fbpx
Kelibat Nooryana sering kelihatan di mahkamah untuk mengikuti dan memberi sokongan kepada bapanya, Najib sepanjang dakwaan dan perbicaraan melibatkan bekas PM itu.

Nooryana belajar, ambil iktibar kekuatan Nurul Izzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sepanjang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan ujian kehidupan dan dakwaan di mahkamah, antara susuk tubuh yang sering terlihat sama-sama turun naik mengharungi nadi perjuangannya ialah anakandanya, Nooryana Najwa Najib. Persis deja vu, tidak hairanlah ada yang melihat Nooryana ibarat Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang ke hadapan suatu ketika dahulu mempertahankan ayahandanya.

Kini, Nooryana yang juga graduan jurusan Politik Antarabangsa kian menjadi perhatian. Kepada Wartawan Kosmo! Ahad, ADHAM SHADAN, figura yang mesra membahasakan dirinya Yana ini mengakui mengagumi Nurul Izzah selain berkongsi pelbagai hal keperibadiannya termasuk nuraninya sebagai anak ternama dan langkahnya dalam politik.

KOSMO AHAD!: Sebagai legasi dinasti Razak yang mana bapa dan datuk merupakan Perdana Menteri (PM), bagaimana Nooryana melalui kehidupan selama ini? Maklumlah, jarang-jarang orang mempunyai bapa dan datuk bergelar PM bukan?
Nooryana: Sebagai seorang anak dan cucu kepada tokoh politik yang pernah bergelar PM, saya sedar betapa pentingnya untuk menjaga nama baik keluarga. Sejak kecil lagi, ibu dan ayah membesarkan adik-beradik saya secara ‘normal’ di mana mereka pastikan bahawa kami cemerlang dalam pelajaran dan apabila masanya untuk kami bekerja, kami digalakkan kerja seperti anak orang biasa.

Yana memulakan kerjaya Yana sebagai seorang penganalisis di sebuah syarikat dana ekuiti. Tidak boleh dinafikan anak kepada Datuk Seri Najib (DSN) ada kelebihannya. Bagi Yana, kelebihannya lebih dari segi peluang untuk mengenal dunia politik dari muda lagi.
Yana mendapat peluang melihat dan belajar dengan lebih teliti bagaimana dasar-dasar diperjuangkan ayah serta datuk Yana telah meningkatkan kehidupan jutaan rakyat Malaysia. Pengalaman mengikut ayah ke program-program mesra rakyat juga memberi inspirasi kepada Yana untuk mengikut jejak langkah ayah yang suka berkhidmat kepada masyarakat.

Boleh kongsikan latar belakang pendidikan, jurusan di universiti dan bagaimana pendidikan itu membentuk diri Yana?
Yana mendapat pendidikan ijazah sarjana muda di Georgetown University, Washington DC, Amerika Syarikat (AS) dalam jurusan Politik Antarabangsa. Setelah hampir empat tahun bekerja, Yana menyambung pendidikan di Wharton Business School, University of Pennsylvania dalam jurusan MBA (Masters in Business Administration) dan seterusnya ke Harvard University untuk ijazah sarjana dalam jurusan Pentadbiran Am.

Fokus Yana dalam bidang politik telah memberi peluang kepada Yana untuk belajar daripada pensyarah-pensyarah terkenal dalam dunia politik antarabangsa. Contohnya, seorang pensyarah yang juga seorang role model bagi Yana ialah Madeleine Albright iaitu Setiausaha Negara (Secretary of State) wanita pertama di AS. Mereka sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepada Yana selama ini untuk menceburi dunia politik apabila tepat dan tiba masanya.

Yana juga ada pengalaman menjadi seorang student volunteer untuk kempen Presiden Barack Obama semasa belajar di AS. Hasrat Yana adalah untuk berkongsi segala ilmu pengetahuan dan pengalaman Yana selama ini dengan sahabat-sahabat Yana dalam pergerakan Puteri UMNO.

Apabila Datuk Seri Najib ditangkap, berdepan dakwaan di mahkamah dan seterusnya dipenjara, kalau boleh diimbas kembali, bagaimana perasaan atau situasi keluarga pada masa itu?
Boleh dikatakan ini merupakan detik-detik yang paling sukar dalam hidup kami. Yana tidak pernah fikir yang Yana akan dipisahkan daripada ayah. Yana bertuah kerana keluarga Yana memang kuat dari segi mental dan tabah mengharungi dugaan ini. Ibu Yana seorang yang setia kepada ayah dan tidak pernah meninggalkan sisi ayah dalam keadaan yang sukar.

Kami selalu mengingati kata-kata ayah sebelum beliau diambil oleh pengawal penjara pada 24 Ogos lalu; “Mereka boleh buat apa sahaja dengan kuasa mereka tetapi mereka tidak boleh menguasai kekuatan mental dan emosi kita”. Jadi, walau dugaannya hebat sekali, kami sekeluarga tak pernah berputus asa memperjuang keadilan untuk ayah.

Sebelum ini mungkin orang tidak begitu mengenali Yana, adakah Yana sebelum ini bersifat sebagai seorang pemerhati politik atau seorang yang tidak begitu mencampuri hal politik?
Sudah tentu minat dalam politik itu ada pada diri Yana sejak kecil lagi. Sebelum Yana aktif dalam politik, Yana bersifat sebagai seorang pemerhati politik – sentiasa membaca, menganalisis isu-isu politik.

Kadang-kadang berkongsi pendapat dengan kawan-kawan, tetapi semasa ayah menjadi PM, Yana sekeluarga tidak pernah mencampuri dalam hal politik atau kerja ayah. Hanya sekarang, apabila ayah tiada bersama kami, Yana memainkan peranan yang lebih aktif dengan team Bossku untuk memastikan perjuangan Bossku sentiasa berterusan.

 

Nooryana (tengah) berpendidikan dalam pelbagai bidang pengajian antaranya Politik Antarabangsa dan Pentadbiran Am.

 

Apabila Datuk Seri Najib kini di penjara, kerapkah Yana melawat dan apa peranan yang dilakukan sebagai seorang anak? Apa yang paling buat Yana tersentuh hati?
Dahulu memang susah untuk berjumpa dengan ayah. Sekarang, setelah beberapa bulan ayah dipenjarakan, kami dapat peluang untuk berjumpa dengan ayah di Kajang dan juga bersalaman serta bertanya khabar apabila beliau di mahkamah.

Sebagai seorang anak, Yana harus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk ayah. Yana harus berfikiran positif supaya apabila ayah berjumpa dengan kami, ayah tahu yang kami sekeluarga dalam keadaan baik. Kami memang sentiasa risau dengan keadaan ayah di penjara kerana kami sudah biasa menjaga ayah di rumah dengan begitu baik. Kadang-kadang kami terfikir apa ayah makan? Adakah ayah lena tidur di sana? Adakah ayah berasa keseorangan?

Memang tak mudah untuk menjalani rutin-rutin seharian kami tanpa kehadiran ayah kerana beliau seorang yang sangat rapat dengan keluarga.

Adam pun selalu tanya di mana atuknya sekarang? Yana pun terpaksa reka cerita yang atuknya sibuk bekerja di pejabat. Jadi, Adam ingat kalau kita ke penjara atau mahkamah, di sanalah pejabat atuknya.

Ada suatu hari, Yana melihat buku diari ayah di mahkamah dan Yana lihat ayah simpan gambar Adam dan Aidan di belakang diarinya. Yana agak tersentuh hati kerana mungkin cucu-cucu memberi satu inspirasi supaya ayah terus kuat dan tenang menghadapi dugaan ini.

Bila ada orang mengaitkan Yana dan Najib ini dengan apa yang pernah berlaku kepada puteri reformasi, Nurul Izzah dan Anwar, apa yang boleh Yana katakan?
Ya, sudah tentu ada yang kaitkan situasi Yana dan Nurul Izzah. Dalam situasi sebegini, selalunya ada wakil daripada keluarga yang harus tampil ke hadapan untuk menjadi jurucakap keluarga.

Apabila ayah dipenjarakan, Yana selalu terfikir bagaimana Nurul Izzah boleh hadapi segala cabaran sewaktu ayahnya dipenjarakan?

Dari menjadi seorang anak yang memperjuangkan keadilan untuk ayahnya sehingga jadi seorang ahli politik yang juga seorang isteri dan ibu sepanjang tempoh masa hampir 20 tahun.

Walaupun ideologi dan latar belakang politik yang berlainan, Yana memang kagum dengan kekuatan Nurul Izzah kerana hanya orang yang pernah melalui tekanan dan cabaran sebegini boleh merasa pengorbanan yang harus dihadapi demi memperjuangkan keadilan dan keselamatan keluarganya.

Difahamkan Yana juga merupakan admin Facebook Najib, adakah ia tugas yang mencabar?
Yana bukan admin FB Najib Razak! Mungkin ini persepsi tetapi Yana bukan adminnya. (ulasnya ringkas)

Kita lihat selepas nasib yang menimpa Najib kini, anak-anaknya semakin aktif dalam politik, Datuk Mohd. Nizar misalnya bertanding PRU15 dan Datuk Nazifuddin bakal bertanding Ketua UMNO Langkawi, adakah apa yang berlaku pada Najib telah melonjakkan semangat Yana dan adik beradik lain untuk berjuang dalam politik?
Semangat perjuangan tentu ada dalam DNA keluarga kami. Adik-beradik Yana faham kesayangan ayah terhadap parti UMNO.

Dalam penjara pun, masih fikir tentang hala tuju parti. Jadi, sebagai anak kepada seorang party man, kami hanya ingin mainkan peranan tersendiri untuk bantu parti dalam misi pemulihan supaya UMNO boleh kembali sebagai sebuah parti yang cemerlang dan sentiasa disayangi rakyat.

Yana juga dikatakan bakal bertanding dalam politik, apa aspirasi yang hendak Yana bawa?
Sebagai seorang ahli Puteri dan juga seorang yang bertanding sebagai Ketua Puteri Bahagian dan calon Exco Pergerakan Puteri, Yana ingin melihat lebih represantasi daripada golongan wanita muda antara 18 hingga 25 tahun. Ramai berpendapat, UMNO ketandusan pemimpin muda tetapi sepanjang proses pemilihan ini, Yana melihat sendiri ada yang berbakat.

Cuma, mereka buat masa sekarang, hanya aktif dalam peringkat cawangan atau bahagian, belum di atas pentas nasional. Peranan Yana adalah untuk mencungkil bakat pemimpin wanita muda kami, mengasah bakat mereka supaya mereka sedia bergerak ke hadapan.

Kami sebagai ketua harus memastikan bahawa mereka mendapat peluang seluas-luasnya untuk menonjolkan bakat di pentas yang lebih besar. Yana juga mahu melihat Puteri menjadi satu suara yang lantang dan berani menjadi jurucakap wanita-wanita muda.

Bagi Yana sendiri apa hikmah yang mungkin didapati daripada segala yang terjadi ini?
Yana tidak sangka apa yang ayah telah perjuangkan untuk rakyat dan parti UMNO selama 46 tahun memberi impak positif yang amat besar. Hanya sekarang apabila ayah tidak boleh aktif dalam politik, ramai yang merasai kehilangannya.

Pada PRU15, Yana sendiri lihat wajah pak cik-pak cik, mak cik-mak cik yang berkongsi cerita bagaimana dasar-dasar mesra rakyat 1Malaysia seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia mengubah kehidupan mereka. Mereka luah perasaan dengan penuh emosi dan nostalgia, sehingga ada yang menitis air mata. Yana tidak boleh abaikan pengalaman ini. Kenangan ini menjadi sumber inspirasi buat Yana untuk kuatkan semangat terus maju ke hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN