MENINGGALKAN alam korporat sebagai juruaudit teknologi maklumat (IT) di beberapa buah bank sekitar tujuh tahun lalu bukanlah sesuatu yang disesali wanita berani ini.
Meskipun sudah berkhidmat lebih sedekad sejak tamat pengajian di universiti pada tahun 2005, bahkan stabil dari segi ekonomi, namun Norazimah Abd. Jalil mempunyai matlamat tersendiri.
Membuat salah satu keputusan berat dalam hidup untuk meninggalkan dunia perbankan yang memberinya 1,001 pengalaman sekali gus mendewasakannya, Norazimah nekad serta teguh dengan pendiriannya.
Baginya, keputusan yang diambil untuk menceburi dan menerokai bidang kecantikan turut mempunyai masa depan dan potensinya.
Berpeluang menemu bual anak jati Temerloh, Pahang yang kini semakin dikenali sebagai personaliti kecantikan dengan nama Eiyma Jalil dalam kalangan kenalan dan di media sosial ini, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkongsi mengenai kembara perjalanan kariernya hingga detik ini.
Sering berkongsi tip kecantikan bersama lebih 300,000 pengikutnya di akaun TikTok eiyma.jalil, wanita ini juga merupakan seorang usahawan kosmetik sejak tahun 2016.
“Kalau siapa yang tahu tentang perjalanan hidup saya, pasti mereka tahu saya bukanlah pernah bekerja di bank sahaja. Sebelum ini saya juga pernah jadi jurumekap artis tetapi tidaklah begitu lama.
“Kalau ikutkan, menyolek itu hanya hobi dan lebih kepada nak cari pendapatan sampingan sahaja,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Meneruskan cerita, wanita berusia 41 tahun ini mengakui, daripada hobi dan sekadar suka-suka sebagai jurumekap di hujung minggu, ia lama-kelamaan bertukar menjadi satu bisnes dan kerja yang serius.
Kata Norazimah yang menyifatkan diri sebagai cosmetic formulator, sejak dari situlah, dia terdorong untuk memiliki jenama kosmetik miliknya sendiri, Haus Cosmetics.
“Minat menyolek dan dunia kecantikan itu memang saya suka sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Dari sekadar part time (separuh masa) pada hujung minggu, sampailah ia jadi satu bisnes. Jadi, dek kerana sambutan menggalakkan, saya memutuskan untuk ‘bersara’ lebih awal daripada dunia perbankan.
“Nak dikatakan ralat atau dalam kata lain mengambil keputusan kurang bijak, bagi saya itu salah dan hasilnya telah saya buktikan kini,” ujarnya.
Menyorot kembali karier lamanya sebagai juruaudit IT, dia berpendapat bidang kerjanya dahulu banyak membantu dalam apa yang diusahakannya kini. Kata Norazimah, bekerja sebagai juruadit memerlukannya untuk sentiasa peka dan menerima segala perubahan dalam teknologi sedia ada.
“Sebelum ini memang saya banyak bekerja di beberapa bank ternama negara dan diberi tanggungjawab untuk mengaudit serta mengawal sistem sekuriti sesebuah bank itu.
“Jadi, boleh dikatakan saban bulan dan setiap masa ada sahaja teknologi baharu yang diperkenalkan dan itu secara tidak langsung memerlukan saya untuk adapt atau menyesuaikan diri dengan perkara tersebut.
“Justeru, dalam bisnes pun sama. Apa yang saya belajar di bank dulu, saya bawa semula dan praktik dalam perniagaan. Kalau ikutkan, dari segi kaedah dan proses sama sahaja seperti di bank, cuma berbeza bidang,” katanya.
Akui Norazimah lagi, apa yang ditimba di tempat lama terutama dari segi komunikasi dan cara negotiation (perundingan) dengan pelbagai pihak turut digunakannya hingga sekarang.
“Mungkin yang sudah kenal diri ini tahu yang saya memang menggunakan TikTok sebagai platform untuk berkongsi mengenai segala ilmu tentang kecantikan serta kosmetik.
“Saya akui apa yang saya dapat dahulu secara tidak langsung memudahkan saya untuk develop (bangunkan) perniagaan ketika ini.

“Bukan setakat ilmu kecantikan, saya juga dapat berkongsi dengan pengikut mengenai teknologi terkini yang digunakan dalam produk kosmetik, cara guna dan bahan yang digunakan.
“Pengikut saya memang selalu bertanya mengenai inovasi dan teknologi sesuatu produk, jadi berbekalkan pengalaman yang ada, saya tidak kekok untuk berkongsi bersama mereka secara fakta,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Norazimah yang datang daripada keluarga sederhana bersyukur, setelah beberapa tahun berusaha membangunkan perniagaan tanpa kenal erti putus asa, dia kini mampu tersenyum gembira dengan hasil yang dikecapi.
Pun begitu, benarlah bak kata peribahasa, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu antara ‘nasib’ yang terpaksa dilaluinya sewaktu syarikat sedang meniti nama.
Ujarnya, kegagalan dalam mengoperasikan kilang pembuatan produk kosmetik pada awal pembabitan hingga melibatkan nilai kerugian RM2 juta beri hikmah tersendiri buatnya kini.
“Kegagalan yang berpunca daripada masalah teknikal khususnya dalam aspek bancuhan bahan untuk pembuatan kosmetik sehingga menyebabkan ia tidak mencapai piawaian pelanggan, telah memberi banyak pengajaran buat saya.
“Tetapi alang-alang menyeluk pekasam, biarlah saya teruskan apa yang sudah saya asaskan dan pilih. Waktu itu, berbekalkan semangat dan kecekalan, saya bangkit semula tanpa menoleh ke belakang,” ungkapnya.
Sempat berkongsi panduan solekan, wanita ini akui sukakan teknik solekan yang tampak natural beauty.
“Untuk hasilkan solekan natural beauty, kita perlu gunakan warna-warna ‘earth color’. Lukisan kening juga jangan terlalu mengikut garisan, bimbang akan buat muka kita tampak tak semula jadi.
“Solekan yang tahan lama juga memerlukan asas mekap yang betul langkahnya. Contohnya, perlu pakai toner, serum, pelembap dan pelindung matahari sebelum oles apa-apa solekan. Selesai bersolek, amat perlu memakai ‘setting spray’ yang tinggi kandungan bahan mentah moisturizing. Hasilnya, solekan juga tidak bercapuk,” katanya.














