fbpx
CHONG WEI berharap kejayaan Tze Yong menumbangkan pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen dapat menaikkan keyakinan pemain muda negara itu, namun turut berpendapat fizikal Tze Yong masih belum cukup mantap dan perlu fokus pada aspek itu agar ketahanannya lebih kuat.

Jangan lambat sangat capai momentum – Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEGEMURUHAN dapat dirasakan semua peminat badminton tanah air setiap kali legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei beraksi di atas gelanggang kejohanan.

Kehadiran anak jati Bagan Serai, Perak itu di atas pentas perlawanan menyatukan rakyat Malaysia untuk turut sama menyokong biarpun hanya menerusi kaca televisyen.

Namun, sejak mengumumkan persaraannya pada 2019, tiada lagi susuk individu dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pemain No.1 dunia itu.

Selain aktif berceloteh di laman media sosial, Chong Wei kini bertindak sebagai panel penasihat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan ahli jawatankuasa Road to Gold untuk misi Olimpik.

Bersama wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA, Chong Wei berkongsi pandangannya terhadap situasi semasa badminton negara.

KOSMO! AHAD: Secara keseluruhan, bagaimanakah Datuk melihat prestasi semasa pemain badminton negara selepas berakhirnya beberapa kejohanan pada tahun ini termasuk All England minggu lalu?
Lee Chong Wei: Setakat ini baru dua kejohanan berlangsung iaitu Terbuka Malaysia dan All England. Berdasarkan dua kejohanan tersebut, saya boleh simpulkan kita tidak membuka tirai tahun ini dengan baik.

Namun, saya harap pemain-pemain kita akan lebih berusaha menjelang kejohanan yang menawarkan kelayakan ke Sukan Olimpik bermula Mei nanti. Ini bukan lagi masa untuk ‘memanaskan badan’.

Mereka perlu lebih fokus dan bertenaga pada kejohanan seterusnya. Jangan lambat sangat untuk capai momentum sebelum tempoh meraih kelayakan Olimpik nanti.

Pada kejohanan All England baru-baru ini, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong telah melakukan kejutan dengan menewaskan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen. Bagaimanakah Datuk melihat prestasi semasa pemain ini dan potensinya pada masa depan?
Walaupun Tze Yong dapat tewaskan pemain nombor satu dunia, saya nasihatkan dia supaya tidak cepat berpuas hati.

Pada saya, fizikal dia masih belum cukup mantap lagi. Dia perlu fokus pada aspek itu agar ketahanannya lebih kuat.

Kemenangan tersebut lebih kepada untuk menaikkan keyakinan diri dia. Kini, Tze Yong tahu dia mampu untuk menewaskan pemain nombor satu dunia. Ini bukan soal tuah atau tidak, itu memang usaha dia.

Saya harap Tze Yong jadikan setiap perlawanan sebagai satu peluang untuk dia nilai kelemahan dan kelebihan pada setiap persembahannya. Saya yakin sekiranya dia mampu lakukan itu, dia juga boleh layak ke Olimpik.

Seperti diketahui, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sedikit bergelut dengan prestasi sejak kebelakangan ini walaupun berlaku peningkatan ketika di All England. Adakah langkah pemain ini bergerak secara profesional tanpa jurulatih sebagai pilihan tepat?

Saya percaya status ‘tanpa jurulatih’ Zii Jia itu sementara sahaja. Dia masih lagi dalam proses mencari jurulatih yang serasi dengan dia untuk kempen Olimpik nanti dan itu memakan sedikit masa.

Saya tak boleh bercakap bagi pihak Zii Jia sama ada dia patut ada jurulatih atau tidak, tapi secara lumrahnya, semua pemain badminton bintang dunia pasti akan ada jurulatih untuk membantu mereka mencapai misi kemenangan.

Tahniah diucapkan kepada Datuk selepas dilantik sebagai salah seorang panel penasihat BAM baru-baru ini. Jadi, apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh Datuk kepada arena badminton negara menerusi penubuhan panel tersebut?
Sebagai panel penasihat teknikal, yang berkhidmat secara pro-bono. Saya akan memberikan input tambahan, nasihat dan panduan strategik kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM) dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi pemain bagi jangka panjang.

Saya akan gunakan pengalaman karier saya sebagai atlet badminton selama 25 tahun sebagai panduan dalam membimbing generasi muda badminton.

Berdasarkan pengalaman bekas-bekas atlet seperti kami ini, diharapkan dapat membantu mereka mengharungi cabaran di Sukan Olimpik, acara pelbagai sukan dan kejohanan Jelajah Dunia BWF.

