebat serta mempunyai rancangan dalam program televisyen media antarabangsa.
“Penting untuk mendapatkan tauliah ini kerana mereka bukan sahaja menjadi imam tetapi juga mengajar agama.
“Kalau duduk sini, dia nak ajar, nak jadi imam kena ada tauliah. Kita sebagai jawatankuasa pengurusan akan membuat permohonan termasuklah ke Jabatan Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, surau itu tidak hanya dikhaskan buat India Muslim memandangkan semua individu Muslim boleh menggunakan kemudahan surau tersebut.
“Tak kisah orang India Muslim, Cina Muslim, Melayu Muslim… kita orang Islam… sudah ucap syahadah. Bersatulah baru umat kita boleh berjaya. Kalau kita berpecah belah, tak boleh capai apa pun,” katanya.
Menurutnya, dia amat berharap agar tradisi surau itu akan dapat diteruskan oleh generasi akan datang.
Kini menurutnya, pengerusi surau tersebut merupakan pesara polis, Md Rosli Admin, 63, dan penasihatnya pula merupakan tokoh setempat, Datuk Fadzil A. Bakar.
Menurutnya, ustaz ke-13 surau berkenaan yang datangnya dari Madras, India, Mohideen Abdul Kader juga sudah berkahwin dengan penduduk setempat.














