PUTRAJAYA – Keadaan yang mendesak untuk mendapatkan duit tambahan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini memaksa sesetengah lelaki bertukar kepada ‘wanita jadian’ bagi membuat persembahan di hotel dan majlis peribadi bagi meraih upah sehingga RM400 pada hujung minggu.
Jangan terkejut jika rakan lelaki anda yang pada waktu siangnya bekerja sebagai kerani atau eksekutif bertukar kepada wanita dengan bermekap, berpakaian cantik dan menghias kuku pada waktu malam.
Ini bukan rekaan kerana situasi tersebut benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat ketika ini kerana bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga tercinta adalah lebih penting.
Bukan hanya membuat persembahan di hotel dan majlis peribadi, mereka ini turut menganjurkan pertandingan ratu cantik untuk mempamerkan bakat terpendam dalam pelbagai kategori termasuk peragaan, hiasan busana, nyanyian, tarian dan tatarias wajah.
Seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan dikenali sebagai Zack, 30, berkata, dia bertukar kepada wanita jadian pada hujung minggu bagi memperoleh pendapatan sampingan kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.
Katanya yang bergelar Amily, ketika di atas pentas, perkara yang dilakukan sebagai hobi dan suka-suka ketika berhias dan bersiap seperti wanita telah menarik perhatian sesetengah pihak yang memintanya tampil membuat persembahan di majlis peribadi.
“Mereka mahu kami membawa watak wanita ketika membuat persembahan kerana dilihat lebih kreatif selain menampilkan sisi berbeza transformasi daripada seorang lelaki kepada jantina lain.
“Saya mendapat antara RM250 hingga RM400 untuk satu persembahan dan ia membantu saya menguruskan peningkatan kos sara hidup. Mungkin lain orang lain cara, tetapi hanya ini bakat yang saya fikir untuk saya dapat duit tambahan,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Zack, golongan wanita jadian sepertinya sering mendapat pujian penonton kerana disifatkan sebagai kreatif ketika berada di atas pentas seperti meniru watak-watak artis popular.
Tambahnya, mereka juga ada pertandingan ratu cantik dan pemenang ditentukan siapa yang paling pandai berhias oleh juri.
“Bagaimanapun, saya masih seorang lelaki sejati dan tidak sesekali berniat untuk menukar jantina meskipun sering mengenakan pakaian wanita pada hujung minggu.
“Saya sekadar mahu mencari wang simpanan dan menonjolkan bakat. Pada hari biasa saya masih lelaki yang mengenakan seluar dan kemeja, malah tidak pernah berniat menjadi pondan,” tegasnya.
Seorang eksekutif swasta, Saiful, 36, berkata, perbuatan memakai pakaian wanita pada hujung minggu dilakukan ketika menuntut di institut pengajian tinggi di ibu kota sejak 15 tahun lalu.
Katanya, dia dan rakan-rakan akan mengenakan pakaian wanita sebelum bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk mempamerkan transformasi daripada seorang lelaki kepada wanita cantik.
“Ia sekadar suka-suka dan tidak pernah melibatkan aktiviti negatif seperti menjual diri. Sejak kecil saya sering lihat tiga kakak pakai baju cantik-cantik dan sejak itu saya berminat,” katanya yang digelar Shila.
Menurut Saiful, keluarganya sudah penat dan letih untuk menasihatinya kerana dia tidak boleh membuang tabiat tersebut hingga mereka sudah kehabisan kata-kata untuk memujuknya.
“Bertukar kepada ‘drag’ merupakan satu terapi diri dan mengurangkan tekanan kerana tidak menjadi wanita tulen. Jadi apabila waktu malam, saya akan mengubah penampilan untuk memenuhi naluri kewanitaan itu,” katanya.
Cerita Saiful, dia akan menukar baju di dalam tandas sebelum bersiar-siar dengan rakan di sekitar bandar setiap hujung minggu.
“Seronok dapat berkumpul dengan kawan-kawan. Ramai anggap kami pondan tetapi saya tetap lelaki,” katanya. -KOSMO! ONLINE














