SEJAK memasuki tahun baharu, pelbagai kontroversi yang membabitkan isu rumah tangga hangat diperkatakan terutamanya tumpuan kepada golongan selebriti.
Daripada isu ‘penyondol’ sehinggalah kes keganasan rumah tangga yang terjadi, isu tersebut mendapat pelbagai reaksi umum yang berbelah pendapat.
Terkesan dengan laporan yang diberitakan media sejak kebelakangan ini membuatkan dramatis popular Rozita Che Wan bersuara menitipkan nasihat untuk para wanita meneruskan kehidupan walau apa jua cabaran dihadapi.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta sangat mengharapkan kaum Hawa tidak kira yang sedang bahagia atau kecewa dalam rumah tangga untuk memiliki pendapatan sendiri bagi menyara hidup.
“Orang perempuan perlu ada pendapatan sendiri dan harus lebih berani untuk berdikari.
“Hal ini membantu perempuan berdiri atas kaki sendiri dan bersedia dengan apa jua akan berlaku (dalam hubungan),” katanya memulakan bicara.
Meskipun kes curang yang sering terjadi sangat pahit untuk ditelan tetapi selebriti tinggi lampai itu menasihati wanita supaya melihat dari sisi positif.

“Nasihat saya kepada wanita di luar sana kalau lelaki curang, kalian reda sahaja. Allah menghantar seseorang buat kita kadang-kadang bukan untuk kekal selamanya.
“Kadang-kadang ada yang datang untuk memberikan kenangan dan apabila Allah ambil mereka, Dia akan menghantar yang lebih baik,” ujarnya.
Merujuk kisah silamnya, Che Ta mengakui mampu menghela nafas lega apabila mempunyai sumber pendapatan sendiri setelah berpisah dengan bekas suaminya, Azuar Effendy Zulkaply pada 2003.
“Dahulu saya memang suri rumah sepenuh masa. Tetapi apabila bercerai alhamdulillah saya ada segalanya sendiri.
“Perkara yang terjadi pasti ada sebab mengapa Allah memberikan dugaan tersebut,” tutur isteri kepada pelakon Zain Saidin itu.
Kerasnya kehidupan sekarang apabila melihat banyak berlaku keruntuhan rumah tangga di sekeliling, aktres jelita itu menyuntik semangat kepada para wanita untuk bangkit menempuh dugaan.
Baginya, lambat atau cepat, seseorang yang terduduk dilanda ujian dalam hidup pasti akan bertemu pelangi di penghujungnya.
“Wanita yang baru bercerai atau di ambang perceraian, jangan salahkan takdir atau diri sendiri.
“Tuhan tidak akan menghukum kalau kalian sendiri sukar menerima dugaan dan pasti ada yang lebih baik menanti.
“Tiada yang selepas berpisah akan membuatkan kehidupan merudum sebaliknya kita akan bangun dan terus berlari meneruskan takdir yang telah tertulis,” jelas pelakon drama Kiah Pekasam itu.
Pencen
Enggan larut dengan perihal tersebut, perbualan tatkala bertemu ibu kepada tiga anak itu baru-baru ini beralih kepada harapannya sempena menyambut hari lahir ke-50.
Menginjak usia 50 tahun pada 9 Mac lalu, pelakon dan pengacara itu berkongsi rasa ingin berehat dari dunia kerjaya dan tenang menghabiskan masa di rumah.

“Saya rancang mahu berpencen. Nak duduk di rumah, berehat dan mempunyai kehidupan tenang sebab selama ini yang menjalankan syarikat ialah Zain.
“Kalau perlu sahaja saya pergi ke pejabat. Jika tidak, saya ke set lokasi drama atau buat aktiviti lain,” ujarnya.
Ditebak sama ada keinginan itu berpunca akibat rasa penat selepas berdekad berhempas-pulas bekerja, Che Ta berkata, pada usia sekarang adalah waktu terbaik sekiranya ingin memperlahankan rentak kerjaya.
“Bukan saya tidak larat. Setakat ini Tuhan bagi sihat tubuh badan tetapi saya rasa usia 50 tahun masa terbaik untuk berehat dari bekerja.
“Cuma keputusan ini belum muktamad sebab anak saya sudah tetapkan amaun simpanan yang saya perlu ada sebelum mahu pencen tahun hadapan,” tutupnya.














