“KALAU filem yang saya lakonkan tidak dapat ditayangkan di negara sendiri, apalah ertinya.”
Begitulah dengusan pemeran karakter sosok politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Farid Kamil dalam filem berjudul Anwar, The Untold Story berhubung keresahan dialaminya sebelum figura tersebut rasmi diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, November tahun lalu.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari berkata, sekiranya Anwar tidak menjadi Perdana Menteri, filem arahan sutradara Indonesia, Viva Westi tersebut berdepan risiko atau kemungkinan besar langsung tidak akan ditayangkan di pawagam Malaysia.
“Setiap hari saya berdoa untuk filem ini ditayangkan kepada umum, Anwar perlu diberi peluang untuk mentadbir negara atau menjadi Perdana Menteri.
“Saban hari berdoa sampai saya pernah dinasihati sebilangan orang supaya jangan terlalu yakin sebab mereka dah 24 tahun kecewa (Anwar tak jadi Perdana Menteri).

“Untuk saya sebagai seorang pelakon, make believe (mempercayai) adalah satu elemen unik perlu ada dalam diri anak wayang.
“Siapa yang nak terbitkan filem Anwar dan siapa akan benarkan tayangannya. Jadi, semua itu agak sukar jika beliau tidak memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu,” kata Farid usai pelancaran filem berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.
Sebelum ‘terbang’ ke Indonesia, Farid juga optimis mahu melihat kejayaan dan realisasi Anwar, The Untold Story. Akhirnya, semua mimpi perlahan-lahan bertukar menjadi kenyataan.
Sengsara kalau tak ‘terima’ duit
Katanya, usai melunaskan tugas memainkan peranan ikonik tersebut di set penggambaran, sukar buat dirinya untuk menghilangkan karakter tersebut dalam kehidupan seharian.
“Ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, saya berada di lapangan terbang dan baru selesai penggambaran. Ramai orang angkat tangan kepada saya. Macamlah saya ini Anwar Ibrahim.
“Saya pun macam tak percaya dan beristighfar (ketawa). Maksudnya, orang kata sifat dan ciri-ciri Anwar masih melekat dalam diri saya,” ujarnya.

Melanjutkan bicara, suami kepada aktres jelita Diana Danielle itu kembali mendedahkan episod sogokan wang ketika tahun 2017.
Survivalnya sebagai anak seni jelas terganggu dek penolakan yang diputuskan.
“Saya cakap kepada isteri, kalau Anwar tak menang, kita satu keluarga pindah ke Indonesia. Bekerja di sana untuk memudahkan urusan kerjaya.
“Tapi, Allah sudah tulis. Semua sudah termaktub bahawa Anwar akan jadi Perdana Menteri ke-10,” tuturnya.
Ugutan, penggambaran
Ditebak pertanyaan sama ada dirinya ada menerima ugutan untuk tidak meneruskan hasrat melakonkan watak tersebut, jawab Farid: “Kita buat filem ini secara ikhlas dan senyap.
“Sunyi sepi sampailah satu gambar dimuat naik oleh seorang pelakon dalam filem tersebut bahawa saya berlakon sebagai Anwar.
“Kita berhati-hati sebab watak ini bukan satu rekaan. Boleh jadi satu watak yang memang semua orang kenal.
“Sepanjang penggambaran, tidak ada sebarang gangguan atau ugutan daripada mana-mana pihak.”

Terang bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri dan secara spesifiknya tahun 2017, ‘zaman gelap’ menanti anak seni yang menolak sogokan atau rasuah.
“Yang saya cerita sebelum ini ada tawaran sogokan RM5 juta. Ketika 2017, saya pernah disogok tetapi saya tidak menerimanya.
“Ketika itu, siapa tak ambil duit, dia akan sengsara. Kalau saya ambil duit itu, mungkin saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang dengan pendirian yang saya selalu pegang,” ujarnya.
Reza Rahadian antara calon
Dalam pada itu, pengarah Viva Westi mendedahkan aktor ‘papan atas’ Indonesia iaitu Reza Rahadian merupakan antara calon yang sepatutnya melakonkan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem tersebut.
Bagaimanapun, Westi, 51, berkata, sudah menjadi takdir Farid Kamil terpilih melakonkan karakter sosok politik yang begitu disegani itu.
“Reza ingin sekali memainkan watak Anwar, namun atas kekangan jadual, perihal tersebut tidak dapat direalisasikan. Waktu ditawarkan, dia juga menjadi juri untuk Festival Filem Indonesia (FFI).
“Sebenarnya, Reza berminat cuma dia minta sama ada boleh atau tidak waktu dipanjangkan untuk latihan dan sebagainya disebabkan terlibat dengan FFI.
“Saya cakap kepadanya, memang tak boleh ikut jadualnya. Saya percaya bahawa Farid ditakdirkan menjayakan watak Anwar dalam filem ini,” katanya.

Westi yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbitan produksi Bianglala Entertainment itu di ibu negara baru-baru ini, yakin dengan kredibiliti aktor Lagenda Budak Setan itu memainkan peranan Anwar Ibrahim.
“Waktu ditawarkan, dialah orang pertama yang bersetuju terus ingin membawakan watak Anwar. Yang lain ada alasan tersendiri nak tengok skrip dahulu, tunggu waktu dahulu,” ujarnya.
Filem Anwar, The Untold Story yang mengisahkan perjalanan politik Anwar memerangi rasuah dalam negara akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mei depan.














