GEORGE TOWN – Pengguna di negeri ini mula mempersoalkan sikap segelintir peniaga yang hanya berniaga di bulan Ramadan kerana menyediakan makanan secara ala kadar tanpa mementingkan kualiti dan kepuasan pembeli.
Tinjauan Kosmo! di beberapa bazar Ramadan dan media sosial mendapati, hampir sebahagian menu yang dijual tidak menepati kehendak pelanggan termasuk saiznya yang kecil tidak sepadan dengan harga selain rasa kurang memuaskan.
Bukan setakat itu, ada peniaga dipercayai sanggup ‘memperdaya’ pelanggan dengan menjual juadah seperti lauk dan sambal hangit.
Seorang penjawat awam, Fazilah Abdullah, 39, berkata, dia kecewa dengan sikap segelintir peniaga bermusim ini yang sanggup mengaut keuntungan dengan menyediakan juadah yang kurang memuaskan selain harganya mahal.
“Saya beli nasi minyak ayam masak merah dan masak kicap pada harga RM14, sudahlah rasanya kurang masin, lauk pula rentung (hangit).
“Sepatutnya peniaga lebih berhati-hati dan jangan sesekali ambil kesempatan dalam bulan yang berkat ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, suri rumah, Rosaida Ali, 45, memberitahu, dia terkejut apabila mendapati kuih cara yang dibeli tiada gula di dalamnya, manakala kuih ketayap dan karipap pula tiada inti. Setiap satu kuih itu dijual pada harga 60 sen sebiji.
“Bentuk kuih ini nampak cantik, tetapi apabila dijamah tiada langsung rasa manis. Karipap pula dapat bawang sahaja, umpama makan kuih tepung kosong,” ujarnya.
Pekerja swasta yang hanya dikenali sebagai Rina, 40, pula berkata, dia mengambil pendekatan untuk menyediakan juadah berbuka sendiri berbanding membeli di bazar Ramadan.
“Sepatutnya peniaga bazar Ramadan lebih bertanggungjawab dalam menjual makanan, jangan hanya tahu ambil kesempatan,” tambahnya.