Difahamkan matlamat utama penubuhan panel ini adalah untuk memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik. Pada pendapat Datuk, apakah perkara yang perlu diubah atau ditambah baik oleh BAM bagi merealisasikan impian tersebut?
Saya tidak rasa BAM perlu ubah apa-apa. Pada peringkat sekarang, fokus kami adalah bantu atlet untuk meraih kelayakan Olimpik. Kami akan pastikan keperluan atlet dipenuhi.

Kami boleh jadi ‘jambatan’ di antara BAM dan pemain, tetapi, kami hanya boleh membantu sebahagian sahaja kerana sebahagian lagi bergantung kepada atlet itu sendiri.

Apabila di atas gelanggang, kesemuanya bergantung pada hasil usaha atlet itu sendiri.

CHONG WEI menjadi kebanggaan Malaysia dan dikagumi dunia kerana pencapaiannya yang hebat dalam arena badminton terutama mengungguli kedudukan No.1 dunia perseorangan lelaki dalam tempoh yang panjang.

Secara peribadi, adakah Datuk melihat impian negara membutir emas Sukan Olimpik menerusi acara badminton mampu direalisasikan pada Paris 2024 dengan pemain-pemain sedia ada. Siapakah pemain yang paling berpotensi untuk membutirkan pingat berkenaan?
Pasukan projek Road to Gold yang diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menumpukan kepada dua anjuran sukan Olimpik iaitu Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028.

Sekarang ini, kita boleh nampak potensi emas itu daripada acara badminton, acara berbasikal dan acara terjun. Namun, saya tidak boleh secara spesifik meletakkan satu individu atau kumpulan sebagai prospek emas kerana masa ke arah itu masih panjang.

Buat masa ini, fokus kami tertumpu pada pemberian sokongan daripada nasihat, kejurulatihan, fisioterapi dan sebagainya untuk capai impian tersebut.

Sehingga kini, negara masih belum menjumpai pemain perseorangan lelaki sehandal Datuk. Jadi, apakah rahsia Datuk kekal konsisten dalam setiap kejohanan. Adakah disebabkan rejim latihan atau faktor lain?
Perkara paling penting adalah untuk tahu apa matlamat diri sendiri berada di atas gelanggang. Bukan matlamat jurulatih, BAM atau sesiapa sahaja.

Jika seseorang atlet itu memiliki visi yang jelas, dia pasti akan berusaha lebih gigih dan tekanan hanyalah satu cabaran bagi dia.

Keazaman saya untuk menang sebagai seorang pemain sama seperti yang dipaparkan dalam biopik saya.

Adakah Datuk turut melihat bakat-bakat muda remaja seperti Justin Hoh yang baru-baru ini boleh dikatakan sering konsisten dalam kejohanan disertai, misalnya sering berada di semi final atau final mampu menjanjikan sesuatu buat negara?
Tze Yong merupakan antara prospek untuk layak ke Olimpik Paris 2024, manakala Justin Hoh pula prospek ke Olimpik Los Angeles 2028, tapi kalau Justin Hoh dapat layak ke Olimpik Paris 2024, itu sangat bagus.

Program Road to Gold adalah misi selama lapan tahun. Jadi, kami harap dalam tempoh ini pemain-pemain muda mampu digilap sehingga mencapai pada tahap potensi yang diperlukan untuk terus mengharumkan nama negara.

Sebelum ini, ada ura-ura Datuk mendapat tawaran menjadi jurulatih di luar negara. Adakah Datuk memang memasang impian untuk menjadi jurulatih dan hanya menunggu masa untuk berbuat demikian?
Buat masa ini, saya tiada cita-cita untuk jadi jurulatih di dalam atau luar negara.

Tidak terlintas lagi dalam fikiran saya untuk memegang posisi itu, sebab nak jadi jurulatih ini bukan mudah, tapi saya tidak kata pintu itu memang tertutup langsung, cuma belum masanya.

Adakah Datuk melihat anak-anak Datuk juga boleh meneruskan legasi kejayaan Datuk? Adakah Datuk mahu mereka mengikut jejak langkah Datuk menjadi pemain badminton? Kalau boleh, apa yang Datuk rasa Datuk tidak berpeluang lakukan dan Datuk harap anak-anak Datuk dapat perbaiki atau melakukannya?
Anak saya tidak perlu teruskan legasi saya. Bahkan, saya tidak akan paksa mereka untuk ada cita-cita seperti saya.

Sebagai bapa, saya akan sentiasa sokong apa sahaja cita-cita mereka. Lagipun, setakat ini, mereka tidak menunjukkan minat mereka ke arah badminton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN