fbpx
AMIR AHNAF

Amir Ahnaf ‘si Kapla’ bukan lelaki ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tatarias oleh Siti Sofiah (@_sitisofiah_)

Penata gaya oleh Dean Ishak (@dean.ishak)

 

SEBELUM ini, nama Amir Ahnaf terlalu asing dalam radar industri seni tanah air, namun sejak gelombang Kahar tercetus, popularitinya meroket dan menjadi kegilaan ramai dalam media sosial.

Siapa sangka, memegang watak antagonis dalam drama popular Projek: High Council (PHC) sebagai Kahar, menjadi batu loncatan untuk dirinya dikenali ramai.

Bukan sahaja watak, malah dialog-dialog yang dilontarkan dalam PHC tular dan menjadi ikutan ramai. Begitulah besarnya impak watak Kahar terhadap anak kelahiran Dungun, Terengganu berkenaan.
Muncul sebagai penghias Pose minggu ini, keperibadian sebenar Amir jauh berbeza daripada yang dipersembahkan dalam PHC, dia bukan lelaki ‘ganas’.

“Kahar sangat kasar dan lantang, semua itu tidak ada pada seorang Amir Ahnaf.

“Sebenarnya saya individu introvert, dan perlukan masa bagi beradaptasi dengan persekitaran baru serta sukar untuk mudah mesra dengan orang lain,” katanya kepada Pose memulakan bicara.

Tidak pernah bermimpi untuk namanya meledak seperti sekarang, itu yang berulang kali diucapkan jejaka berumur 23 tahun berkenaan.

“Bukan hanya saya, semua pelakon pun tak jangka PHC popular seperti hari ini. Luar biasa!

“Saya memandang situasi secara positif sekali gus membuktikan mereka dahagakan drama-drama Melayu berkualiti dan lari daripada kebiasaan,” tutur bekas finalis Hero Remaja 2021, seangkatan dengan rakan seperjuangan, Mierul Aiman.

SELAIN Beto Kusyairy, Amir Ahnaf juga memasang impian untuk berlakon di samping suami aktres Fazura iaitu Fattah Amin. – oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kahar si mangsa buli

Menyerap ‘roh’ samseng Kahar yang 100 peratus bukan keperibadiannya, pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin itu hanya mencipta karakter tersebut dengan jiwa sendiri.

“Kami dilatih secara fizikal untuk babak-babak pergaduhan supaya lebih bersedia.

“Manakala untuk jadi pembuli, saya cuma baca skrip, hadam dalam otak, resap ke jiwa dan sampaikannya sebagai Kahar,” ujarnya pelakon yang pernah membintangi drama Akim & Mira itu.

Terbalik situasi berbanding Kahar, Amir pernah melalui situasi sama seperti dipaparkan dalam PHC, namun bukan sebagai pembuli tetapi mangsa gejala tidak bermoral tersebut termasuk dipukul secara fizikal.

“Situasi saya terbalik. Saya yang dibuli dan pernah dilempang pelajar senior hanya kerana memakai baju-T berkolar bulat.

BUKAN tin kosong, Amir merupakan graduan Diploma Reka Bentuk & Pembangunan Permainan (Games Development), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Setakat disuruh cuci baju atau tandas, semua itu normal dalam kalangan pelajar sekolah berasrama.

“Semua itu seperti ‘rejim’ kebiasaan di sekolah berasrama dan itu yang diketengahkan dalam PHC supaya masyarakat ada kesedaran,” kongsinya.

Populariti meledak dalam sekelip mata, Amir mengakui berdepan kejutan budaya sewaktu Kahar mula menjadi kegilaan ramai.

“Pada awalnya memang rasa ‘kejutan’, diserbu dan dikelilingi peminat buat saya panik tetapi lama-lama terbiasa.

“Dahulu orang tidak kenal saya, pengikut Instagram pun 3,000 orang sahaja tetapi selepas PHC memang naik mendadak, kini sudah lebih 200,000.

“Saya pun tidak kisah orang nak panggil nama Kahar mahupun Kapla berbanding Amir.

“Perkara itu cukup menunjukkan watak tersebut berjaya dipersembahkan,” katanya lagi.

MASIH hijau, jejaka berkulit sawo matang ini sudah mempersiapkan mentalnya untuk berhadapan dunia selebriti yang penuh sepak terajang.

Cinta hati

Bukan sahaja karakter Kahar dan penampilan, caranya melayani para peminat yang kian hari semakin bertambah turut tular dalam media sosial.

Wanita mana yang tidak ‘histeria’ apabila pelakon pujaan menggelar mereka sebagai ‘cinta hati’. Itulah perkataan berulang kali dilayangkan Amir kepada para peminatnya.

“Kalau nak layan setiap komen dalam media sosial memang tidak termampu, jadi saya cipta satu frasa sebagai tanda sayang dan penghargaan kepada mereka.

“Dengan cara itu, mereka rasa dihargai. Perlu buat sebab mereka yang bantu naikkan dan nampakkan nama saya dalam industri,” ujarnya yang bakal muncul dengan drama bergenre komedi tidak lama lagi.

Sedang menjadi kegilaan ramai, Amir juga menerima ratusan hadiah peminat berupa pakaian dan cenderahati.

“Peminat saya ramai golongan muda termasuk pelajar sekolah. Mereka sangat manis, beri hadiah macam-macam seperti topi dan baju,” katanya.

Enggan terleka dengan jutaan pujian dan populariti yang mendakap diri ketika, Amir tetap berjaga-jaga agar tidak hanyut dalam menjaga momentum karier.

“Bila ramai puji, saya takut terleka. Bagi saya, dalam kemanisan dirasai sekarang, ada ujian yang Tuhan nak beri.

“Jadi, saya tak mahu menjulang diri sendiri dan ingin menjaga kualiti kerja.

“Tak mahu sebab popular, kaut semua tawaran lakonan hingga jejaskan kualiti sekaligus mengecewakan ramai termasuk diri sendiri,” ujarnya mengakhiri perbualan.

ANAK sulung daripada sembilan adik-beradik ini merupakan peminat tegar K-drama, seperti Its Okay To Not Be Okay.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN