fbpx
Wanita yang mengalami masalah kesihatan serius sehingga memerlukan rawatan yang menyebabkan tubuhnya mengembang dan rambutnya gugur itu 'melepaskan' kedukaannya dengan memakai mahkota serta gaun berbeza setiap hari. Kesemua pakaiannya direka dan dijahitnya sendiri.

‘Puteri Jalan Anfu’ curi perhatian di jalanan dengan gaun comel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEADAAN di sebuah lokasi dikenali sebagai Jalan Anfu di Shanghai, China pada petang itu kelihatan sibuk seperti biasa.

Dari kejauhan, kelihatan seorang individu separuh abad berjalan kaki dengan penuh yakin, umpama sedang berada di sebuah pentas peragaan, lantas menyebabkan orang awam menoleh ke arahnya.

Kelibat individu berambut pendek itu yang memakai sehelai dres kembang berwarna putih polos yang dipadankan dengan mahkota berlian di atas kepalanya mulai dirakam orang awam yang lalu lalang di jalan tersebut.

Ternyata, susuk tubuh milik wanita berusia awal 50-an yang dipanggil ‘Puteri Jalan Anfu’ itu adalah satu pemandangan biasa di situ sejak beberapa tahun lalu.

Setiap hari, wanita itu akan berjalan kaki di sekitar Jalan Anfu iaitu lokasi berhampiran tempat tinggalnya untuk membeli-belah atau melakukan tugas harian dengan berpakaian fesyen Lolita.

Fesyen Lolita disifatkan sebagai subbudaya dari Jepun yang diambil dari zaman Rococo.

Gaya signatur bagi gaya fesyen ini adalah pakaian dres yang comel.

Kemunculan Puteri Jalan Anfu di jalan tersebut sering dinantikan orang ramai.

Penampilan wanita masih belum diketahui dengan jelas identitinya itu sering menjadi topik perbualan orang ramai yang menganggap penampilannya mengenakan gaun pendek setiap hari adalah tidak sesuai dengan usianya yang sudah pun berpangkat ‘mak cik’.

Namun, ada juga yang menganggap kemunculan wanita itu sebagai sesuatu yang menarik memandangkan tidak ramai wanita seusianya yang mempunyai keyakinan sebegitu.

Malah, apa yang lebih mengagumkan adalah wanita tersebut tidak pernah sekali pun mengulang pakai pakaian yang sama, menjadikan kemunculannya di Jalan Anfu sebagai sesuatu yang cukup dinantikan.

Puteri Jalan Anfu mulai menjadi perhatian pada penghujung 2021, ketika orang ramai mula merakam imej dan videonya yang berjalan kaki di sekitar Jalan Anfu.

Begitupun, ada kisah sedih di sebalik keyakinan dan keberanian Puteri Jalan Anfu itu yang gemar memperagakan pakaian comel setiap hari.

Menurut laporan akhbar-akhbar China, wanita itu dipercayai menghidap masalah kesihatan yang serius.

Rawatan bagi penyakitnya itu juga menjadikan tubuhnya mengembang dan rambutnya gugur.

Enggan penyakitnya dipercayai berkait hormon itu menjadikan dia tertekan, Puteri Jalan Anfu memilih untuk melawan penyakit itu dengan memakai pakaian cantik setiap hari, bagi ‘menghidupkan’ semula zaman kanak-kanaknya.

Lebih menarik, wanita itu dikatakan menjahit sendiri semua pakaian yang diperagakannya, termasuk elemen tambahan yang menjadikan pakaiannya unik seperti renda dan reben.

Mahkota hiasan pada kepalanya juga dibuat sendiri dan ia lazimnya akan dipadankan mengikut warna pakaiannya pada hari itu.

Biarpun usahanya untuk tampil cantik di khalayak ramai mendapat pujian orang ramai, segelintir pengguna media sosial mencemuh penampilan Puteri Jalan Anfu dan membulinya.

Kira-kira dua minggu lalu, Puteri Jalan Anfu kembali menjadi topik perbualan hangat di internet apabila sebuah hab komersial di Daerah Changning, Shanghai mengumumkan Puteri Jalan Anfu sebagai dutanya.

“Puteri Jalan Anfu mengajak anda untuk datang, makan dan menonton filem bersama,” demikian kenyataan yang ditulis pada iklan hab komersial tersebut.

Pemilihan wanita itu sebagai duta bagaimanapun menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen sehingga sohor kini di platform media sosial Douyin, dengan jumlah tontonan lebih daripada lima juta.

“Saya tidak faham mengapa wanita dengan penampilan sebegini mempunyai ramai peminat?” komen seorang pengguna Douyin.

“Tolong jangan paparkan fotonya di khalayak ramai. Saya tidak boleh menerima gambar-gambarnya,” tulis seorang lagi netizen.

Komen-komen negatif itu kemudiannya dibidas segelintir pengguna Douyin yang menganggap tindakan melantik Puteri Jalan Anfu sebagai duta bukanlah satu kesalahan.

“Dia memakai pakaian yang disukainya, dan saya tidak melihat ia sebagai satu masalah. Masyarakat kita seharusnya lebih bersifat terbuka dan tiada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk melarangnya berpakaian sedemikian,” tulis seorang pengguna Douyin yang menyokong Puteri Jalan Anfu.

Penduduk Shanghai percaya bahawa Puteri Jalan Anfu sebenarnya dilahirkan dalam sebuah keluarga kaya dan menggunakan gaya Lolita itu bagi menyembunyikan kesan sampingan ubat-ubatan yang diambilnya akibat satu penyakit berkaitan hormon yang dihidapinya sejak kecil.

Dia juga dilaporkan belajar dalam jurusan fesyen di sebuah universiti dan mula terpikat dengan gaya Lolita selepas seorang rakan menghantar dres Lolita kepadanya lebih dua dekad lalu.

Dengan menggunakan latar belakangnya sebagai bekas pelajar fesyen, Puteri Jalan Anfu kemudian mengubah suai dres tersebut dan menjadikannya lebih selesa.

Dalam satu sesi penstriman yang dibuat Puteri Jalan Anfu tahun lalu, dia berkongsi tip menggayakan fesyen Lolita.

Selain itu, Puteri Jalan Anfu juga turut mengejutkan penonton dalam sebuah sesi jualan barangan kemas secara online, dengan pengetahuannya terhadap barangan kemas.

Puteri Jalan Anfu mungkin tidak berwajah atau tubuh cantik yang dicemburui, namun keyakinan diri yang dimilikinya menjadikan dia mengumpul peminatnya yang tersendiri.

Kini, ramai memuji wanita itu yang menghidupkan impiannya, tanpa sedikit pun bimbang dengan kata-kata atau pun pendapat orang lain terhadapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN