NAMA penyanyi yang semakin meningkat naik, Lyodra Giting dikaitkan sebagai artis yang bersikap diva selepas jurusolek, Ifan Ravaldi berkongsi pengalamannya dalam industri seni belakang tabir.
Perkara tersebut diceritakan Ifan dalam satu temu bual bersama Hesti Purwadinata dan Onadio Leonardo menerusi saluran YouTube NOICE baru-baru ini.
Tanpa menyebut nama, Ifan berkata, artis tersebut merupakan seorang penyanyi perempuan yang kini sedang memasuki dunia lakonan.
Ifan mendakwa artis yang dimaksudkan terbawa-bawa sikapnya sebagai seorang penyanyi terkenal ke lokasi penggambaran filem.
Dia turut membandingkan perangai artis tersebut dengan Onadio yang juga seorang penyanyi tetapi memiliki perilaku yang jauh berbeza.
“Itu juara, dia tidak sepatutnya bawa perangai di atas pentas ke set penggambaran. Semuanya tentang dia perlu didahulukan,” ujarnya.
Tambahnya, artis tersebut juga membuat berbagai permintaan termasuk dijemput menaiki jenis Toyota Alphard dan ruangan sendiri di lokasi penggambaran.
Segelintir netizen kemudian memetik nama Lyodra berikutan penyanyi lagu Sang Dewi itu pernah berlakon bersama Onadio dalam sebuah filem berjudul Hasta la Vista.