PADA tahun lalu, Mercedes Benz Malaysia telah melancarkan sebuah kenderaan elektrik (EV) EQC 400 4MATIC untuk pasaran Malaysia.
EQC400 4MATIC ialah perintis kenderaan elektrik jenama tersebut. Bukan sekadar kenderaan dengan pemacu elektrik, ia menggabungkan ciri-ciri jenama itu seperti kualiti, keselamatan dan keselesaan.
Model konsep EQC pertama diperkenalkan di Pameran Motor Paris, Perancis pada tahun 2016. Dua tahun selepas itu, model sebenar EV ini membuat debut pada acara yang sama.
Reka bentuknya yang progresif dengan kemasan AMG Line memberikan rupa sebuah EV yang segak dan sedap mata memandang.
Ia dilengkapi rim AMG multispoke bersaiz 20 inci, lampu utama LED multibeam, pengelap cermin dengan sensor hujan, pemijak sisi aluminium, bampar hadapan dengan lubang angin sebenar.
Pada bahagian sisi, logo EQC berwarna biru terletak di dapra kiri dan kanan.
Model EV ini hadir dengan pek bateri berkapasiti 80kWh. Penulis juga difahamkan EQC 400 4MATIC mampu bergerak sehingga lebih 400 kilometer.
Kadar pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 5.1 saat dan kelajuan maksimum pula mencecah 180km/j.

Sistem modular dengan dua modul 48 sel dan empat modul 72 sel membolehkan bateri dipasang di lantai kenderaan.
EQC 400 4MATIC serba baharu mempunyai sistem pengecasan arus ulang alik (pengecasan AC) sehingga 11kW dan sistem pengecasan arus terus (DC charging) sehingga 110kW.
Masuk ke ruang kabin, selaras dengan tema AMG, ruang dalamannya menampilkan paddle shifter direct select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka.
Keselesaan dapat dinikmati menerusi kewujudan cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar.
Ciri-ciri lain seperti pencahayaan ambien, pendingin hawa Thermotronic, Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan Easy Pack Tailgate turut disertakan. Tidak dilupakan juga sistem
multimedia MBUX, paparan head-up, MBUX Interior Assistant dan sistem bunyi Burmester.
Sistem infotainment model ini juga dilengkapi sistem navigasi, maklumat trafik dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Pemandu dan penumpang juga boleh mengecas telefon tanpa wayar di bahagian depan. Terdapat juga pakej Stowage Space, port pengecasan USB berkembar di belakang (Jenis C) dan soket 12 V di sebelah kiri ruang bagasi.
Bagi memberikan keselesaan tambahan, ia hadir bersama ciri haba dan cermin akustik penebat bunyi selain tempat duduk hadapan yang boleh laras secara elektrik dengan fungsi memori serta sokongan lumbar empat hala.
Ciri-ciri keselamatan yang ada pada model EV ini seperti pakej bantuan pemanduan termasuk sistem bantuan jarak aktif DISTRONIC, sistem PRE-SAFE️ dan bantuan stereng aktif yang sesuai untuk jalan raya di Malaysia.
Kenderaan ini juga dilengkapi dengan perlindungan kenderaan Urban Guard yang mempunyai sistem penggera antikecurian dan sistem pemantauan dalaman daripada aplikasi Mercedes Me.
Turut disertakan kamera 360 darjah dan bantuan parking aktif dengan Parktronic. Selain itu, ia dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar, beg udara keselamatan dan sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz.
















