MEMILIKI ramai pengikut media sosial penangan kandungan unik YouTube memaparkan kefasihan pertuturannya menggunakan loghat Kelantan dengan pakej Pan-Asian, semua itu bukan tiket mudah untuk Aiman Wynne menempa nama dalam bidang lakonan.
Baru setahun jagung dalam industri, bakat baharu berdarah kacukan Melayu-British itu mengakui harus mempelajari lebih banyak perkara budaya Malaysia dan bahasa Melayu jika mahu kariernya terus menyinar.
Teguran yang diterima daripada pelakon senior antara salah satu sebab membuatkan dirinya nekad untuk mencapai impian sebagai seorang pelakon hebat.
“Ada suatu ketika saya masih lagi baru dalam industri tiba-tiba dimarahi seorang pelakon senior kerana tidak bertegur sapa semasa berjumpa.
“Dia menasihatkan untuk bersapa dengan semua orang yang berada di loaksi penggambaran,” cerita Aiman membuka kisah kepada HibGlam.
Mengakui terkejut, namun pemilik nama lengkap Aiman Nasir Wynne itu sedikit pun tidak melatah.
Sebaliknya, tekadnya semakin membara untuk memahami selok-belok budaya Malaysia memandangkan baru sahaja berhijrah dari United Kingdom yang merupakan negara kelahiran ibunya.
“Sebenarnya, saya cuma tidak mahu mengganggu pelakon yang sedang menjalani penggambaran ketika itu.
“Selepas insiden tersebut saya belajar untuk menerima teguran tanpa melenting dan mula menegur sesiapa sahaja apabila berjumpa,” ujarnya.
Sebelum benar-benar memulakan melangkah dalam industri tempatan, Aiman pernah menjalani penggambaran filem London With Love arahan Janna Nick yang dijalankan di London.

Cabaran bahasa
Selepas memilih meneruskan langkah yang terbentang luas di depan mata, banyak yang dipelajari pelakon berusia 25 tahun itu terutama dalam aspek penggunaan bahasa Melayu.
“Sewaktu belum masuk industri, saya ada berlakon dalam filem London With Love.
“Sekarang saya sudah ada dua projek yang sedang dijayakan. Perlahan-lahan saya kutip pengalaman berbeza sebab dari dahulu saya tidak boleh berbahasa Melayu.
“Ramai kawan yang membantu saya memperbaiki bahasa Melayu untuk memahami skrip dan melakonkan watak dengan baik,” jelas jejaka tinggi lampai itu.
Disebabkan lahir dan membesar di United Kingdom, Aiman tidak fasih dalam bahasa Melayu walaupun bapanya merupakan anak kelahiran Kelantan.
Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan Aiman termasuk mencari jalan untuk memperbaiki penggunaan bahasa Melayu, sekali gus dapat meneruskan kemaraan dalam bidang lakonan yang dicintai.
“Pihak pengurusan ada perancangan untuk mengambil cikgu bahasa Melayu dalam masa terdekat.
“Cuma sekarang kami sedang mencari masa sesuai untuk mengadakan sesi pembelajaran,” tuturnya.
Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia ketika berusia 16 tahun membuatkan Aiman jatuh cinta dengan budaya Melayu. Sejak itu, hatinya terus terdetik untuk menetap di sini.
“Sejak kecil saya ada impian untuk tinggal di Malaysia. Tak sangka semua ini dapat dicapai apabila bergiat aktif menghasilkan kandungan video YouTube.
“Saya dapat banyak respons positif terutamanya daripada orang Kelantan kerana mereka suka kandungan saya. Sebab itu saya mula berlakon untuk kembangkan lagi bakat kepada orang luar,” luahnya gembira.
Dalam keseronokan, anak sulung daripada dua beradik itu pernah didakwa melupakan peminat Kelantan kerana mula fokus bertutur bahasa Melayu standard.
“Bagi saya, susah juga untuk menukar loghat. Apabila saya sedang belajar cakap bahasa pasar, peminat Kelantan tidak boleh menerima perkara tersebut.
“Namun, pihak pengurusan menasihatkan saya agar tidak terlalu menghiraukan perkara tersebut demi kebaikan dalam industri. Saya bukan lupa asal-usul tetapi hanya mahu mempelbagaikan keupayaan diri,” jelasnya.

Hero filem
Biarpun masih bertatih mendalami bahasa Melayu, Aiman menyimpan impian untuk memegang watak utama dalam naskhah filem.
“Saya rasa dalam beberapa tahun lagi, saya mampu capai impian seperti memegang watak utama dalam filem atau melibatkan diri menerusi naskhah genre romantik atau aksi.
“Melihat diri sendiri, saya rasa akan bertahan lama dalam bidang lakonan dan tidak akan berhenti setengah jalan.
“Melalui lakonan, saya belajar mengenali diri sendiri dan saya gembira dapat berbuat demikian,” tutup Aiman.















