Bilangan pelancong yang berkunjung di Armenian Street, George Town semalam mengalami penurunan berbanding Disember tahun lalu.

Orang ramai tak teruja bercuti, simpan duit untuk puasa, sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Industri pelancongan domestik didapati mengalami penurunan ketara sepanjang musim cuti persekolahan kali ini didorong daripada sikap berjimat cermat orang ramai ekoran bebanan kos rasa hidup yang semakin meningkat.

Lebih membimbangkan apabila jumlah pelancong dan pengunjung domestik dianggarkan mengalami penyusutan sehingga 50 peratus berbanding musim cuti persekolahan tahun lalu.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh berkata, selain kos sara hidup yang tinggi, trend penurunan jumlah pelancong ketika ini juga disebabkan oleh orang ramai yang telah keluar bercuti pada hujung tahun lalu selain pada musim perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini.

“Dari segi pelancongan domestik, kita sudah ada banyak cuti dan perayaan sejak Disember 2022. Kita faham situasi ini dan sudah jangkakan pada Mac ini, pelancong akan berkurangan meskipun ketika musim cuti persekolahan.

“Ini kerana, kos untuk belanja sekarang sudah semakin tinggi dan menjadi beban kepada orang ramai untuk keluar bercuti.

“Selain itu, dari aspek lain, ibu bapa masih perlu bekerja dan kita dapati mereka akan bercuti pendek pada hujung minggu tetapi jumlahnya masih sedikit. Boleh dianggarkan kira-kira 50 peratus bilangan pengunjung berkurang berbanding tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Christina menjelaskan antara punca lain adalah sikap rakyat yang tidak mahu berbelanja besar pada cuti sekolah ini dan memilih untuk menyimpan wang bagi menghadapi pembukaan sesi persekolahan selain sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid pula berkata, memang tidak dinafikan kenaikan kos sara hidup telah menyebabkan orang ramai kini berkira-kira untuk keluar bercuti.

“Apabila kos-kos utama tinggi, orang ramai tidak mempunyai duit tambahan untuk pergi me­lancong walaupun di dalam negara. Ini kerana pendapatan boleh guna mereka telah berkurangan selepas selesaikan keutamaan seperti hutang dan sebagainya,” ujarnya.

Kata beliau, pendapatan hotel secara amnya juga didapati merosot apabila rakyat tidak lagi melihat percutian sebagai satu keperluan pada musim cuti persekolahan.

“Kita tiada data yang tepat lagi dan sedang melakukan tinjauan sama ada kerugian dialami oleh pemilik hotel ini adalah besar atau tidak.

“Namun, kita sudah jangka perkara ini disebabkan pembukaan sekolah dan musim pe­rayaan Hari Raya Aidilfitri yang sangat dekat menjadi keutamaan orang ramai ketika ini,” katanya.

Di Georga Town, Pulau Pinang, tempahan hotel di ne­geri ini terutama di kawasan bandar mengalami pengurangan seba­nyak 20 peratus berbanding dua tahun lalu yang mendapat sam­butan menggalakkan daripada pelancong domestik.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, pihaknya bagaimanapun yakin tempahan hotel saat akhir akan berlaku bermula awal bulan depan.

“Melihat kepada data, jumlah tempahan melibatkan hotel-hotel yang terletak di kawasan pantai Batu Feringghi dan Teluk Bahang sudahpun mencapai sehingga 80 peratus.

“Pelancong dilihat lebih memilih lokasi penginapan hotel berdekatan pantai dan dilengkapi dengan kemudahan kolam renang dan pantai.

“Situasi ini dilihat berbeza di lokasi bandar di bahagian pulau mahupun Seberang Jaya apabila jumlah tempahannya hanya 50 hingga 60 peratus. Bilangannya susut sebanyak 20 peratus berbanding musim sama tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, pelancong tempatan sebenarnya sudah menghabiskan masa untuk bercuti pada Disember tahun lalu terma­suk ketika cuti Tahun Baharu Cina.
“Sekarang ini banyak pilihan untuk bercuti dan tidak hanya tertakluk untuk menginap di hotel semata-mata, tetapi ada juga yang memilih untuk menyewa inap desa yang dianggap lebih murah,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN