SETELAH lebih 900 hari menghitung nasib di penjara Nyarugenge di Kagali, Rwanda, Paul Rusesabagina, 68, akhirnya selamat kembali menjejakkan kaki di bumi Amerika Syarikat (AS).
Kembalinya pada kali ini dengan janji bahawa dia tidak akan lagi mengkritik kerajaan pimpinan Presiden Rwanda, Paul Kagame.
“Jika diberi pengampunan dan dibebaskan, saya faham sepenuhnya bahawa saya akan menghabiskan baki hari-hari di AS dengan bermuhasabah diri.
“Saya memberi jaminan melalui surat ini bahawa saya tidak mempunyai cita-cita peribadi atau politik.
“Sebaliknya, saya tidak akan masuk campur dalam urusan politik Rwanda,” tulisnya dalam surat permohonan pengampunan yang dihantarkan ke Kagame.
Pada 2021, Rusesabagina yang dahulunya dijulang sebagai seorang wira dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas lapan pertuduhan keganasan.
Rusesabagina merupakan salah seorang pemimpin kumpulan Gerakan Perubahan Demokratik Rwanda (MRCD), sebuah kumpulan yang menentang Barisan Patriotik Rwanda (RPF) sebagai kerajaan memerintah.
Pembebasannya itu merupakan hasil usaha selama berbulan-bulan oleh pegawai AS dengan rakan sejawatannya dari Rwanda termasuk penglibatan Setiausaha Negara, Antony Blinken dan
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan.
Demi membebaskan lelaki etnik Hutu itu daripada ancaman pemimpin di negara asalnya, Qatar memainkan peranan penting sebagai orang tengah antara kerajaan Rwanda, kerajaan AS serta dua anak perempuan Rusesabagina.
Penulis dan pemerhati politik, Jo Adetunji berpendapat, pembebasan Rusesabagina disambut sebagai satu kejayaan oleh penyokongnya di Barat.
Bagaimanapun, situasi tersebut dilihat sebagai satu kelebihan buat Rwanda.
“Setakat ini, kerajaan Rwanda hanya mengesahkan bahawa Qatar yang melakukan rundingan pembebasan Rusesabagina dan bukannya AS.
“Walaupun Kigali menafikan terdapat tekanan daripada AS, pembebasan Rusesabagina itu sebenarnya memberi manfaat kepada hubungan Rwanda-AS.

“Bagi Rwanda, peluang ini dapat menggambarkan kesediaan kerajaan untuk terlibat secara konstruktif dengan sekutu globalnya.
“Dalam konteks nasional pula, pembebasan Rusesabagina sesuai dengan naratif perdamaian yang dipromosikan oleh kerajaan pimpinan Kagame,” katanya.
Rusesabagina merupakan bekas pengurus Hotel des Mille Collines yang pernah dijulang atas jasanya menyelamatkan ratusan nyawa semasa peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994.
Dia yang ketika itu berusia 39 tahun berjaya menyembunyikan lebih 1,200 pelarian Hutu dan Tutsi di hotel tersebut daripada diburu militia Interahamwe.
Sepanjang 100 hari kekejaman itu berlaku, sekurang-kurangnya 800,000 orang terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Hutu terhadap Penduduk Hutu neutral, Tutsi dan Twa.
Disebabkan ancaman berterusan, Rusesabagina meninggalkan Rwanda pada 1996 dan diberikan kerakyatan Belgium dengan status penduduk tetap AS.
Keberanian dan kelicikannya didokumentasikan dalam sebuah filem bertajuk Hotel Rwanda yang menampilkan Don Cheadle sebagai Rusesabagina pada 2004.
Pada tahun berikutnya, Rusesabagina dianugerahkan Pingat Kebebasan Presiden oleh Presiden AS ketika itu, George W Bush di atas keberaniannya.
Selepas detik hitam dalam sejarah kemanusiaan itu, keadaan Rwanda stabil di bawah tangan Kagame, seorang pemimpin pemberontak daripada etnik Tutsi yang diangkat menjadi Presiden.
Kini, Rwanda dikenali sebagai negara autoritarian di bawah kawalan penuh Kagame yang mula memegang tampuk pimpinan bermula 2000.
Tenteranya dipercayai melakukan rompakan dan pembunuhan beramai-ramai di Democratic Republic of Congo (DRC) iaitu pangkalan ahli kumpulan pemberontak Hutu Rwanda, Pasukan Demokratik Pembebasan Rwanda (FDLR).
FDLR terdiri daripada bekas tentera Rwanda dan militia Hutu yang melarikan diri ke negara jiran selepas berakhirnya kempen pembunuhan beramai-ramai pada 1994.
Selain itu, pihak yang cuba mencabar politik Kagame akan dipenjarakan, diadakan perbicaraan palsu atau mati dalam keadaan misteri di dalam dan luar negara.
Bagi kes Rusesabagina, dia ditangkap pada 2020, apabila jet peribadi yang dipercayai membawanya ke Burundi telah mendarat di Kigali.
Ketika ucapan berkenaan penangkapan Rusesabagina, Kagame menegaskan bahawa pihaknya melakukan hal demikian demi keselamatan dan ketenteraman Rwanda.
“Kami sedar bahawa individu ini mendapat status selebriti atau wira dalam sejarah Rwanda menerusi sebuah filem.
“Namun, status tersebut bukan bermakna dia boleh mengatasi batasan undang-undang di negara ini.
“Bukan mudah untuk Rwanda mencapai kestabilan dan keharmonian seperti ini. Saya tidak akan membenarkan sesiapa mencabarnya,” tegasnya.














